Social Icons

Jumaat, 31 Oktober 2014

Teater Transit Warga Tanah Dapat Liputan Sinar Harian

Bakal beraksi di FTM 2014
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 September 2014


TIDAK lama lagi, satu pertandingan teater peringkat kebangsaan, bakal berlangsung pada 26 Oktober hingga 1 November ini sempena Festival Teater Malaysia (FTM) 2014.

Salah satu peserta festival ini, kumpulan Remaja Harapan yang berasal dari Kedah membawa naskhah Abu Afif yang berjudul Warga Tanah.

Pemilihan kumpulan ini mewakili negeri tersebut berdasarkan pemilihan pada tahun lalu yang mana mereka berjaya meyakinkan para juri untuk ke festival berprestij ini. 

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2000 ini, bukan sahaja dianggotai anak jati negeri itu, sebaliknya ia turut disertai daripada negeri-negeri lain.

Pengarahnya Abu Hurairah berkata, keistimewaan kumpulan tersebut terletak kepada setiap ahli yang memiliki latar belakang yang berbeza.

Katanya, tidak terikat dengan satu jenis persembahan sahaja, kumpulan ini juga terlibat dengan pelbagai bentuk kesenian dalam Remaja Harapan.

"Kebiasaannya persembahan yang dipentaskan adalah nasyid dan pementasan muzikal kepada penonton.

"Tidak hanya melakukan persembahan dalam negara sahaja, bahkan kami berpeluang ke negara luar seperti Thailand," katanya.

Jelas Abu, untuk kali ini mereka membentuk sebuah kumpulan khas bagi mencuba nasib dalam Festival Teater Kebangsaan nanti.

"Konsep teater kami ialah Islamik dan ketuhanan. Kami pegang pada prinsip sesuatu yang dibuat dari hati, akan jatuh ke hati.

Terdiri daripada 20 anggota termasuk produksi, Abu berjanji akan memberikan yang terbaik pada pementasan akan datang.

Dalam pada itu selain anggota sedia ada, Remaja Harapan juga giat menambah penyertaan baru terutama golongan pelajar sekolah agar meminati teater. 

“Kami akan mencari pelapis baru agar mencintai teater khususnya teater Islamik. Mereka yang berminat boleh melayari laman Facebook kami dengan menaip RH Teater GRUP,” katanya.

Bawa lumpur ke pentas


Berkongsi mengenai teater Warga Tanah itu, ianya sudah dipentaskan beberapa kali oleh kumpulan itu.

Menurut Abu, pihaknya percaya karya tersebut pasti dapat menarik perhatian juri apatah lagi, Remaja Harapan sudah biasa dengan persembahan itu.

"Teater ini dipilih kerana kami yakin dapat beraksi dengan baik di hadapan penonton di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) nanti,” katanya.

Jelasnya, cerita dalam warga tanah berkisarkan kepada empat watak utama iaitu Orang Kaya, Si Petani, Sang Perintih dan Sang Peringat. Ia menghuraikan mengenai kehidupan manusia dan penyesalan yang dilalui mereka.

Menerusi teater ini juga, Abu berkata setiap watak mempunyai kekuatan tersendiri dan saling berkaitan antara satu sama lain.

Bahkan mereka turut membawa lumpur bersama ke atas pentas sebagai simbolik tubuh bahawa manusia berasal dari tanah.

"Selain itu, kami juga dapatkan tip-tip berguna daripada juara Festival Teater Malaysia 2012 iaitu kumpulan Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (Akrab).

"Mereka turut berkongsi cara untuk menyerap tekanan dalam pertandingan nanti," katanya.

Dalam masa sama, Abu menjelaskan bahawa perkara penting yang dititik beratkan adalah mesej yang dibawakan menerusi naskhah ini.

Terap unsur kemanusiaan

Biarpun pernah memperoleh Anugerah Juri dalam satu pertandingan teater suatu ketika dulu, Abu menyatakan mereka tidak menjadikan anugerah tersebut sebagai batu loncatan.

Katanya, mereka sentiasa mengutamakan kualiti dalam setiap karya yang dipentaskan agar penonton menghargai persembahan Remaja Harapan.

Bahkan untuk festival akan datang, mereka terus berlatih bagi memastikan tiada cacat cela dalam persembahan nanti.

"Setiap kali mementaskan suatu karya, kami amat menitik beratkan genre kemanusiaan dalam persembahan supaya dapat menyentuh hati penonton.

"Ia merupakan satu kelainan yang kami tampilkan biarpun pasukan lain turut menyelitkan genre yang sama," katanya.

Sambung Abu, juri bukan Islam turut teruja ketika sesi pemilihan (FTM) dengan apa yang mereka tampilkan kerana ia disampaikan dalam konteks yang berbeza.

"Kelainan yang kami lakukan adalah menggabungkan semua aspek visual, audio dan teaterikal.

"Bahkan elemen ini menjadi satu tarikan kepada penonton nanti.

"Ia suatu perkara baharu yang mana teater moden menyatukan tiga elemen dalam satu persembahan," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text