Social Icons

Jumaat, 17 Oktober 2014

PAS Sedang Menuju Zaman Kejatuhan?

Konflik senyap sedang dan terus berlaku di dalam PAS. Jangan disangka ianya baru bermula ekoran krisis MB Selangor (yang berkesudahan dengan perlantikan Azmin Ali sebagai MB yang baharu). Sebenarnya konflik ini wujud sejak awal. Sejak dulu kelompok ulama dan profesional di dalam PAS mempunyai kem dan penyokong mereka sendiri. 

Apatah lagi apabila PAS mengambil keputusan mengadakan 'tahalluf siyasi' (kerjasama politik) dengan DAP dan PKR. Keadaan ini tambah memerangkapkan PAS. Idealisma hudud dan ekstreamis Islamis yang tegas kelihatan masih kuat di kelompok ulama.  DAP secara terbuka menolak hudud. 

Manakala kelompok profesional dilihat lebih toleransi dan berfikiran terbuka. Ruang berbincang dan menerima pandangan lebih jelas wujud pada kelompok ini. Kelompok ulama pula dilihat tertutup, satu hala dan tiada ruang membenarkan dikritik. 

Jadi, tanpa kerjasama di dalam Pakatan Rakyat ini pun, konflik senyap ini kekal wujud dalam tafsiran masing-masing. Kefahaman yang jitu dalam hal kelompok ulama dan profesional tidak wujud. 

Tidak ramai yang mampu menghurai makna dan maksud kewujudan puak ulama dan profesional ini. Kedua-dua kelompok ini sepatutnya saling kuat-menguatkan. Anehnya apa yang berlaku ialah saling curiga-mencurigai. Dalam banyak keadaan situasi ini memerangkap PAS untuk mudah terpecah. 

Kewujudan kedua kelompok ini adalah virus senyap yang mampu meruntuhkan PAS. Justeru ianya perlu difahami dan diterima sudut positifnya secara menyeluruh. Jangan dibiarkan unsur negatif menguak menjadi besar dan menggugat keutuhan PAS. 

Jika PAS tidak melakukan sesuatu mengubat virus negatif ini, rentetan peristiwa negatif akan terus muncul. Pemimpin mesti tahu di mana punca masalahnya. Tindakan terhadap PasMa hanyalah tindakan sementara. Ianya tidak akan menghentikan pelbagai isu negatif terhadap PAS. 

Mampukah Presiden PAS menyelesaikan krisis senyap kelompok ulama dan profesional ini secara tuntas dan seterusnya dapat membina kekuatan baru untuk PAS? Atau - jika gagal, adakah ianya pertanda kejatuhan atau perpecahan dalaman PAS? Akibatnya kita sama-sama maklum.

Lihat sahaja apa yang terkini berlaku kepada PasMa. PasMa dicap sebagai 'jentera' kelompok profesional PAS untuk menjatuhkan Presiden PAS. Sebaliknya pada PasMa, mereka hanya mahu memastikan keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat terus relevan dan bermakna.

Mereka yang menerima gagasan PasMa tentu tidak puas hati dengan tohmahan terhadap mereka. Sama-sama kita saksikan apa tindak balas mereka!!

Baca dulu tulisan Saudara Shahbudin seperti di bawah: RUJUK BLOG BELIAU DI SINI

Pas Bakal Pecat Pemimpin PasMa?

Beberapa Pas Negeri sudah pun mengeluarkan arahan kepada ahlinya agar tidak menyertai serta menjauhi PasMa, sebuah NGO yang diketuai oleh bekas Exco Kedah, Pahrolrazi Zawawi.

Antaranya ialah Pas Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan beberapa negeri lagi juga dijangka akan mengeluarkan arahan yang sama tidak lama lagi. 

Walaupun PasMa sudah menyatakan bahawa peranannya ialah bertujuan untuk memastikan Pas kekal bersama PR di sebalik merebaknya kebimbangan mengenai penubuhan kerajaan perpaduan antara Pas dengan UMNO, NGO itu seolah-olah begitu ditakuti oleh Pas.

Larangan dan kebimbangan terhadap PasMa ini dipercayai selaras dengan ucapan Haji Hadi dalam Muktamar Agung Pas di Batu Pahat, baru-baru ini yang bertegas melarang kewujudan "parti dalam parti" serta mahu semua ahlinya bersatu hati dalam perjuangan Islam bersama Pas.

Susulan itu, Majlis Syura Ulama Pas melaluinya Setiausahanya, Nik Zawawi Salleh telah mengeluarkan arahan agar tiada ahli Pas menyertai PasMa.

Namun demikian, PasMa nampaknya terus bergerak aktif dan tidak memperdulikan arahan itu. PasMa juga tidak melatah, malah menyatakan Majlis Syura Ulama tiada hak mengeluarkan larangan itu. Selain itu, PasMa juga tidak terusik dengan adanya cabaran agar NGO itu berubah menjadi sebuah parti politik untuk melihat sejauh mana ianya boleh bertahan.

PasMa bukan saja terus melebarkan sayapnya ke negeri-negeri, malah laman Facebook peringkat negeri juga giat diaktifkan untuk menyebarluaskan lagi peranan dan aktiviti mereka.

Dalam masa yang sama, ada yang berpendapat bahawa tindakan Pas melarang ahlinya menyertai PasMa menunjukkan parti itu semakin tertutup dan tidak sedia menerima teguran daripada pihak yang berbeza pandangan dengannya.

Sebagaimana keputusan Muktamar 2008 yang memutuskan parti itu bekerjasama dengan PKR dan DAP melalui PR, PasMa hanyalah bertujuan mengukuhkan lagi ikatan itu bagi menyaingi BN dan mewujudkan sistem dua parti yang lebih berkesan demi kepentingan rakyat.

Tetapi melihat kepada kes dua Adun Selangor, Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang digantung keahliannya beberapa hari lalu, ramai yang bimbang mengenai nasib pimpinan PasMa ini. Mempertahan dan mendekatkan lagi Pas dalam PR seolah-olah sudah menjadi kesalahan bagi parti itu kebelakangan ini manakala tindakan menjauhkan lagi Pas daripada PR pula sesuatu yang dibenarkan.

Ada yang mengatakan, setelah adanya larangan agar ahli Pas menjauhi dan tidak menyertai NGO itu, tindakan yang lebih keras sedang menunggu pimpinannya tidak lama lagi. Ramai yang menjangkakan pimpinan PasMa akan menerima hukuman sama ada digantung keahlian atau dipecat terus daripada Pas selepas ini.

Tambahan pula, PasMa juga terus aktif dan agresif dengan pelbagai kegiatannya di merata-rata tempat, walaupun setelah satu demi satu negeri mengeluarkan larangan kepada ahli-ahlinya daripada mendekati NGO itu.

Realitinya, Pas sebenarnya memang menyedari bahawa tindakan mereka menjauhkan diri dan berbalah dengan rakan-rakan gabungan dalam PR tetapi dalam masa yang sama masih kekal dalam gabungan itu membawa lebih kerugian daripada keuntungan kerana boleh menyebabkan parti itu terus kehilangan sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Bertindak keras terhadap PasMa pula mungkin akan menyebabkan golongan profesional tidak berminat lagi terhadap Pas. Akhirnya, Pas menjadi semakin mengecil sokongannya, terutama di kawasan bandar dan separa bandar.

Berbanding menjadikan Pas makin mengecil dan dijauhi, bukankah lebih baik jika PasMa lebih didekati daripada dimusuhi? (SH 17/10/2014)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text