Social Icons

Ahad, 28 Disember 2014

Hanya Kepada Mu, Kami Berserah..

Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani !

Aku menulis semula..

Saat ini rakyat Malaysia, khususnya di Pantai Timur sedang berhadapan dengan musibah banjir yang besar. Bukan tahun ini sahaja, tapi saban tahun kejadian banjir berlaku di kawasan tersebut. Ada tiga buah negeri di Pantai Timur yang sinonim dengan banjir. Iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Namun banjir di penghujung tahun 2014 ini, dirasakan lebih besar impaknya dari tahun-tahun yang lalu. Lebih 'mengganas'. Walau pun angka kemalangan jiwanya tidaklah sebesar mana, tapi berita yang disampaikan melalui media-media massa, sangat meruntunkan jiwa dan perasaan kita semua. Berat mata memandang (telinga yang mendengar), berat lagilah bahu yang memikul.

> Sempat dikongsikan mesej melalui aplikasi 'WhatsApp', oleh seorang doktor yang bertugas di Hospital Kuala Krai. Bertugas dalam keadaan bergelap kerana terputus bekalan elektrik. Sedangkan cahaya mampu dan bahkan kuasa elektrik sangat diperlukan, terutama untuk membantu pesakit yang bernafas melalui bantuan alat pernafasan.

> Juga audio seorang muslimah yang 'terperangkap' di pusat pemindahan. Bukannya terperangkap di rumah untuk minta bantuan, di bawa ke pusat pemindahan. Tapi beliau dan ramai lagi 'nyawa' terperangkap di pusat pemindahan, sedang menunggu bantuan untuk dipindahkan lagi ke atas bukit. Itu tanda, pihak berwajib pun tidak menjangkakan air naik sebegitu tinggi parasnya dan terlalu cepat.

> Dengar pula berita, anggota penyelamat mengalami kejadian bot terbalik dalam misi cuba menyelamat. Sehingga terpaksa membatalkan Operasi Menyelamat.

> Ada pula pasangan suami isteri yang sempat menaiki bot tapi bot yang dinaiki terbalik, mengakibatkan kedua-duanya mati lemas.

> Dikongsikan pula klip video orang (tidak pasti orang dewasa atau kanak-kanak) terjatuh setelah bot yang membawa mereka terbalik.

> Ada pula visual yang Menunjukkan sebuah lori kontena yang dipandu 'selamba', cuba mengelak pohon kayu yang terdampar di tengah jalan, akhirnya lori tenggelam dalam 'parit' yang besar.

Ya! Inilah kuasa Allah. Ini adalah didikan langsung oleh Allah untuk makhluk-makhluknya. Bukan senang para daie nak berdakwah mengajak masyarakat mengagungkan Allah SWT dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai kebanggaan. Nak tukar persepsi masyarakat Islam daripada mengagungkan dunia kepada mengagungkan Allah. Nak tukar persepsi masyarakat Islam daripada membanggakan artis, atlit dan lain-lainnya kepada membanggakan Rasul SAW.

Bukan sedikit kuliah yang disampaikan oleh para pendakwah. Tapi hasilnya sangat sedikit. Apatah lagi bila para pendakwah bersaing merebut 'khalayak'. Siapa yang lebih ramai peminat!! Masing-masing menggunakan 'skil' lawak jenaka di atas pentas dakwah. Riuh dengan gelak ketawa pendengar. Persis menonton hiburan lawak jenaka.

Tidak ada wajah keinsafan para pendengar. Kalau ada pun terlalu sedikit. Yang ramainya adalah, wajah-wajah terhibur dengan gurauan sang pendakwah. Terlalu banyak versi-versi lawak jenaka pendakwah yang berlegar-legar dalam smartphone masyarakat. Sebaliknya, terlalu sedikit versi dakwah yang membawa keinsafan di tengah masayarakat.

Nah! Untung besar rakyat Malaysia. Dapat didikan langsung dari Allah. Tak cukup dengan banjir, tiba-tiba pesawat Air Asia pula menjadi perhatian. Hilang tanpa dapat dikesan oleh Menara Kawalan. Pesawat Air Asia Indonesia yang slogannya 'Now Everyone Can Fly' sangat sinonim dengan Syarikat Penerbangan Tambang Murah, menerima giliran ujian dari Allah, setelah dua kejadian menyayat hati menimpa pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

Mari kita kembali kepada Allah.
Kembali kita menyorot sejenak ayat 2 sehingga ayat 4 surah Al Fatehah.
[ayat 2] Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekelian alam. Allah ciptakan air sebagai sumber minuman, menyuburkan pertanian, kebersihan dan berbagai-bagai kemudahan dapat diambil darinya. Tapi bila tiba masanya, Allah jadikan air sebagai banjir besar untuk menunjuk Maha Kuasanya Dia. Agar manusia kembali kepadaNya.

Begitu juga Allah ciptakan besi yang memberi manfaat kepada manusia. Besi boleh terbang di udara, meluncur laju mengalahkan burung-burung di angkasa. Tapi bila tiba masanya, Allah buatkan besi yang boleh terbang itu, tidak dapat dikendalikan. Bahkan ada yang hilang tanpa meninggalkan jejak untuk dikesan. Begitulah Maha Mentadbirnya Allah.

[ayat 3] Ketahuilah, Allah mentadbir alam ini dengan sifat Ar Rahman dan Ar Rahimnya. Siapa yang engkar daripada suruhan Allah, maka Allah tadbir air untuk menghina dan menyusahkannya. Namun bagi orang yang beriman, Allah tadbir air yang menjadi banjir dengan Ar Rahimnya, sehingga manusia kenal dirinya sebagai hamba dan serah diri kepada Allah. Cuba dengar rintihan muslimah dalam tanaman audio yang berlegar: 'Allah.. Allah.. Allah..'.

Agaknya diwaktu kita sedang menikmati ketenangan air sungai, apakah ingatan kita kepada keAgungan Allah? Macam mustahil bukan. Tapi bila diuji dengan banjir besar, mulut kita bahkan hati kita, tidak lekang dari menyebut Allah. Merayu dan merintih hanya padanya, setelah usaha ikhtiar manusia sangatlah dhaif.

Inilah didikan Allah yang Maha Rahim. Dan bagi yang ditakdirkan meninggal dunia, semoga semua dosa-dosa diampunkan setelah melalui ujian getir di hujung kehidupannya dan syurga menanti di 'sana'. Bahkan dalam Islam, sesiapa yang mati lemas dikira sebagai syahid kecil. Yakni terlepas dari azab kubur.

[ayat 4] Dan setelah mentadbir bumi ini dengan sifat Ar Rahman dan Ar RahimNya, Allah kumpulkan kita untuk diberi balasan di akhirat kelak. Ke syurga atau neraka? Begitu sekali Maha berKuasanya Allah. Apa yang ada pada kita? Tidak ada apa-apa kuasa sebenarnya. Semuanya milik Allah dan 'pinjam'kan sahaja kepada kita.

Teringat dailog/monolog dalam drama 'Nurul Iman' produksi Generasi Harapan dari GISB Holdings Sdn Bhd:

'Kini barulah ku tahu, diriku hanyalah barang ciptaanMu! Aku bukan milikku, sedikit pun tidak ada kuasa ke atas diriku'.

Ya! Kita tidak punya apa-apa. Kelahiran ke bumi ini, bukan kita minta dan tanpa kita rancang apa-apa. Maka berserah dirilah kita kepadaNya, seperti yang Allah sendiri kehendaki dalam ayat 5 surah Al Fatehah.
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
"Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan".

Dalam ayat 5, suratul Fatehah; di dunia lagi, Allah datangkan didikan langsung agar kita hanya membesarkan Allah dan bukan selainnya. Dan di dunia lagi, Allah ajar kita untuk meminta hanya kepadaNya. Tidak salah sebagai usaha lahir minta bantuan sesama manusia, kerana ia juga syariat Allah untuk berhubungan sesama manusia (Habluminnas), tapi hati kekal yakin hanya Allah yang memberi 'bekas' dengan Kuasa 'Kun Faya Kun'.

Lihat bagaimana helikopter terpaksa berpatah balik kerana cuaca tidak mengizinkan. Hakikatnya, Allah yang tidak izinkan. Begitu juga bot terbalik dan Operasi Menyelamat terpaksa dibatalkan. Semuanya kehendak Allah jua. Allah nak kita kembali kepadaNya sebelum kita 'benar-benar dikembalikan' kepadaNya.

Samalah seperti kehilangan MH370! Bila Allah tidak izinkan berlaku penemuan, maka kita tidak akan bertemu. Gunalah alat secanggih mana pun. Jika Allah tidak izinkan, tidak akan ada hasilnya.

Persis peristiwa kehilangan helikopter di Bario satu ketika dulu. Masih ingatkah peristiwa itu?

Semua yang berlaku di dalam dunia ini, atas kehendak Allah SWT. Kita hanya boleh merancang tapi semua yang berlaku, atas kehendaknya juga.

Benarlah! Hanya Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.

Membaca ayat ini, bukan hanya lafaz di bibir semata. Tapi wajib disertakan dengan rasa menyerah diri sesungguh hati. Jelas sungguh! Sudah terang lagikan bersuluh, hanya Kuasa Allah yang mutlak, mentadbir bumi ini.

• Rumah kita bila-bila masa boleh dinaiki air, jika Allah perintahkan air itu tiba-tiba melimpah, entah dari mana datangnya.
• Pesawat yang kita naiki, tanpa mengira Syarikat Penerbangan mana pun, boleh sahaja hilang bahkan terhempas, jika itu yang Allah kehendaki.
» Tidakkah kita mahu benar-benar menyerah diri kepada satu Kuasa yang Maha segala-galanya. Maha Tahu apa yang baik pada diri kita, hamba-hamba ciptaanNya?

Sedarlah dari lamunanmu! Di dunia yang penuh dengan manusia atau kerajaan dunia, yang mengaku berkuasa pun, Allah buktikan bahawa Dia yang Maha berKuasa di atas segala sesuatu. Apalagi di Hari Pembalasan kelak!!

Jadi, lagi sekali aku berpesan pada diri dan semua pembaca. Kembalilah membesarkan Allah, agungkanlah Dia dengan seagung-agungnya. Takutilah dia dengan perasaan takut setakut-takutnya. Moga-moga kita diselamatkan di dunia ini dan diselamatkan juga di akhirat kelak. Serah dirilah kepadaNya, dengan sebenar-benar penyerahan.

Kita sambung ayat 6 dan ke 7, dipenulisan akan datang. Aku tak nak tulisan jadi panjang lebar. Biar sedikit tapi mengandungi ilmu di dalamnya. Macam kita baca kisah Rasulullah SAW.

Dikatakan oleh hadis ‘jawaa mi'ul kalim’. Kata-kata Baginda singkat tapi padat.
• Kata-kata Baginda singkat tapi maksudnya luas.
• Kata-kata Baginda singkat tapi puas dan menggetarkan jiwa.
Tidak seperti orang lain bercakap berjela-jela, isinya tiada. Jadi aku pun tak mahu tulisan berjela-jela, tapi isinya tiada.

Ampun maaf

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text