Seorang pemuda datang bertemu seorang Tuan Guru lalu mengadu tentang susahnya dia hendak melaksanakan kewajipan seharian terutamanya solat lima waktu.
Maka guru tersebut telah memberikan jawapan secara kiasan atau analogi. Tuan Guru tersebut telah bercerita tentang kisah seorang pemuda…
Seorang pemuda yang sempurna anggota badan, segak, bergaya lagi kaya berpindah ke rumah barunya yang terletak di sebuah penempatan elit.
Segala peralatan dan kelengkapan rumah di angkut dengan sebuah lori treler. Beberapa pekerja syarikat pengangkutan yang dibayar bertungkus lumus menguruskan barangan berkenaan.
Pemuda yang segak bergaya juga tidak duduk diam. Dia sama membantu dan menolong terutamanya bila mengangkat barangan yang eksklusif seperti hiasan antik.
Setelah beberapa jam, maka segala kelengkapan dan peralatan rumah sudah berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Bagaimana pun masih terlalu banyak kerja menysusun dan mengemas yang perlu dilakukan oleh tuan rumah.
Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba tuan rumah iaitu pemuda yang segak lagi bergaya itu didatangi oleh beberapa orang tetamu yang pastinya tidak diundang. Setelah salah seorang dari tetamu itu memberi salam dan mengucapkan selamat berkenalan, beliau pun memperkenalkan dirinya dan kawan-kawan yang bersama dengannya itu adalah wakil daripada pihak persatuan penduduk.
Pemuda yang segak bergaya menyambut mereka dengan senyum keletihan. Dalam hati terus berkata-kata, “Baik dan mesra sungguh penduduk di sini. Tanpa perlu diminta, awal-awal terus datang membantu dan menolong. Bertuah sungguh dapat jiran tetangga sebegini”
Sebaik sahaja mereka berkenalan dan beramah mesra, ketua kumpulan tersebut terus mengambil kesempatan menerangkan perihal peraturan dan undang-undang yang menjadi ketetapan kepada sesiapa sahaja yang akan menjadi penduduk di situ.
Ada beberapa perkara yang mesti dibuat dan ada pula beberapa perkara yang mesti ditinggalkan atau jangan dibuat sama sekali.
Sementara itu ada pula beberapa perkara yang boleh dibuat atau tak buat pun boleh juga. Ada pula perkara yang eloklah buat walau pun tak mesti dan ada yang dinasihatkan jangan buat, tapi kalau buat juga tak sampai kena hukum, cuma orang tak suka sahaja.
Tetiba Tuan Guru itu bertanya kepada pemuda yang mengadu tadi, “Bagaimana jika saudara mengalami keadaan seperti itu. Maksudnya, apa perasaan dan apa pula respon sepontan bila dalam keletihan orang datang syarah pada kita macam tu?”
Pemuda yang bertanya tadi agak terkejut kerana sedang asyik mendengar sambil menyalin cerita tuan guru itu. Dia seperti tertegun sebentar sambil matanya terkebil-kebil mencari jawapan.
Tuan Guru tersebut sangat faham. Lalu dia meneruskan pembicaraannya. Katanya,
“Kemungkinan pertama mungkin hati kita akan berkata, “Oh begitu. Oleh kerana saya telah membeli rumah idaman di sini dan telah pun berpindah, maka mahu tak mahu kena patuh jugalah. Suka tak suka saya kena taat kepada peraturan di sini.”
Manakala kemungkinan kedua pula mungkin hatinya akan berkata begini, “Peduli apa aku dengan peraturan dan undang-undang itu semua. Aku punya rumah, aku punya pasal-lah. Harta aku, kehidupan aku, hak aku.”
Tuan Guru terus menlanjutkan cerita dan kupasannya. Beliau menerangkan begini.
“Sekiranya perasaan atau respon pemuda tadi pada kemungkinan pertama, kesannya walau pun dia taat dengan peraturan dan undang-undang setempat, tapi hatinya tetap mendongkol. Bahkan selalu sahaja dia akan cuai atau mengabaikan peraturan terutamaya bila mana dia ‘rasa selamat’ dari dikenakan tindakan atau hukuman.”
“Tetapi jika kemungkinan kedua maka tentu akan lebih parah lagi. Peraturan hanya akan diikuti bila mana dipaksakan oleh kawalan penguatkuasa dan hukuman. Maka timbul masalah baru iaitu dia akan cuba melemahkan kawalan dengan berbagai pendekatan dan cara.”
Seterusnya Tuan Guru memberikan pandangan apa yang sepatutnya lebih utama dibuat atau lebih dilakukan oleh tetamu-tetamu tadi.
“Bukankah adalah lebih baik jika wakil persatuan penduduk tadi memulakan pertemuan atau perkenalan awalnya dengan cara begini.
Wakil tersebut berkata kepada pemuda itu, “Wahai saudara, bertuahlah saudara kerana telah menjadi sebahagian dari kami sebagai penduduk di sini. Saudara kena maklum bahawa Tuan Pengerusi persatuan penduduk di sini orangnya sangat baik, bertanggungjawab, pemurah, pandai mengambil hati dan sangat merendah diri.”
“Wahai saudara, sekiranya ada sebarang kesusahan atau kesulitan, maka mengadulah pada ketua atau wakilnya. InsyaAllah saudara akan dibantu dan dipermudahkan dalam segala urusan.”
“Wahai saudara, oleh kerana baiknya ketua kita di sini, maka beliau juga berjaya mengajak kami hidup saling sayang menyayangi, hormat-menghormati dan saling bertolong bantu dalam kebaikan.”
Setelah pemuda tersebut mendengar penjelasan serta kempen yang bersungguh-sungguh wakil tersebut mengenai Pengerusi Persatuan yang begitu baik, pertama sekali sudah tentu dalam hatinya teringin sangat hendak bertemu dengan pengerusi tersebut.
Walau pun belum sempat bertemu Tuan Pengerusi dan belum pun diterangkan lagi tentang apa-apa peraturan di situ, pemuda tersebut sudah pun bersedia untuk menjadi ‘rakyat’ yang baik dan taat setia kepada apa jua ketetapan yang telah ditentukan di situ.”
Begitulah sepatutnya Islam diperkenalkan. Rasulullah perkenalkan tuan puanya Islam itu terlebih dahulu iaitu Allah Tuhan sekelian alam. Allah sendiri sangat sering memperkenalkan diriNya sebagai zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Setelah para sahabat begitu rindu dan cintakan Allah, maka segala peraturan yang Allah turunkan langsung diterima, diamalkan dan diperjuangkan. Ibadah dan hukum-hakam dibuat dan dilaksanakan dengan penuh rela bahkan sangat dihayati.
Perkenalkanlah Allah terlebih dahulu, bukan hukum hakam. Bila manusia telah cinta dan takutkan Allah, maka hukum hakam dengan sendirinya mudah dilaksanakan.
Penutupnya Tuan Guru itu berkata kepada pemuda yang bertanya tadi, “Begitulah kalau kita belum kenal Allah, maka segala peraturan Allah susah dan sulit untuk kita laksanakan. Kalau pun mampu dilakukan, tapi susah pula mahu istiqomah.”
Bukan apa, kerana kita belum kenal Allah, jadi hati belum lazat untuk melaksanakan syariat Allah. Buat dalam terpaksa. Hati masih mendongkol.
Tapi cuba kita suluh dalam kehidupan seharian, kita cuba ghairah mengjar dunia, sebab itu yang kita lebih kenal. Celik mata kita dibesarkan dengan hal-hal dunia. Allah sedikit sangat dikenalkan. Sedangkan Allah ada Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tapi kita belum terasa lagi. Kita belum jatuh hati dengan Allah walau pun tahu Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sebab apa? Sebab belum kenal. Bila tak kenal maka tak cinta!
Pemuda yang bertanya tadi terus menulis sambil menundukkan kepalanya tanda malu dan tersentuh dengan kata-kata Tuan Guru tadi.
http://bandar-tua.blogspot.com/2014/10/kenali-allah-lebih-dahulu.html
0 ulasan:
Catat Ulasan