Social Icons

Jumaat, 31 Oktober 2014

Teater Islami - Medium Dakwah Yang Berpotensi Dikembangkan


Kita faham tentang drama iaitu cerita yang dipersembahkan melalui lakonan. Ianya bermaksud aksi yang dicipta oleh manusia untuk tujuan berkomunikasi secara simbolik dan dilakukan di hadapan penonton. 

Semuanya ini dipersembahkan kepada penonton melalui imej dan cerita-cerita yang imaginatif. Maksudnya drama ialah sejenis karya seni yang menggunakan trak, bahasa, pentas, kostum, bunyi dan cahaya. Penekanan drama lebih kepada unsur sasteranya iaitu ungkapan dialog dan intonasi bahasa yang digunakan. 

Manakala teater pula dimaksudkan pementasan atau persembahan sesebuah cerita di mana bahasa hanya menjadi satu daripada unsurnya.  Jika faktor-faktor gerak, pentas, kostum, bunyi dan cahaya merupakan faktor-faktor luaran bagi drama, tetapi sebaliknya ianya menjadi faktor-faktor dalaman dalam teater. 

Unsur-unsur inilah yang kita dapat lihat di dalam Teater Transit Warga Tanah persembahan Kumpulan Remaja Harapan Pochan pada malam 28 Oktober yang lalu. 

Mereka berjaya menggabungkan pelbagai elemen sedemikian untuk mencerna satu eksperimen teater yang di luar kotak pemikiran biasa. Apatah lagi mesej kerohanian yang ditampilkan mereka adalah suatu yang berat untuk dicerna. Tidak mudah mengolahkannya di atas pentas sehingga mampu mengalirkan airmata ramai penonton. 

Ya, rata-rata yang menyaksikan persembahan mereka terkesan dengan mesej yang dilontarkan. Abu Hurairah selaku pengarah dan peneraju utama berjaya memainkan peranan yang menampung kekurangan seorang dua pelakon yang lain. 

Pada Pak Lang, 20 minit yang pertama persembahan Kumpulan Remaja Harapan itu agak hambar dan sedikit menjemukan. Mungkin kerana kelambatan sambut menyambut dialog kerana terikat dengan aksi masing-masing. Khalayak yang hadir mahukan kelancaran momentum. 

Agak sukar hendak difahami jalan ceritanya di peringkat awal. Ada dialog yang kurang jelas dek kerana tumpuan yang lebih kepada aksi lakonan, penekanan suara, gerak sukar di kelicinan lumpur yang memang disengajakan. Ianya melambatkan dan ada ketikanya penonton boleh mengagak apa yang perlu diucapkan. Apa pun lontaran suara keras dan tegas Abu Hurairah membantu khalayak faham apa yang sedang berlaku. 

Menariknya semua yang hadir sedang mengkagumi penampilan mereka. Jadi hal-hal yang Pak Lang nyatakan ini, tidaklah dipedulikan sangat. Bahkan rasanya setiap orang berusaha memahami sendiri hala tuju atau plot persembahan yang sedang berlangsung. 

Sekurang-kurangnya penampilan para pelakon dalam keadaan berlumpur itu sudah membina keyakinan khalayak betapa seriusnya 'budak-budak Pochan' ini bekerja! Apa yang Pak Lang singgung ini pun mungkin kerana minda Pak Lang menanggapi beberapa elemen 'absurd' yang perlukan penjelasan langsung. Memangnya pertanyaan dalam minda Pak Lang tidak menemui jawapan. 

Antara hal yang kabur pada Pak Lang ialah soal siapa 'utusan Allah' itu? Pastinya dia bukan seorang nabi. Pasti juga bukan Malaikat. Justeru yang pasti dia mungkin manusia jika tidak dari kelompok jin. Kalau 'utusan Allah' itu adalah manusia, tentulah dia seorang insan soleh. 

Apa yang mencelarukan minda Pak Lang ialah penampilannya dalam kostum berwarna hitam sepenuhnya. Warna hitam adalah elemen negatif, jahat atau kontra daripada putih dan suci. Bahkan manik di dadanya itu menampakkan seolah-olah 'salib' pula. Ini hanya persepsi Pak Lang sahaja. Itulah apa yang Pak Lang nampak sekali imbas. Lama juga Pak Lang menafikan dalam hati bahawa itu bukan salib. Persepsi hitam itu menjurus kepada watak gelap dan antagonis.

Begitu juga Pak Lang jadi gelisah dengan aksi hentakan tongkat. Tongkat itu boleh kekal dipegang kemas untuk menggerunkan tetapi mungkin lebih sesuai kekal tanpa dihentak. Tentu ada lontaran kata-kata yang tajam dan menggerunkan yang sesuai untuk menggantikan hentakan tongkat. 

Ini kerana watak Utusan Allah sewajarnya membayangi watak para Nabi yang membawa khabar gembira. Untuk orang berdosa, harapan taubat dan keampunan Allah adalah sebesar-besar peluang yang sangat berharga.

Berdasarkan penampilan dan gaya keras 'utusan Tuhan' itu, rasanya nama yang sesuai untuknya ialah 'Penyampai Amaran Tuhan'. 'Utusan Tuhan' lebih bersifat umum yang perlu membawa tabsyir (khabar baik / berita gembira) dan tanzir (khabar buruk / amaran). Jika ia muncul sebagai 'Penyampai Amaran Tuhan', maka itu lebih bersifat khusus - sesuai dengan penampilan keras dalam menyampaikan khabar kutukan serta hukuman Tuhan.

Walau bagaimanapun itu hanyalah persepsi Pak Lang. Team produksi mereka tentunya sudah mengambil kira semua aspek. Itu semua tidaklah jadi kesalahan atau kekurangan kerana elemen teater memang sebegitu. Ada banyak persoalan yang mengocak akal dan hati para penonton. Teater sebetulnya datang untuk mengocak pemikiran manusia. Kadang-kadang hal yang absurd itu memang disengajakan untuk meninggalkan kesan berfikir yang lebih mendalam. 

Pak Lang memahami hal ini. 

Jadi semua yang terlibat menghasilkan naskhah Teater Transit Warga Tanah ini wajar menerima penghargaan. Allah sudah pilih mereka menjadi 'utusan Allah' membawa hati para penonton kepada Allah. Semua penonton terdorong langsung untuk muhasabah. Bahkan kita kira tentunya para pelakon juga sangat mendapat keinsafan. Sepanjang penampilan mereka, setiap yang mempunyai mata hati akan pasti merenung semula perjalanan hidup masing-masing. 

Semua pelakon yang tampil di pentas - terutama yang bergelumang dengan lumpur adalah gambaran umat manusia seluruhnya. Setiap orang akan tersentuh mengingatkan semula apa yang pernah dilakukan sepanjang hidup. Hidup melupakan Allah adalah suatu yang menjelekkan. Sama jeleknya dengan lumpur yang 'mengotori' mereka dari hujung rambut ke hujung kaki. 

Dahsyatnya pemandangan dan penampilan sebegitu. Walaupun ada insiden yang agak lucu seperti pelakon hampir tergelincir di luar kawalan - para penonton tidak berani untuk ketawa - hanya kerana penangan seriusnya penampilan mereka memperkatakan hal jauhnya manusia daripada Allah.  Itulah perasaan yang terusik sepanjang memerhatikan mereka tergelecek dan terketar-ketar. 

Pentas lakonan mereka lecak dan becak. Licin dan kotor mewarnai keseluruhan persembahan mereka. Seluruh tubuh mereka lencun dengan lumpur dan dilumur basah. Aksi mereka sedemikian sudah menimbulkan ngeri dan terkejut. Pemikiran khalayak dibawa melihat realiti tanah dan lumpur. 

Gaya mereka yang tidak dapat berdiri dengan tetap dek licinnya lumpur itu seumpama bayangan kehidupan di dunia. Manusia hidup di dunia seperti berada di atas tanah yang licin dan berlumpur. Sedikit sekali insan yang tidak terpalit dek lumpur dunia. Umum manusia tenggelam dalam lumpur dunia yang jijik dan kotor. Setiap orang dengan 'kekotoran' yang nilainya adalah dosa walaupun datang dalam berbagai latar belakang. 

Secara umum Teater Transit Warga Tanah ini perlu dinilai dari sudut mesej berat yang berjaya dipersembahkan dengan berkesan dan menarik. Kreativiti mereka membawa minda penonton ke pemikiran luar dan luas sangat bermakna. Mereka tidak menggunakan unsur 'berkhutbah' dalam menyampaikan mesej ketuhanan. Ianya adalah dialog manusia sesama mereka yang terperangkap dalam kepompong pemikiran silap dan berdosa sehingga datang seseorang memberi ingatan dan ancaman. 

Pak Lang berharap - pada malam nanti ketika diumumkan keputusan pertandingan, Kumpulan Remaja Harapan ini akan berjaya memperolehi lebih dari 3 anugerah juri. Sampai di pertandingan akhir daripada 68 penyertaan adalah suatu yang sudah mengkagumkan. Apatah lagi kita sedia maklum, Kumpulan Remaja Harapan ini membawa mesej mengajak manusia kembali kepada Allah. Mereka tidak tampil untuk glamor atau untuk berbangga diri. Semoga Allah memilih mereka dan memelihara hati mereka dari perangkap nafsu dan syaitan. Tahniah!!

(Kumpulan ini perlu lebih serius mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang ini. Mereka harus terjun mencari para remaja di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk digilap bakat mereka sedari awal. Masyarakat perlukan generasi hiburan yang berteraskan cita-cita membesarkan Allah dan Rasul. Ramaikan dan meriahkanlah dunia teater dengan remaja yang tampil membawa hati yang takut Allah. Kesan dan hasilnya pasti terasa di jiwa penonton).

Gambar-ga hiasan persembahan teater:
   






0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text