Terap unsur ketuhanan
NOR ATIEYAH YUSOFF FOTO : IHSAN JKKN
30 Oktober 2014
Aksi Sdr Mohd Rizal Rosli selaku 'Orang Kaya'
MASIH lagi mengekalkan momentum sama, Festival Teater Malaysia (FTM) 2014 sudah memasuki hari ketiga dan pementasan diteruskan dengan naskhah Transit Warga Tanah karya Abu Afif. Dipersembahkan Kumpulan Teater Remaja Harapan yang berasal dari Kedah, teater ini menyaksikan lebih 500 penonton membanjiri Auditorium DBKL.
Pementasan yang mengambil masa lebih sejam ini diarahkan oleh Abu Hurairah, yang juga turut bertindak sebagai teraju utama.
Transit Warga Tanah mengisahkan empat jenis manusia yang berbeza latar hidupnya iaitu Orang Tua, Orang Kaya, Petani dan Dewasa. Beberapa watak seperti Sang Perintih, Ibu dan Bayi turut diselitkan dalam pementasan ini.
Bermula dengan kisah Orang Tua yang memiliki 10 orang zuriat namun tidak dapat mendidik anak-anaknya dengan ajaran agama.
Diikuti Dewasa yang merupakan anak kepada Orang Tua yang hanyut dalam keseronokan dunia namun meninggal dalam usia muda tanpa iman di dada.
Juga Orang Kaya yang dipersoalkan apakah perkara baik yang dilakukannya selain memiliki kekayaan hasil penat lelah Petani.
Sementara Petani pula dengan kesilapannya yang terlalu taasub ingin menjadi Orang Kaya sehingga mengabaikan tanggung jawab kepada Tuhan.
Diterjemahkan dengan penuh simbolik, Transit Warga Tanah, mengingatkan kita pada tanggungjawab sebagai hamba ALLAH. Tanpa mengenal rupa, darjat dan harta, semua manusia adalah sama di sisi ALLAH. Yang bezanya cuma Iman...
Kekuatan dialog
Menyentuh mengenai lakonan, nyata setiap watak dilihat mempunyai kekuatan tersendiri dan saling berkaitan antara satu sama lain.
Kelebihan utama teater ini dapat dilihat menerusi setiap dialog yang dilemparkan, yang mana ia sarat dengan mesej dan mampu memberi kesan mendalam terhadap penonton.
Sebagai contoh mutiara kata ‘Dari tanah kita datang dan kepada tanah kita akan dikembalikan, kerana kita adalah Warga Tanah’ sangat menusuk kalbu.
Malah kreativiti dengan membawa lumpur ke atas pentas sebagai simbolik tubuh bahawa manusia berasal dari tanah, wajar diberi pujian.
Menguatkan lagi persembahan, Transit Warga Tanah, turut menyelitkan lima buah lagu ketuhanan yang pastinya menyentuh perasaan sesiapa saja yang menyaksikan teater ini.
Nyata idea mereka dalam menggabungkan semua aspek seni persembahan, termasuk visual, audio dan teaterikal dilihat sangat bernas dan berkesan.
Namun itu tidak bermakna, keseluruhan persembahan mereka berjaya memberikan impak yang besar kepada penonton kerana ada ketikanya penyampaian dilihat hambar.
Sedikit mengenai Kumpulan Teater Remaja Harapan, ia ditubuhkan pada 2005. Selain aktif menyertai festival-festival teater, kumpulan ini merupakan johan Festival Teater Negeri Kedah, tahun lalu.
KREDIT; SINAR HARIAN
0 ulasan:
Catat Ulasan