Hanya tinggal satu laluan darat ke Kelantan
MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
24 Disember 2014
KOTA BHARU 24 Dis. - Laluan darat untuk ke Kelantan setakat ini hanya boleh dilalui dari arah Terengganu melalui Pasir Puteh selepas 24 laluan utama di tujuh daerah ditutup untuk semua lalu lintas ekoran banjir yang semakin buruk di negeri ini.
Antara laluan utama terlibat khususnya di Gua Musang ialah di KM 5-12 Jalan masuk Aring, KM15.8 Jalan Gua Musang-Jelawang-Dabong dan Jalan Gua Musang- Lojing- Simpang Pulai.
Laluan timur barat yang menghubungkan Jeli dan Gerik, Perak juga ditutup selepas jalan di kilometer 66, laluan tersebut runtuh malam tadi.
Di Kuala Krai jalan yang ditutup ialah, Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Jirat di Bandar Kuala Krai, KM0.7 Jalan Guchil ke Batu Balai, KM 66 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang dan KM100 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang.
Penutupan laluan utama di Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli menyebabkan jalan darat khususnya menghubungkan Kuala Lumpur ke Kelantan terputus.
Sementara di Machang sebanyak enam laluan terlibat iaitu KM6.0-6.2 Jalan Kubor China-Temangan, KM 8.0 Jalan Machang-Pkl Meleret-Wakaf Bata, Kg. Paloh Rawa-Temangan, Jalan Kuala Sat - Kelaweh, Kg. Kemuning - Sg. Merkam, KM 10 Pangkal Gong-Kemubu- dan KM 4.0 Jalan Sg. Mati Kerawang (Pangkal Perahu).
Di Pasir Mas sebanyak empat laluan ditutup untuk semua kenderaan iaitu KM12 Jalan Rantau Panjang-Panlima Bayu, KM 3.O Jalan Pengakalan Rakit, KM11 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan lama Kg Siram dan KM23 Jalan Bonggol Kulim).
Advertisement
Manakala di Tumpat laluan yang ditutup ialah KM8 Jalan Cabang 4-Kg.Jambu-Meranti, KM2 Jalan Keselamatan (KESBAN) Pengkalan Kubor - Kg Jambu 2 dan KM3 Jalan Pohon Tanjung - Pasir Pekan.
Di Tanah Merah hanya laluan KM1.5 Jalan Tanah Merah-Kusial-Kg. Ipoh- UTUSAN ONLINE.
Air Sungai Kelantan Melimpah, Kota Baharu Sesak
Diterbitkan: Rabu, 24 Disember 2014
KOTA BAHARU: Air Sungai Kelantan melimpah dan mula membanjiri kawasan rendah di bandar ini sejak awal pagi dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
Tinjauan di sekitar Jalan Post Office Lama dan Pasar Kubang Pasu mendapati air mula melimpah ke jalan raya dan pemilik premis perniagaan turut menutup operasi.
Bacaan paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja di sini setakat pukul 10 pagi ini telah melepasi paras bahaya iaitu pada paras 5.91 meter (paras bahaya 5 meter).
Bandar ini pernah dilanda banjir besar pada 2004 sehingga melumpuhkan seluruh bandar tersebut, dan mengakibatkan kerugian berjuta ringgit.
Sementara itu, peniaga peralatan elektrik Leong Khoon Seng, 52, berkata pada banjir 2004, beliau mengalami kerugian besar apabila sebahagian besar alatan elektrik musnah.
"Masa itu air naik pada waktu malam dan saya tidak sempat menyelamatkan peralatan elektrik di kedai saya ini," katanya.
Leong berkata untuk tidak mahu menanggung risiko seperti dahulu, kali ini beliau melakukan persiapan lebih awal bagi mengelakkan peralatan elektriknya terjejas.
Sementara itu beberapa penduduk yang tinggal di rumah rakit di tebing sungai itu juga sudah membuat persiapan awal dengan mengikat kukuh rumah masing-masing bagi mengelak dihanyutkan arus deras.
"Rumah, kami sudah ikat dengan tali yang kukuh, tetapi apa yang kami bimbang adalah batang balak yang hanyut dalam keadaan arus deras ini yang boleh merempuh rumah kami," kata Ali Shahbudin, 56.
Jirannya, Mek Minah Ali, 52, berharap air sungai akan cepat surut kerana khuatir air banjir dari Gua Musang dan Kuala Krai akan mengalir turun ke sungai ini dan mengakibatkan keadaan banjir lebih buruk.
Paras air di Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Kelantan di Tangga Krai juga dilaporkan terus meningkat dengan masing-masing melepasi paras bahaya.
Bacaan di Sungai Galas kini ialah 45.65 meter (paras bahaya 38 meter), Sungai Lebir 36.13 meter (paras bahaya 36 meter) dan Tangga Krai 32.36 meter (paras bahaya 25 meter).
Tinjauan juga mendapati kanak-kanak mengambil kesempatan bermain air banjir dan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah meminta ibu bapa mengawasi anak mereka daripada bermain air kerana khuatir boleh mengundang bahaya.
"Kita bimbang ada yang terjatuh longkang atau terkena renjatan elektrik selain membahayakan kesihatan berikutan air berlumpur," menurut jurucakap bomba.
Kolej Vokasional Kuala Krai hampir tenggelam
Wartawan Sinar Harian
24 Disember 2014
Keadaan banjir di Kolej Vokasional Kuala Krai, hari ini. - Foto pembaca Sinar Harian oleh NORAKMAL MHD MAHYIDIN
KUALA KRAI - Paras air di Kolej Vokasional di sini hampir mencecah bumbung garaj sehingga jam 7 pagi tadi.
Menurut isteri kepada seorang warden institut tersebut, Norakmal Mhd Mahyidin, 42, beliau dan tujuh sekeluarga terpaksa berpindah ke aras satu bangunan asrama setelah air naik hingga menenggelamkan kediaman mereka.
Katanya, air naik mendadak jam 2.30 pagi tadi.
"Turut bersama kami ialah adik saya dan keluarga yang terpaksa menumpang setelah terperangkap di Merapoh.
"Buat masa ini bekalan makanan untuk kami masih mencukupi", katanya.
situasi di Gua Musang
foto : fb friends of bn
Banjir: Kelantan
bakal lumpuh
Gua Musang, Kuala Krai terputus hubungan darat
24 Disember 2014
KOTA BHARU 23 Dis. - n egeri ini bakal lumpuh sepenuhnya. Itu gambaran yang kepada situasi banjir yang melanda negeri ini.
Keadaan tersebut ekoran daripada bahagian Kelantan Selatan iaitu daerah Gua Musang dan Kuala Krai yang ditenggelami air dan terputus hubungan darat.
Malah operasi untuk menghantar bantuan melalui udara ke Gua Musang pada hari ini tidak dapat dilakukan kerana cuaca buruk.
Bandar Lama di Gua Musang seperti sebuah pulau dan 13 orang nyaris maut apabila bot penyelamat terbalik ketika membawa mereka keluar dari kawasan sekitar Resort Kesedar Inn.
Pada masa sama, bahagian utara negeri ini terutama daerah Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh pula diancam fenomena air pasang besar.
Hujan lebat yang turun di bahagian selatan sejak beberapa hari lalu menyebabkan sebahagian besar daerah Kuala Krai dan Gua Musang, termasuk kawasan yang tidak pernah terjejas sebelum ini mula dinaiki air.
Laluan Lebuh Raya Timur-Barat dari Jeli ke Gerik, Perak ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh di Kilometer 66 malam ini.
Berikutan itu, beberapa sungai utama di negeri ini iaitu Sungai Galas, Dabong; Sungai Lebir, Tualang; Sungai Golok, Rantau Panjang dan Sungai Kelantan terus meningkat melebihi paras bahaya.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat dijangka berterusan sehingga 28 Disember ini.
Sementara itu, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh yang berada di bahagian utara pula berdepan ancaman air pasang sehingga mencetuskan banjir kilat dan ombak luar biasa terutama di kawasan pesisir pantai.
Keadaan tersebut dikatakan dicetuskan oleh fenomena ‘New Moon’ iaitu kedudukan bulan yang agak berhampiran dengan bumi, sekali gus menyebabkan air pasang besar di kawasan Pantai Timur.
Konvoi tentera hantar bekalan mangsa bah di Kelantan berpatah balik
TANAH runtuh di Kilometer 63 Jalan Raya Timur Barat, dekat Gerik.
CAMERON HIGHLANDS: Satu konvoi pasukan tentera untuk menghantar 50,000 liter air bersih dalam 10,000 botol ke Kelantan pagi tadi terpaksa berpatah balik ke Ipoh selepas perhubungan ke negeri itu dari Perak terputus berikutan kejadian tanah runtuh di Kilometer 63 Jalan Raya Timur Barat, dekat Gerik.
Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata konvoi sebanyak 20 trak dan dua treler oleh Rejimen 60 Askar Wataniah dari Kuala Lumpur itu terpaksa pergi ke Ipoh dan semua bekalan bantuan itu akan dihantar menggunakan pengangkutan udara.
Katanya, semua bekalan air bersih itu akan dibawa menaiki pesawat Charlie dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh kira-kira jam 3 petang ini.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Zulkifeli berkata, pasukan tentera juga menghantar bantuan sejak dua hari lalu ke kawasan Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan, yang teruk dilanda banjir.
Katanya, ATM juga menggerakkan semua aset dan anggota dari kem yang tidak terjejas dengan banjir ke kawasan dilanda banjir di seluruh negara.
Beliau berkata, pasukan itu mempunyai pengalaman membantu mangsa banjir akibat air pasang besar yang berlaku di Johor dan Pahang pada 2006 serta menggunakan pengalaman itu bagi operasi kali ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan