Berniaga ialah ibarat perjalanan kehidupan. Jadikan perniagaan kita suatu yang normal dan biasa-biasa. Mulakan langkah kita dalam berniaga sama seperti kita melangkah untuk ke mana-mana. Maksudnya mulakan secara kecil-kecilan. Bukankah selalu dikatakan langkah sejauh mata memandang tetaplah bermula dengan langkah yang pertama.
Jadi, untuk memulakan perniagaan, jangan tunggu sempurna. Jangan tunggu produk atau perkhidmatan yang kita siapkan begitu sempurna. Sebaik sahaja produk atau khidmat dapat dilaksanakan dan boleh diterima, kita sudah boleh terus memulakan idea perniagaan kecil tersebut.
Urusan membaiki idea perniagaan atau produk tersebut, kita hanya perlu lakukan pembaikannya dari masa ke semasa. Kita akan belajar banyak perkara sepanjang mengharungi perjalanan perniagaan berkenaan. Itulah pengalaman yang pasti akan ditempuh. Sebab itu perlu diusahakan secara kecil-kecilan.
Jika gagal pun, tidak banyak rugi yang ditanggung. Risiko kerugian atau kena tipu lebih rendah. Malah kenyataannya, mereka yang memulakan perniagaan secara kecil-kecilan ini berupaya melangkah lebih jauh. Mereka hanya perlu istiqamah. Selain itu usahalah mengekalkan kualiti produk atau khidmat yang diberikan.
Ramai yang gagal berniaga lantaran terperangkap dengan gelanggang niaga yang begitu besar. Mentang-mentang ada wang yang banyak untuk dibuat modal, maka sebaik bangun terus berlari. ramai orang melayu - melalui 'kabel' mendapat durian runtuh menerusi pinjaman bank. Wah!! joli sakan yang akhirnya kecundang. Hutang keliling pinggang.
Hari ini seeloknya orang Melayu jangan lagi berharap kepada bank. Bank hanya mengintai hasil untung perniagaan kita untuk dikutip bersama. Biarkan orang yang tidak faham ,menjejak puluhan tangga bank untuk mengemis meminta pinjaman. Kita orang-orang kecil ini berniagalah dengan jiwa yang besar. Mulakanlah dengan modal seadanya.
Jika kita kuat berdoa dan membaiki diri, allah ada cara jayakan perniagaan kita. Lihatlah contoh di sekeliling kita betapa orang susah mampu bangkit untuk memenangi arena niaga jika berlaku padanya pertolongan Allah. Sebab itu yang pertama dan utama sebelum memulaan perniagaan ialah kembali kepada Allah. Inilah sebaik-baik jalan yang dilakukan oleh setiap orang yang berjaya dalam apa jua bidang di atas muka bumi ini selama ini.
Yakinlah dengan Allah kerana kepunyaanNyalah kekayaan langit dan bumi, dunia dan akhirat. Dia hanya meminta kita kembali membina rasa takutkanNya sebelum memulakan perniagaan atau berbuat apa sahaja.
Berniaga juga boleh dilihat seperti kita mengerjakan solat. Mesti bertenang, khusyuk dan berdisiplin. Bukankah perniagaan juga satu ibadah? Justeru Allah sudah janjikan rezeki itu dilimpahkan dengan redhaNya jika kita bertaqwa - iaitu mempunyai rasa takutkan Allah dengan sebenar-benar takut. Perasaan inilah yang wajar kita usahakan dalam menapak setapak demi setapak ke dunia niaga yang penuh pancaroba.
Semoga Allah membantu semua orang susah yang sedang mencari kelapangan hidup melalui usaha niaga yang meletakkan Allah sebagai sumber rezeki utamanya. Berazam dan bertawakkallah!!
0 ulasan:
Catat Ulasan