Social Icons

Jumaat, 12 Disember 2014

Sidang15 Ogos 1945 Dr Burhanuddin PM Tanah Melayu.

Dr Burhanuddin Al Helmy

KOTA BHARU: Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada pada persidangan 15 Ogos 1945 merancang menubuh kabinet yang diketuai Dr Burhanuddin Al Helmy (gambar) apabila Tanah Melayu dimasyhurkan merdeka.

Tokoh PAS itu dipersetujui dilantik sebagai Perdana Menteri, manakala anggota-anggota lain kabinet yang disenarai termasuk Dato’ Abdul Rahman Yassin, Dato’ Abu Samah Ali dan Dato’ Onn Jafar.

Veteran PAS, Subky Abdul Latif berkata, bagaimanapun kabinet yang dirancang itu tidak menjadi kenyataan kerana Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera Bersekutu.

Bagaimanapun menurut Dr Mohamad Muzammil Mohamad Noor dari USM, nasionalis Indonesia ketika itu tergesa-gesa mengisytiharkan kemerdekaan Negara itu pada 17 Ogos 1945 iaitu dua hari selepas Jepun menyerah kalah.

"Sebelum itu Dr Burhanuddin bersama Ibrahim Yaakub, Ustaz Abu Bakar Bakir, Hanif Sulaiman dan beberapa lagi pemimpinn Melayu membincangkan kemerdekaan Tanah Melayu oleh Jepun.

"Jepun memaklumkan untuk menyerah kemerdekaan serentak kepada Tanah Melayu dan Indonesia pada 17 Ogos 1945. Jepun juga mengarah pemimpin Melayu membentuk kabinet pentadbiran Tanah Melayu dan mewujudkan KRIS.

"Sebagai persediaan ke arah itu pada 13 Ogos 1945, Dr Burhanuddin bersama Ibrahim Yaakub bertemu Sukarno dan Dr Mohamad Hatta di Taiping, Perak ketika dalam perjalanan pulang menemui Field Marshal Jepun di Saigon,” kata Subky di Kota Darulnaim, 11 Disember lalu.

Subky membentang kertas kerja pada seminar Pemikiran dan Ketokohan Dr Burhanuddin Al Helmy sempena ulang tahun ke-63 PAS. Seminar tersebut dianjur kerajaan negeri dengan kerjasama Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias).

Turut membentang kertas kerja Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamaruddin Jaafar, pensyarah Unversiti Teknologi Petronas, Dr Muhaimi Sulam dan Prof Madya Dr Syed Muhd Khairudin Aljunied dari Universiti Nasional Singapura.

Perasmian penutup seminar tersebut disempurnakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Muhamed Fadzli Hassan. Subky berkata, Dr Burhanuddin dan Ibrahim Yaakub tidak sempat memproklamirkan kemerdekaan Tanah Melayu, biar pun pada masa yang sama Sukarno mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia.

"Dasar berlembut Jepun digunakan peluang oleh Dr Burhanuddin bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. 

"Beliau bersama Ustaz Abu Bakar Bakir mengadakan pertemuan sulit di Gunung Semanggol bagi mendesak Jepun menyegerakan kemerdekaan Tanah Melayu,” katanya.

Menurutnya juga, Dr Burhanuddin pernah terlibat dengan penerbitan akhbar Warta Malaya yang diketuai Dato’ Onn Jaafar. Dr Mohamad Muzammil pula berkata, Dr Burhanuddin menggunakan peluang kemasukan Jepun ke Tanah Melayu bagi mencapai kemerdekaan bersama Indonesia.

Sementara itu ketika memberikan ucapan alu-aluan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Dato’ Nassuruddin Daud berkata, PAS sejak sebelum merdeka lagi sudah mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menuntut kemerdekaan negara.

"Dr Burhanuddin mempelopori kerjasama PAS dengan mana-mana parti termasuk bukan Islam dan badan-badan bukan kerajaan untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu," katanya. - HARAKAHDAILY, 12/12/2014

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text