Social Icons

Khamis, 9 Oktober 2014

Kisah Seorang Wanita Memeluk Islam - Sedih, Bahagia, Cemas Dan Terharu Bercampur- Baur

Mungkin ada yang perasan mengenai beberapa paparan berkaitan Islamnya Saiyidina Umar Al-Khattab dipaparkan secara berurutan di dalam blog ini. 

Pak Lang merasakan kata-kata Rasulullah saw kepada Saiyidina Umar ketika memegang bahunya di saat dia datang dengan pedang terhunus mencari Rasulullah saw - adalah kata-kata ajaib. 

'Sampai bilakah kamu mahu terus begini wahai anak Al-Khattab!!" adalah ungkapan yang meruntun hati seorang yang sudah terpukau dengan indahnya ayat Al-Quran dari surah Taha yang dibacanya di rumah adiknya. 

Apapun setiap orang yang dilimpahi cahaya hidayah dari Allah mempunyai sebab atau punca tersendiri yang menjadikan mereka mahu sesungguh hati melafazkan syahadah memeluk islam. 

Begitulah yang terjadi kepada seorang wanita bernama Puan Iman (Nama setelah Islam). - Katanya dia pengunjung tetap blog suaramuhajirin313!! 

Dunia internet memudahkannya mengkaji dan memahami agama Islam. Semua berkaitan ajaran Islam diterokainya melalui internet dan berbalas email dengan kakak angkatnya yang membawanya kepada Pak Lang. 

Hari Rabu 8 Oktober merupakan hari bersejarah untuk hidupnya. Di hadapan Pak Lang dia nyatakan; "Hati saya sangat yakin dengan Islam, saya sudah beriman dengan Allah di dalam hati saya tetapi akal sangat mengganggu. Akal saya sentiasa mengajak untuk undur ke belakang semula. Akal suruh saya memikirkan hal suami yang belum memeluk Islam, hal keluarga, hal kerjaya saya dan lain-lain. Saya jadi teragak-agak."

Puan Iman ini sejak kecil sudah merasakan satu dorongan untuk mendekati agama Islam. Menariknya, secara semula jadi, dia tidak suka dengan makanan yang tidak halal dimakan oleh orang Islam. Sedaya upaya dia akan mengelak jika terperangkap dengan ajakan kawan-kawan atau suami. Kerap kali Allah menolongnya - menyelamatkannya dari menyentuh makan yang 'haram' baginya.

Sepanjang umurnya, dia merasakan Allah sedang memerhatikannya secara khusus. Itulah yang terfikir olehnya. Hal ini semakin lama semakin mendesaknya untuk berfikir secara lebih serius. Disamping itu banyak kali berlaku peristiwa yang kelihatan kebetulan tetapi mendorongnya berfikir tentang kehidupan yang dilaluinya.  

Dia pernah terlibat satu kejadian 'kemalangan' jalan raya. Ketika dia merasakan sedang terbabas dan sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi - dalam keadaan dia sudah menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan, menunggu masa berlaku hentaman 'bummm' tiba-tiba keretanya terhenti serta merta. Anehnya kereta itu tidak terbabas ke mana-mana, tidak tercalar sedikit pun dan dia tidak tahu siapa yang memberhentikan keretanya!!

Itulah antara insiden yang mendorongnya berfikir tentang kesudahan hidupnya. Adakah mahu mati dan masuk neraka yang kekal selama-lamanya? 

Tetapi beratlah perasaannya menanggung bebanan. Ianya satu keyakinan yang cuba diganggu gugat oleh syaitan yang cuba menghalangnya dari menjadi hamba yang beriman. Tangisannya sebelum melafazkan syahadah menggambarkan betapa beratnya beban yang dipikulnya. 

Menariknya bila dia selesai melafazkan syahadah, dia juga menangis tetapi ada pancaran kepuasan dan ketenangan yang terlimpah di wajahnya. Alhamdulillah. semoga Puan Iman menjadi seorang wanita mukminah solehah yang berperibadi mulia. 

Buktikan Islam yang dipilih adalah agama yang benar - yang mendorong berkasih sayang sesama manusia. Menjadi hamba Allah bermakna menjadi seorang yang mahu menurut semua perintah Allah. Dunia perlukan hamba-hamba Allah yang taat.

Seorang hamba Allah adalah seorang yang pengasih, penyayang, pemaaf, penyelamat, pembela, pendorong kebaikan, pencegah kejahatan, pemurah, penyumbang khidmat, pemberi bantuan, penghubung keluarga dan sebagainya.

Semoga Puan Iman tidak rasa keseorangan dalam mendapatkan Allah dan Rasul sebagai tujuan dan matlamat hidupnya. 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text