Sekarang ini cendul merupakan produk yang sama kategorinya dengan bahan bakar petrol dan diesel. Jika harga minyak naik nasihat Menteri Hasan Malek semua pihak mesti mengikut langkah cendul Bakar di Kuala Selangor menurunkan harga jualan cendulnya sebanyak 0.20 sen. Pendeknya jika naik harga minyak, semua penjualan barangan dan perkhidmatan perlu menurunkan harga jualannya.
Rupa-rupanya baru sekarang kita ketahui yang cendul itu merupakan barangan keperluan untuk hidup, seperti petrol, tanpa petrol tidak dapat menyambung hidup dengan sempurna. Nasihat Menteri ini selalunya menggelikan hati dan saya secara peribadi sentiasa tertunggu-tunggu untuk mendengar nasihat beliau yang pelik dan kadangkala menggelikan hati tidak dapat ditahan-tahan.
Saya berharap perkhidmatan bas dan keretapi juga akan menurunkan tambangnya dengan kenaikan harga bahan bakar sekarang ini. Teksi juga perlu menurunkan harga tambangnya dari sekarang untuk menyambut dan memberikan reaksi dengan kenaikan harga petrol dan diesel ini bagi mengikut contoh penjual cendul Bakar di Kuala Selangor itu.
Kalau pemandu teksi ditanya oleh pengguna perkhidmatannya kenapa harga tambang sudah turun, hanya jawab yang tindakannya menurunkan harga tambang itu ialah diatas nasihat Menteri Hasan Malek untuk mengikut contoh penjual cendul Bakar di Kuala Selangor yang menurunkan harga cendulnya sebanyak 0.20 sen semangkuk.
Kepada Menteri ini, dengan penurunan harga cendul Bakar Kuala Selangor itu ia akan mengurangkan tahap inflasi negara, dan jika semua mengikut nasihat beliau sudah tentu keadaan ekonomi negara akan bertambah baik. Formula ekonomi Hasan Malek ini, lagi petrol dan diesel serta bahan bakar yang lain naik semua mesti menurunkan harga jualan produk-produk dan perkhidmatan mereka.
Kita tunggu berapa ramai lagi akan mengikut nasihat Menteri ini kerana nasihat beliau ini terlalu lain dari yang lain dan terlalu pelik untuk didengar dan diterima, setidak-tidaknya oleh diri saya sendiri.
Selalunya harga bahan bakar menjadi penentu harga barangan keseluruhannya, tetapi Menteri ini berpendapat yang harga cendul merupakan barometer yang terbaik untuk menentukan tahap harga bahan keperluan kehidupan kita.
KREDIT UNTUK BLOG PAK ASPAN
0 ulasan:
Catat Ulasan