Social Icons

Selasa, 14 Oktober 2014

Benarkah PAS Semakin Mengecewakan? Baca Isu Keluarnya Tamrin Dari PAS!

Secara peribadi Pak Lang mengenali Tamrin Tun Ghafar. Beberapa kali pernah bertemu dengannya. Ketika beliau mengambil pendirian menyokong Pakatan Rakyat dan mendaftar sebagai ahli PAS, Pak Lang yakin, beliau tidak akan dapat bertahan lama di dalam PAS. 

Tamrin adalah seorang 'diplomatik' walaupun tidak pernah menjadi diplomat. Beliau masak dengan sepak terajang politik sejak kecil. Kemampuan beliau ialah bertahan dengan pendiriannya walau apa pun berlaku. Prinsip beliau yang mahu melakukan yang terbaik untuk agama, bangsa dan tanahairnya mungkin tertanam melalui didikan bapanya Tun Ghafar. 

Prinsip inilah yang mendorong beliau mendekati Pakatan Rakyat melalui PAS. Jiwa Islamnya adalah kesedaran yang dia sendiri rasakan setelah panjang perjalanan hidupnya. Justeru apabila beliau memilih PAS sebagai wadah perjuangan, beliau mengharapkan Islam sebagai penggerak perjuangannya benar-benar diimplementasikan di dalam PAS. Ternyata beliau kecewa. 

Dengan keluarnya Tamrin Tun Ghafar dari PAS, akan ada lagi rentetan peristiwa serupa bagi kelompok yang kecewa dengan harapan mereka terhadap PAS. Adakah PAS akan terus dengan keadaannya sekarang membiarkan situasi ini terus berlaku, kita akan sama-sama saksikan. 

Bacalah tulisan Saudara Shahbudin mengenai isu ini. Lawati blog Shahbudin DI SINI

Sah!! Tamrin Ucap Selamat Tinggal Pada Pas

Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka, Tamrin Tun Ghafar akhirnya sah keluar daripada parti Pas yang disertainya sejak 2012 lalu, berkuatkuasa hari ini, 15 Oktober 2014.

Pada awal pagi tadi, saya dihubungi oleh Tamrin yang mengajak saya bersarapan dengannya di Restoran Haslam, berhampiran Hospital Tawakal, Kuala Lumpur. Pada mulanya, saya menyangka beliau hanya ingin berbual-bual kosong atau mungkin menjelaskan mengenai apa yang saya tulis sebelum ini tentang khabar angin yang tersebar luas mengenai dirinya akan meninggalkan Pas yang kemudian menjadi perbualan ramai.

Rupa-rupanya beliau meminta saya menjadi saksi berhubung keputusannya mahu meninggalkan Pas. Katanya, beliau sudah berfikir panjang dan muktamad dengan keputusan ini.

Selepas selesai bersarapan, beliau lantas mengeluarkan surat yang sudah disiapkannya berhubung tindakan keluar Pas itu dan terus menandatanganinya di hadapan saya dan seorang lagi rakannya, Zamrin Bidin.

Surat itu ditandatangani pada jam 9.10 pagi dan kira-kira pukul 10 kemudiannya terus dihantar ke pejabat Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali melalui serahan tangan di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Dalam surat dua perenggan bertarikh 15 Oktober 2014 dengan tajuk "Menarik Diri Sebagai Ahli Pas" itu, Tamrin hanya menulis ringkas mengenai keputusannya itu dengan ayat, "Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa mulai tarikh surat ini saya menarik diri daripada menganggotai parti Pas.

"Adalah diharapkan pihak Ybhg Datuk dapat mengemas-kinikan rekod keahlian saya berikutan keputusan ini. Sekian, terima kasih".

Tiada sebarang alasan diberikan berhubung tindakannya meninggalkan Pas itu.

Dengan surat tersebut, maka sahlah sudah desas-desus yang bertiup kencang sebelum ini mengatakan Tamrin yang merupakan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba akan meninggalkan Pas yang disertainya menjelang PRU 13 lalu.

Blog ini dalam postingnya pada pada 7 Oktober 2014 telah menyiarkan mengenai desas-desus itu dengan tajuk "Tamrin Ghafar Keluar Pas?" yang dipercayai kerana tidak puas hati dengan tindak-tanduk pemimpin tertentu dalam Pas yang menambahkan lagi kekusutan dalam PR, terutama berkaitan isu pertukaran Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.

Meskipun bertindak meninggalkan Pas, tetapi difahamkan Tamrin tidak akan menyertai PKR mahu pun DAP bagi meneruskan perjuangannya. Beliau juga tidak mungkin kembali semula menyertai UMNO.

Adalah difahamkan, beliau masih meyakini perjuangan PR terutamanya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang dan untuk menjadikan gabungan itu sebagai alternatif kepada BN. Tamrin dikatakan hanya meninggalkan Pas tetapi masih bersama dengan perjuangan PR.

Sehubungan itu, Tamrin dikatakan akan bergerak melalui sebuah NGO yang bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi bagi membantu perjuangan PR mengambil alih kepimpinan negara daripada BN. 

Selepas dilancarkan nanti, NGO tersebut akan bergerak aktif mendepani pelbagai isu yang berlaku dalam masyarakat, terutama yang berkaitan isu perkauman dan perpaduan. (SH 15/10/2014).



0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text