Ketika kecil, Pak Lang suka berangan-angan. Bahkan suka pula bercerita. Entah bagaimana, minat bercerita itu muncul di dalam diri. Seingat pak Lang ketika mengaji Quran di rumah Mak Long Denah, Pak Lang akan ambil masa menunggu giliran membaca Quran di depan Mak long sambil berbual dan bercerita. Ramai yang berkerumun. Pak Lang hanya bercerita tanpa skrip. Otak ligat memikirkan apa peristiwa / 'plot' selanjut dan selanjutnya demi mengikat kawan2 untuk terus mengikuti penceritaan khayalan Pak Lang itu.
Bila ramai yang berkerumun, kami akan terlerai bila Mak Long bawa rotan. Semua sekali kena rotan. Memikirkan hal itu, sangat rasa bersalah dengan Mak Long. Beliau mengajarnya sesungguh hati - tanpa upah. Kesungguhannya mendidik kami sangat terasa berkatnya. Semua kami menguasai Al-Quran dengan lancar dan khatam sejak di sekolah rendah - berkat asuhannya.
Aktiviti bercerita ini Pak Lang teruskan sehabis waktu mengaji. Kami panjat pokok belimbing depan rumah Long Denah dan duduk di di celah-celah dahannya sambil bercerita. Belimbing yang masih putik itu pun kami makan.
Rupanya bercerita ini, membantu banyak dari segi penguasaan bahasa, yakin diri, kreativiti, kepekaan dan sebagainya. Aktiviti bercerita ini wajar di laksanakan di sekolah-sekolah. Banyak manfaatnya untuk pengembangan potensi diri pelajar. Jika di latih, setiap orang pelajar akan menjadi pencerita yang baik. Setiap orang tentu mahu bercerita tentang dirinya kepada orang lain. Kalau diminta seseorang bercerita tentang hal sebegini, pastilah masa yang panjang diperlukan.
Ada satu lagi kemahiran yang perlu dilatih di dalam diri anak-anak iaitu menyediakan buku catitan kecil. Di kalangan mereka yang suka mencatit ini - walaupun warga korporat besar, mereka lebih mengenali buku kecil 555. Tun Dr Mahathir sendiri menggalakkan anak cucunya menggunakan buku 555 ini.
Bercerita dan menulis adalah dua aktiviti asas yang sangat berupaya membina minda (cara berfikir di luar kotak) dan merancang atau mengurus. Ilmu pengurusan boleh dicanai sejak kecil melalui teknik mencatat semua aktiviti yang akan dibuat. Catatan membantu untuk membuat semakan, analisa dan pembetulan.
Jika semua perkara yang hendak dibuat itu dilatih sejak kecil agar dicatit dan disemak dari jam ke jam, anak-anak akan menjadi seorang perancang besar. Ianya mengajar mereka fokus dengan aktiviti bermanfaat yang direncanakan.
0 ulasan:
Catat Ulasan