Perjalanan ke Jawa Tengah kali ini begitu memenatkan. Mungkin kerana agak tergesa-gesa mengejar waktu. Saya menuju Yogjakarta dalam keadaan jerebu tebal memenuhi ruang angkasa Sumatera. Pulau jawa juga hampi gelap dek jerebu. Jadi sebaik sampai di Yogja, setelah solat dan merebahkan diri di bilik hotel, terus terlelap. Keletihan menjadikan hasrat mahu menulis terpadam.
Sepanjang perjalanan kali ini, Pak Lang banyak membaca. Membaca biasanya membuka minda untuk merenung dan berfikir. itulah yang berlaku kepada pak Lang jika membaca. renungan pak Lang ialah kepada perjalanan hidup. Muhasabah diri mungkin.
Ketika saya merenung semula hari-hari dalam hidup saya yang sudah menjadi sejarah, rasa cemas dan bimbang mula datang. Umur yang semakin singkat ini benar-benar mencemaskan. Apa dan bagaimana keadaan Pak Lang bila dipanggi pulang oleh Allah ke negeri yang kekal abadi?
Teringat kawan-kawan yang sama-sama dalam kelas kami di Sekolah Kebangsaan Felda Guar Napai dulu. Kami tidak ramai. Kalau tidak silap ingatan, hanya 21 orang sahaja. Walaupun tidak ramai, tidaklah Pak Lang ingat semuanya sekarang.
Mengenangkan diri yang sudah 54 tahun ini, teringat juga wajah kawan-kawan yang ditemui semula sekarang. Setelah puluhan tahun tidak berjumpa, wajah dan tubuh masing-masing membayangkan kehidupan lama yang sudah ditempuh. Kebanyakannya sudah beruban.
Jika dulu lincah, cergas dan berlari ke sana ke mari, sekarang kami sudah lambat melangkah kaki. Sudah semput dan cepat letih. Kulit yang membalut anggota tubuh sudah lama lembut - sudah tidak secekang seperti dulu. Tubuh badan juga sudah jauh mengesit. Ada ramai juga yang menanggung berbagai penyakit.
Semuanya adalah peringatan Allah untuk bersiap sebelum di panggil balik ke akhirat. Sudah ramai kawan rakan yang sebaya atau anak-anak yang lebih muda - terlebih dahulu meninggalkan kita. Tanah kubur di Felda Guar Napai juga menghimpunkan yang tua dan muda serta anak-anak kecil.
Bilakah mati akan menjemput kita? Kita cerdik kalau kita insaf dengan kematian. Mati adalah penutup kelazatan. Bahasa tepatnya mati itu 'memotong' apa jua kelazatan. Ingatkan kematian, menghapus semua keinginan nafsu. Jika sekarang - dalam usia sebegini, kita sudah kerap mengingati mati, syukurlah kerana ramai lagi yang tidak sedar dia akan mati.
Jika ditanya kepada sesiapa yang berusia melebihi separuh abad, ingatan kepada kematian sudah semakin kerap. Apatah lagi jika sudah mengidap berbagai penyakit kronik. Hidup bertemankan ubat. Persinggahan harian dan mingguan adalah klinik atau hospital. Kebimbangan dengan kematian adalah suatu yang lumrah bagi kebanyakan orang yang insaf.
Wajarlah kita bimbangkan keadaan diri yang belum mencapai hati yang selamat. Bagaimana dan bilakah masanya akan mendapat hati mutmainnah, tidak lah tahu. Apa yang pasti, serasa tiada apa-apa kemajuan di daloam meningkatkan rasa hati kepada Allah.
Malangnya tidak ada tolak ansur di sisi Allah. Syarat untuk selamat di akhirat ialah membawa hati yang sejahtera daripada sifat-sifat yang keji.
Apakah sifat-sifat keji itu?
Antaranya ialah sifat cinta dunia, takut mati, sombong, takabbur, ego, bangga diri, rasa diri selamat, hasad dengki, cemburu, sakit hati, menunjuk-nunjuk, sukakan pujian, gemarkan sanjungan, tidak sanggup ditegur, tidak merasa bersalah dengan Allah, tidak mahu beralah, tidak mahu bertolak ansur, kedekut, mengumpat, mengadu domba, menghina dan mengejek sesama muslim, berbohong, menipu, pemarah, penakut, memakan harta orang tanpa hak dan sebagainya.
Jika dilihat kepada sejarah hidup, tidak terhitung kesalahan dan kesilapan. Bagaimana mahu menyelesaikannhya? inilah yang menghantui diri yang sudah lebih separuh abad ini. Luluskah menempuh kematian. Bagaimana keadaan malaikat maut mencabut nyawa nanti? Allah!!!
0 ulasan:
Catat Ulasan