Takut yang sebenar-benarnya ialah takut kepada Allah SWT. Takut kepada Allah bermakna patuh, menurut perintah Allah dan menjauhi larangannya. Kita akan selamat jika patuh kepada Allah dan Allah akan menolong walau dimana saja kita berada. Sayang yang sebenar-benarnya ialah sayang kepada Allah SWT. Janganlah menyayangi sesuatu atau seseorang melebihi sayang kita kepada Allah SWT. Allah sayang kita lebih daripada kita sayang kepada anak kita. Allah mahu semua manusia masuk syurga, tapi Allah tidak memaksa kerana hidup ini adalah satu ujian.
Ali-Imran [102] Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa .
Hadid [4] ……Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
Selain itu, Allah SWT menugaskan malaikat Kiraman Katibin yang merekodkan perbuatan manusia.
Al-Infitar [10] Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,[11](Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu) [12] Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.
Semuanya direkodkan samada kecil atau besar:
Kahfi [49] Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun
Di hari kiamat pula, bumi, malaikat, anggota badan semuanya menjadi saksi.
Zalzalah [4] Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya:
Yassin [65] Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan
An-Nur [24] Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.
Fussilat [21] Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit-kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata, telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan)
Sayangilah Allah
At-Taubah [24] Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)
Syurga adalah tempat Allah swt melahirkan kasih sayang kepada hamba-hambanya yang beriman. Seseorang itu masuk syurga dengan rahmat atau belas kasihan Allah.
Daripada Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.” (Riwayat Muslim)
Oleh itu sayangilah Allah kerana bila Allah menyayangi seseorang diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurganya.
Ali-Imran [31] Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
0 ulasan:
Catat Ulasan