Social Icons

Wednesday, 10 December 2014

Isu Sisters In Islam: Sikap Saya - Dr Mujahid


DR MUJAHID YUSOF RAWA

SIKAP saya dalam menangani fatwa pengharaman Sisters In Islam Forum Malaysia (SIS) telah menimbulkan kontroversi yang tidak menemui titik noktahnya. Saya dan Ahli Parlimen Shah Alam serta Sepang terpaksa menongkah arus bukan sahaja dalam lingkungan parti kami (PAS) tetapi juga kepada persepsi sebahagian masyarakat Islam yang menganggap kami mencabar keputusan Majlis Fatwa Selangor yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Dato' Seri Mufti Selangor. 

Saya telah menjelaskan sikap saya yang secara ringkasnya bukan mencabar fatwa tetapi cuba memohon penjelasan bagaimana proses fatwa dikenakan atas sesebuah organisasi atau individu dalam mencari ruang pihak yang tertuduh mendapat pembelaan, dan dalam konteks SIS Forum ia soal pemikiran yang menuntut muzakarah sehingga terbukti kesesatannya.

Juham dan Abim Prihatin

Semasa kenyataan kami daripada beberapa Ahli Parlimen PAS mendapat perhatian media, Juham atau Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia rupanya mempunyai pendirian yang sama dengan kami dan mereka turut berminat untuk mendapat penjelasan. 

Saya juga dimaklumkan bahawa Presiden Abim iaitu Saudara Amidi Abdul Manan dan rombongannya telah bertemu dengan Tuan Mufti juga dalam tujuan yang sama. Kesemua mereka melahirkan kebimbangan tentang fatwa sesat yang digazetkan yang boleh membawa SIS Forum sebagai pertubuhan sesat dan haram. 

Walaupun mereka sama sekali tidak bersetuju dalam pandangan SIS namun melabelkan dan memperkuatkuasakan fatwa ia sesat adalah satu tahap yang jauh daripada jangkauan kami. 

Saya menelefon Presiden Abim yang kebetulan adalah kenalan saya untuk mendapat persefahaman adakah kebimbangan kami berasas. Dalam perbualan telefon yang panjang akhirnya kami bersetuju bahawa ia soal memohon penjelasan proses fatwa dan mencari nilai keadilan supaya institusi mulia tidak dituduh sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa. 

Juham melalui Abang Kerdee Abang Masagus selaku setiausahanya juga berpendapat sedemikian. Oleh kerana Abim telahpun menemui Tuan Mufti maka saya menumpang sahaja temujanji Juham yang telahpun mendapat tarikh pertemuan dengan Pejabat Mufti Selangor.

Melibatkan Semua

Antara persoalan yang diajukan kepada saya ialah kenapa saya bertemu dengan SIS dulu dan tidak dengan Mufti Selangor terlebih dahulu. Malah dalam salah satu sesi perbahasan di sidang Parlimen tempoh hari Ahli Parlimen Tanjung Karang telah ambil kesempatan untuk menghentam saya dan dua sahabat saya lagi kerana gagal berjumpa dengan Tuan Mufti tetapi sebaliknya terus membela SIS. 

Saya dengan segera memberi respon dengan mencelah dan menjelaskan bahawa saya akan bertemu dalam waktu yang terdekat dan Alhamdulillah pada minggu terakhir persidangan Parlimen iaitu pada 24 November hajat saya 'menumpang' temujanji Juham bertemu dengan Tuan Mufti tercapai. 

Soal sama ada kenapa saya bertemu dengan SIS dulu dan tidak Tuan Mufti adalah umpama perbalahan 'telur ayam' iaitu sama ada ayam atau telur keluar dahulu atau sebaliknya. Kini semua itu terjawab dalam pertemuan yang cuba menyempurnakan sebahagian dari proses cuba bertemu dengan pihak yang berkepentingan dalam kes ini. 

Sambutan Mesra

Kami disambut mesra oleh kakitangan Pejabat Mufti Selangor dan ditunjuk terus ke bilik pertemuan. Rombongan kami agak ramai terdiri dari tujuh atau enam peguam dari Juham dan lima atau enam orang daripada kepimpinan Dewan Pemuda PAS Selangor. 

Selain Tuan Mufti kami juga disambut oleh Setiausaha Pejabat Mufti dan beberapa anggota Majlis Fatwa Selangor serta beberapa pegawai penyelidik Majlis Fatwa Selangor. Setelah ucapan alu-aluan dibuat oleh Tuan Mufti, kami memulakan muzakarah dengan beberapa persoalan untuk dibincangkan bersama. 

Saya menjelaskan bahawa bukan niat saya untuk mempertikaikan fatwa, cumanya saya sebagai ahli penggubal undang-undang di peringkat persekutuan amat prihatin kepada proses apatah lagi fatwa yang membawa kepada penguatkuasaan 'sesat' sesebuah organisasi atau individu. 

Asas pemfatwaan ialah liberalisma dan pluralisma memerlukan perincian dan penjelasan dari pengamalnya sebelum membuat apa-apa rumusan. Saya memetik surah al-Maidah ayat 8 bagi mengukuhkan pengertian proses keadilan. Saudara Abdullah Karim dari Juham turut menegaskan perkara yang sama.

Penjelasan Mufti

Tuan Mufti menjelaskan proses yang mereka jalankan dan menegaskan pertemuan pada 2012 dengan SIS sudah cukup untuk mereka merumuskan fatwa sesat terhadap SIS. Saya mencelah adakah beberapa asas yang dikatakan SIS sesat telah mendapat penjelasan dan penelitian dari 'tuan tubuh' supaya ia bukan rumusan sendiri tetapi hasil daripada perbincangan mendalam. 

Tuan Mufti menjelaskan bahawa pertemuan 2012 di Pejabat Mufti Selangor tersebut tidak bertujuan untuk 'bergaduh' dan hanya mendengar sahaja dari pihak SIS. Saya terus menyoalkan bahawa jika pertemuan itu satu muzakarah maka ia perlu suasana 'bergaduh' supaya dapat dipastikan dengan penuh keyakinan rumusan yang dibuat kerana tanpa suasana itu (berhujah) bagaimana kita dapat membuat sesuatu keputusan dengan adil dan saksama.

Antara yang turut memberi penjelasan ialah Pengerusi Bahagian Akidah Majlis Fatwa Selangor yang berkeyakinan bahawa SIS Forum tidak syak lagi sesat atas beberapa asas, antaranya ialah mengatakan lelaki wanita adalah sama, menafikan bahagian lelaki dalam faraid (pembahagian harta), mendahulukan akal daripada wahyu dan beberapa isu lain yang melayakkan mereka difatwakan sesat. 

Tuan Mufti juga menafikan bahawa fatwa tidak dibuat secara terburu-buru, malah mereka mengambil masa lama untuk mendapat maklumat melalui dokumen, kenyataan-kenyataan dan seminar yang dianjurkan.

Kritikan

Saya juga menjelaskan bahawa semua yang dikatakan ke atas SIS itu masih belum dibentangkan kepada SIS untuk memberi penjelasan dan untuk dipertahankan oleh SIS adakah mereka mengimani semua perkara tersebut sebelum sesuatu keputusan dibuat. 

Adakah hanya mendapat maklumat daripada sumber sekunder seperti dokumen tanpa bersemuka melengkapkan proses pembuatan fatwa supaya keadilan dapat dilaksanakan? Saya juga menyebut bahawa terdapat kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah terhadap institusi fatwa di Malaysia bahawa bukan semua orang menolak fatwa kerana tidak menghormati fatwa tetapi cara dan penjelasan tentang proses pembuatan fatwa dibuat yang menjadi pertikaian. 

Tuan Mufti menegaskan bahawa SIS terlalu keras dalam pendiriannya dan tidak mungkin mengubahnya, dan pada saat ini Abdullah Karim seorang peguam menegaskan bahawa soal memberi keadilan dan pertahankan diri bukan sahaja untuk yang dituduh tetapi juga menggambarkan kepada persepsi awam bahawa proses keadilan berjalan apatah lagi tanggapan kepada institusi terhormat seperti Majlis Fatwa.

Perbahasan Menarik

Perbincangan kami berjalan lebih daripada masa yang dijangkakan kerana perbincangan turut menjangkau tentang persoalan konflik perundangan kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dengan mengambil kes keputusan Mahkamah Sivil yang berpihak kepada tiga transgender yang mempertikaikan Enakmen 66 Agama Islam Negeri Sembilan yang dikenakan ke atas mereka. 

Pihak Juham memberikan komitmen untuk mempertahankan hak Mahkamah Syariah kerana kes awalan ini tidak akan membantu memperkukuhkan Mahkamah Syariah malah ia boleh mengheret konflik perundangan yang sensitif sifatnya. 

Saya turut mencadangkan supaya perbahasan lebih terperinci dibuat dalam melihat kes masa depan yang berpotensi untuk berlaku dan diselesaikan dalam rangka mengiktiraf kewibawaan Mahkamah Syariah yang terpaksa berkongsi secara selari kuasanya dengan Mahkamah Sivil dengan beberapa keterbatasan. Saya dan rakan Ahli Parlimen PAS yang lain bersedia untuk mencapai rumusan yang objektif dalam hal ini. 

Berpisah Untuk Bertemu Lagi

Masa tidak mengizinkan untuk kami meneruskan perbincangan dan kami kemudian menikmati hidangan petang yang disediakan sambil terus bermesra dengan pihak tuan rumah. Namun pertemuan singkat itu memabwa kita kepada pelbagai persoalan yang asasnya ialah untuk memperakui beberapa perkara. 

Pertama - Proses pemfatwaan tidak menuntut sesuatu keputusan itu dirunding atau dimuzakarahkan dengan yang terlibat. Saya tidak menyalahkan pihak Majlis Fatwa dalam hal ini kerana mereka hanya berpegang kepada proses yang saya fahami daripada penjelasan yang dberikan bahawa tidak sesuatu fatwa yang dikeluarkan tidak memerlukan muzakarah ke atas yang dituduh.

Kedua - Fatwa ada keterbatasannya dan banyak mengambil kira faktor-faktor lain. Berkemungkinan besar fatwa yang digazet atau dikuatkuasakan tidak disenangi oleh pihak yang lebih berkuasa.

Ketiga - Majlis Fatwa tidak perlu bertemu dengan SIS kecuali SIS bertaubat dan ingin mempelajari jalan pulang serta mengakui bahawa mereka sesat. Ketika itu pihak Mufti dan Majlis Fatwa bersedia membimbing mereka ke jalan yang benar.

Keempat - Mahkamah Syariah berada pada tahap cabaran yang tinggi apabila keputusan Mahkamah Syariah boleh dipersoalkan dalam konteks kebebasan yang yang diberikan haknya dalam Perlembagaan Persekutuan.

Rumusan pertemuan saya dengan Sahibus Samahah Dato' Seri Mufti Selangor dan Majlis Fatwa menuntut beberapa persoalan termasuk persepsi pentadbiran dan pengurusan Islam dalam negara ini. 

Tanggungjawab pihak pentadbir hal ehwal agama Islam dilihat daripada sudut harapan Islam dilihat mulia dan bermaruah semakin besar untuk memenuhi harapan umat Islam di Malaysia. 

Atas harapan besar ini, pihak pentadbir hal ehwal agama Islam perlu mempunyai jiwa besar dan memenuhi prinsip RAHMAT DALAM KEADILAN dan bagaimana ia menyerlahkan dirinya dalam konteks kerangka negara yang ada hari ini. 

Hanya dengan cara ini Islam dilihat mengisi ruang negara yang ada hari ini dan jalannya tidak mudah, sukar dan berliku. – HARAKAHDAILY 10/12/2014


Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Parti Islam SeMalaysia

0 comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text