Social Icons

Jumaat, 31 Oktober 2014

Festival Teater Malaysia (FTM) 2014 - Kumpulan Manakah Yang Akan Muncul Juara?

KREDIT SUMBER; HMETRO


Detik yang ditunggu sudah tiba. Selepas bertungkus-lumus membuat persiapan, enam kumpulan terbaik yang dinilai juri profesional akhirnya akan bertanding dalam Festival Teater Malaysia (FTM) 2014 yang membuka pentas bermula Ahad ini (26 Oktober) sehingga Sabtu ( 1 November) di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Berpegang kepada prinsip alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, semestinya setiap pasukan sama ada pengarah, pelakon dan kru produksi bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik bagi memastikan gelaran juara menjadi milik mereka.

Program dwi tahunan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama DBKL ini memilih enam pasukan dari enam negeri yang berjaya ke final selepas melepasi peringkat penilaian yang diadakan pada Januari hingga Mei lalu di negeri masing-masing.

FTM 2014 diadakan oleh JKKN bagi mengangkat bakat generasi baru dalam lakonan, pengarahan dan produksi. Menyorot kembali sejarah penganjurannya, festival ini sudah mewarnai dunia seni sekitar 1970-an hinggalah 1980-an pada ketika itu dikenali sebagai Pesta Tarian dan Drama.

Kemudiannya pada 1990, Pesta Tarian dan Drama dijenamakan semula sebagai Pekan Teater dengan format dan pendekatan baru yang hanya memfokuskan kepada genre teater sahaja.

Namun demikian, sejajar dengan peredaran masa dan perubahan citarasa khalayak teater moden, program ini disemarakkan lagi dengan jenama baru iaitu Festival Teater Malaysia sejak tahun 2002 hinggalah ke hari ini.

Enam kumpulan terpilih dari 14 negeri yang bertanding, Kelab Teater Rimba, Universiti Kebangsaan Malaysia yang mewakili negeri Selangor dengan naskhah Alahai Menantu arahan Nuex Rosli, Persatuan Penggerak Seni Budaya (Kuala Lumpur) dengan naskhah Penjuru Empat Karma arahan Mohd Firdaus Kamaruddin dan Kumpulan Teater Remaja Harapan (Kedah) dengan naskhah Transit Warga Tanah arahan Abu Hurairah.

Turut bertanding, Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah (Sabah) dengan naskhah Vito Il Mafioso arahan Tasia Alina Ismail, Persatuan Seni Persembahan Sifar (Sarawak) dengan skrip Teater Penggali Intan arahan Abdilah Untong dan Kumpulan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) (Kelantan) dengan naskhah 'Iyakah Tok Janggut' arahan Zack Zaideen.

Gelanggang FTM 2014 akan dibuka oleh wakil Selangor pada 26 Oktober, diikuti oleh Kuala Lumpur (27 Oktober), Kedah (28 Oktober ), Sabah (29 Oktober), Sarawak (30 Oktober) dan Kelantan (31 Oktober). Majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah pula akan berlangsung pada 1 November 2014.

Hadiah yang menanti untuk juara RM10,000, piala pusingan dan piala iringan, naib johan (RM8,000 dan piala iringan), ketiga RM6,000 dan piala iringan, Pengarah Terbaik (RM2,000 dan piala iringan), Pelakon Lelaki Terbaik (RM2,000 dan piala iringan), Pelakon Wanita Terbaik (RM2,000 dan piala iringan), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (RM1,500 dan piala iringan), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (RM1,5000 dan piala iringan), Pelakon Harapan Lelaki (RM1,000 dan piala iringan), Pelakon Harapan Wanita (RM1,000 dan piala iringan), Anugerah Khas Juri (RM1,500 dan piala iringan) serta Sinografi Terbaik (RM1,000 dan piala iringan).

Bagi Nuex Rosli yang mempertaruhkan naskhah tulisan Profesor Madya Razali Taib, Alahai Menantu tampil dengan gaya santai kerana menampilkan realiti yang berlaku dalam masyarakat.

"Teater ini bertanding dalam Festival Teater Selangor 2013 dan berjaya merangkul gelaran Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

"Saya pilih teater ini kerana sukakan genre realisme. Ia berkisarkan bagaimana cara nak adaptasi budaya kampung dengan budaya luar. Kumpulan teater dari Selangor sudah 12 tahun tak berpeluang ke peringkat akhir dan kami menggalas tanggungjawab yang berat," katanya.

Sementara itu, Abdilah Untong pula akan tampil dengan naskah tulisan karya Kirdjomulyo yang mengandungi pengajaran tersendiri berkisarkan ketamakan manusia.

Tiada tiket dikenakan untuk menonton dan masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:02 AM

AKSI dalam teater Penggali Intan.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text