Social Icons

Isnin, 22 Disember 2014

PT3 - Yang Hebat tetap Hebat walaupun yatim piatu

Ditulis oleh Mohar Yahya 

KUALA TERENGGANU: 
Ketika rakan-rakan cemerlang lain berkongsi kejayaan Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bersama ibu bapa masing-masing, Nurul Huda Zuki hanya mampu berkongsi kejayaan bersama neneknya yang terlantar sakit. 

Nurul Huda, anak yatim piatu yang mendapat 10A, berkata kasih sayang yang diperoleh dari neneknya, Botok Daud, 71, menambahkan lagi semangatnya untuk memburu impian sebagai doktor pakar bedah satu hari nanti. 

"Saya kematian ibu dan bapa ketika berumur setahun dan sejak itu dipelihara oleh nenek di Kampung Tapu, dekat Kuala Berang. "Walaupun sedih kerana tidak dapat berkongsi kegembiraan dengan nenek yang terlantar sakit ketika ini, namun doa dan harapannya akan terus menjadikan saya seorang yang kental dan bercita-cita tinggi," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini, hari ini. 

Beliau adalah antara 34 daripada 102 pelajar Tingkatan 3 yang mendapat 10A di sekolah itu manakala 31 pelajar mendapat 9A dan 23 lagi pelajar mendapat 8A. Sementara itu, pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini mengakui PT3 amat menguji minda mereka setelah pertama kali diperkenalkan di negara ini. 

Megat Danial Aizat yang memperoleh 10A berkata, beliau terpaksa mencari bahan rujukan di laman internet dan melakukan ulang kaji bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan. "Ujian kali ini agak mencabar malah perlu mencari jawapan di luar kotak, sebelum ini kita mempunyai buku rujukan PMR tetapi PT3 sukar diperoleh di kedai-kedai buku," katanya. 

Seramai 186 calon yang menduduki ujian PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman pada tahun ini manakala bilangan calon yang lulus semua mata pelajaran ialah 129. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Hashim Mohamad Zin, berkata urusan pengambilan keputusan PT3 di negeri ini berjalan lancar walaupun banjir melanda beberapa daerah ketika ini. "Semua pelajar mengambil keputusan di sekolah masing-masing, cuma Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau sahaja tidak boleh dilalui dari Dungun, namun ada jalan alternatif ke sekolah berkenaan," katanya kepada Bernama di sini. 
- BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text