Hari ini, anak-anak sudah tidak terdedah dengan kerja lasak. Jika bermain, mainan mereka di alam maya - guna pelbagai gajet elektronik. Tiada peluh dan tiada penat. Jika bekerja, tiada pekerjaan yang payah dan sukar. Tiada cabaran. Hanya jika rajin, pekerjaan mereka mungkin sekadar membantu ibu bapa mengemas rumah atau membasuh kereta atau membersih halaman rumah yang hanya beberapa kaki persegi.
Sebelum ledakan teknologi maklumat yang canggih seperti zaman sekarang, anak-anak mesti membantu pekerjaan ibu bapa. Jika ibu bapa penoreh getah, mereka juga turut membantu. Begitu juga bersawah padi, bertanam sayur, menjadi nelayan dan sebagainya.
Semua kerja ini banyak menggunakan kekuatan tulang empat kerat. Ianya memenatkan, berpeluh dan meletihkan. Bebanan kerja berikutan keperluan kehidupan mencari rezeki untuk keluarga. Penghasilan wang dari pekerjaan sangat sedikit berbanding keperluan untuk berbelanja terutama untuk persekolahan anak-anak.
Setiap keluarga terdorong untuk rajin dan bersungguh-sungguh bekerja. Anak-anak tidak dapat tidak terpaksa dilibatkan sama-sama. Hasilnya anak-anak ini menjadi lasak dan tahan memikul bebanan berat dalam hidup.
Anak-anak yang sebegini, terlatih untuk menghadapi cabaran. Mereka tidak mudah mengaku kalah sebab sejak kecil mereka tidak dimanjakan. Bahkan kebanyakan orang tua lelaki adalah 'garang' dan tegas. Mereka tidak cakap banyak. Justeru anak-anak menjadi peka dengan kehendak ibu bapa. Takut dimarahi menjadikan mereka berhati-hati. Sekali kena rotan, sudah serik untuk berbuat salah yang sama.
Anak-anak inilah yang apabila besar, muncul di pelbagai sektor kerajaan dan swasta. Setelah lama kita merdeka, anak-anak yang sudah terdidik dengan kesusahan ini mampu bersaing dengan siapa sahaja. Mereka mampu berdepan dengan tugasan besar dan mencabar.
Sebab itu, anak-anak perlu diasuh dengan kesusahan dan kepayahan. berikan tugas yang susah dan sulit untuk diselesaikan. tentunya dilatih mencuba yang mudah-mudah terlebih dahulu. Tugasan ini ditingkatkan sedikit demi sedikit sehingga seberat mana pun tugasan diberikan mereka sanggup melakukannya.
Memanjakan anak adalah satu kesilapan yang malang. Hasilnya pasti kita akan menyaksikannya ketika si anak sudah remaja dan dewasa!!
Di bawah: dari Blog Nasihangit
0 ulasan:
Catat Ulasan