Selalu guru akan berkata, " Jika tidak faham,tanya. Kalau tidak tahu, tanya."
Namun, kadang kala pelajar tidak memberi respon. Faham atau tidak, mereka hanya diam.
Apabila pelajar melakukan kesilapan dalam menjawab soalan, guru akan pulang paku buah keras, "" Itulah. Saya sudah beritahu, kalau tidak tahu tanya. Kalau tidak faham tanya. Ini tidak. Lepas itu, buat salah."
Mahukah tuan/puan mengetahui caranya mendekati pelajar-pelajar Generasi Y ini? Bagaimana mendorong mereka untuk bertanya jika tidak memahami pelajaran? Bagaimana mendorong mereka untuk bertanya jika tidak tahu cara menyelesaikan tugasan@latihan?
Ini perkongsian saya.
Biasanya pelajar-pelajar tidak mahu bertanya. Bukan semuanya faham perkara yang diajar oleh guru dan tidak semua faham arahan ynag diberikan. Namun, untuk bertanya, untuk bersuara dan memanggil guru, itu adalah tindakan yang paling akhir yang akan dilakukan oleh mereka. Jadi, bagaimana?
Inilah yang saya lakukan.
Setelah memberikan tugasan kepada pelajar-pelajar dan sudah dimaklumkan bahawa mereka boleh bertanya andai tidak tahu cara membuat latihan atau ada masalah dalam menyelesaikan tugasan, saya akan memantau aktiviti membuat latihan yang dilakukan oleh pelajar.
Saya akan menghampiri semua pelajar seorang demi seorang, baris demi baris. Saya akan memanggil nama pelajar dan bertanya kepada mereka. Biasanya, soalan yang ditanya ialah “Boleh buat latihan itu?” atau “Ada apa-apa masalah?”.
Bukan sekadar itu sahaja, jika respon pelajar adalah menggeleng-gelengkan kepala (tanda boleh membuat latihan dan tiada masalah dihadapi), sama ada saya berikan kata-kata positif seperti “Bagus!” atau pun saya akan melihat buku latihan pelajar dan akan saya perhatikan andai ada kesilapan yang dibuat oleh pelajar.
Kekadang pelajar merasakan mereka tiada masalah dan mereka boleh membuat latihan tetapi ada ketikanya mereka ada membuat kesilapan. Jika ada kesilapan, saya akan terangkan dan betulkan kesilapan. Contoh : “Ayat ini salah. Sepatutnya ada subjek dalam ayat ini. Membantu guru. Ayat ini tiada subjek.”
Yang biasa menjadi kesilapan para guru ialah menegur atau mengkritik pelajar. Sebagai contoh, ada pelajar yang menjawab soalan tidak mengikut teknik yang diajarkan oleh guru, kemungkinan besar guru itu akan mengkritik pelajar.
Contoh kata-kata kritikan, “ Kamu ini tidak faham-faham perkara yang saya ajar. Ini pun tidak tahu.” Atau “ Kamu ni. Kamu tulis ayat tidak gramatis. Kamu tulis ayat tanpa subjek. Kamu salah.”
Apabila respon negatif seperti contoh di atas diberikan maka kesannya amat negatif. Kata-kata kritikan boleh menjatuhkan self-esteem pelajar dan membuatkan pelajar tidak terdorong untuk memperbaik kesilapan. Pelajar juga tidak akan bertanya lagi. Tentunya mereka tidak mahu menerima apa-apa kritikan ,terutama jika kritikan dibuat di hadapan rakan-rakan.
Bukannya kritikan tetapi sebaik-baiknya, hanya berikan info berkaitan kesalahan ataupun guru sahaja jalan penyelesaian kepada masalah pelajar. Jika pelajar tidak ada buku, beri solusi tulis latihan di dalam sehelai kertas. Permudahkan pelajar dan pelajar akan permudahkan guru dan tidak menyusahkan guru.
Baik. Itu respon yang biasa saya berikan jika ada kesilapan yang dilakukan oleh pelajar ketika membuat latihan.
Jika pelajar membuat latihan dengan teknik yang betul atau berjaya membuat latihan, maka pelajar itu akan saya puji namun yang dipuji ialah hasil kerja atau usaha atau tindakan yang dilakukannya (bukan puji pada orangnya)
Dalam hal ini, ketika pelajar saya membuat latihan, saya tidak duduk di kerusi di hadapan dan membuat kerja saya atau menyemak buku (itu dilakukan di bilik saya) tetapi waktu pelajar membuat latihanlah saya banyak berjalan dan memantau aktiviti pelajar membuat latihan/
Itulah yang saya lakukan.
Kesannya amat positif. Ramai pelajar saya yang sudah berani bertanya. Jika tidak tahu akan tugasan/latihan, mereka akan bertanya. Biarpun yang mereka tidak tahu itu ada masanya adalah sesuatu yang saya rasa amat mudah, namun saya tidak kritik sebaliknya saya tetap layan dengan baik dan jawab soalan pelajar dan terangkan apa-apa yang tidak mereka fahami atau ulangi penerangan saya.
Kadang kala ada pelajar yang datang berjumpa saya ketika saya memantau latihan rakan mereka. Ada juga yang mengangkat tangan atau memanggil saya ke tempat mereka. Jika begitu, saya akan datang dan mendengar pertanyaan mereka serta berikan respon yang sesuai.
Yang saya perhatikan, pelajar-pelajar saya tidak takut bertanya. Kemungkinan disebabkan tiada risiko bagi tindakan bertanya itu. Apabila mereka bertanya, saya terus berikan jawapan. Saya tidak kritik, tidak memarahi dan tidak perli (tidak memulangkan paku buah keras)
Semua ini adalah berdasarkan pengalaman saya. Tidak semestinya tepat dan dibuktikan 100% berjaya mendorong semua pelajar bertanya. (Tidak ada data bukti untuk itu) . Namun, yang pasti, saya mendapat respon yang amat positif daripada pelajar. Jadi, itu yang saya kongsikan.
Allahumma solli ala saidina Muhammad! Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!
KREDIT SUMBER: BLOG KHAIRULANIZA
0 ulasan:
Catat Ulasan