Social Icons

Selasa, 16 Disember 2014

Seniman Mustapha Maarof Dalam Kenangan

Hero filem Melayu klasik, Mustapha Maarof meninggal dunia

SENIMAN filem Melayu klasik, Datuk Mustapha Maarof, 79, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera, Tuanku Mizan, Wangsa Maju jam 8.38 pagi tadi. - Foto fail NSTP/Zunnur Al Shafiq


KUALA LUMPUR: Seniman filem Melayu klasik, Datuk Mustapha Maarof, 79, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini, jam 8.38 pagi tadi.

Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azhari Maarof meninggal di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selepas dua minggu mendapatkan rawatan akibat penyakit paru-paru.

Jenazah akan disempurnakan di hospital dan disembahyangkan di Masjid Sentul sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ampang yang dijangka selepas Zuhur.

Suami kepada Allahyarhamah Roseyatimah dikenali dengan filem seperti Hang Tuah, Bawang Putih Bawang Merah, Seri Mersing dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Profil

1) Datuk Mustapha Maarof dilahirkan pada 1 Januari 1935. Berasal dari Kuala Lumpur dan kini berusia 79 tahun.

2) Memulakan kerjaya lakonan di era 50-an.

3) Sebelum menikahi Allahyarhamah Roseyatimah, Mustapha pernah memperisterikan pelakon jelita, Suraya Harun dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Suzlynna. Namun perkahwinan itu hanya mampu bertahan selama tiga tahun sahaja apabila mereka berpisah pada tahun 1965.

4) Mustapha dan Allahyarhamah Roseyatimah mendirikan rumah tangga pada 1967, dikurniakan tiga anak iaitu Azlynna, Mohamad Rezainuddin dan Mohammed Khairuddin, namun Mohammed Khairuddin meninggal dunia akibat denggi ketika berusia tiga tahun.

5) Sudah berlakon lebih 50 filem dan beratus-ratus drama televisyen, sama ada di Malaysia mahupun Singapura, pada akhir-akhir hayatnya lebih aktif bekerja di sebalik tabir sebagai produser drama dan iklan komersial serta video korporat menerusi Warna Motion Pictures.

6) Selain itu, beliau juga sibuk dengan aktiviti berpersatuan. Pernah menerajui Persatuan Seniman dan menjadi Ahli Lembaga Pengarah FINAS.


Lebih 1,000 peminat beri penghormatan kepada Mustapha Maarof

ANTARA yang menghadiri pengebumian seniman veteran, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini hari ini. - Foto BH Online

KUALA LUMPUR: Lebih seribu peminat, ahli keluarga dan rakan artis hadir membanjiri Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang bagi memberi penghormatan dan menyaksikan pengebumian seniman veteran, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, di sini hari ini.

Jenazah tiba kira-kira 2.15 petang dan terus dibawa ke liang lahad yang disediakan dan terletak bersebelahan pusara arwah isterinya Roseyatimah yang meninggal pada Disember 1987.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Amru Ibni Al'As Bandar Baru Sentul selepas solat Zuhur.

Antara yang hadir memberi penghormatan, Datuk Yusof Haslam, Datuk DJ Dave, Datuk Jefrydin, Datuk Kamil Othman, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Mayuiddin Mustakim.

Selain artis muda seperti Zed Zaidi, Hafiz Nafiah, Sharifah shahora, Elveena Iris, Rozita Rohaizad, Abas Bakar dan ramai lagi.




Hajat akhir tertunai
MUHAMMAD AZRUL 
MOHD. RADI
16 Disember 2014

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Hajat terakhir ‘Hero Melayu Klasik’, Datuk Mustapha Maarof tertunai setelah selamat dikebumikan bersebelahan dengan pusara isterinya, Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di sini.

Menurut anak bongsu Allahyarham, Mohd. Rezainuddin, 38, hajat itu disampaikan oleh Allahyarham ketika mereka membersihkan pusara ibunya.

“Ketika membersihkan pusara ibu pada bulan puasa lalu, dia ada memberitahu, kalau boleh mahu bersama-sama di sebelah ibu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mustapha, 79, dimasukkan ke Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 November lalu akibat komplikasi paru-paru.

Allahyarham kemudian dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di situ pada kira-kira pukul 8.30 pagi ini.

Mengulas lanjut, jelas Mohd. Rezainuddin, sejak kehilangan ibunya, Allahyarham membesarkan mereka dengan baik dan banyak menerapkan nilai-nilai kekeluargaan.

“Allahyarham adalah seorang yang sangat rapat dengan keluarga. Bagi dia, walau sibuk sekalipun, keluarga perlu diutamakan.

“Setiap hujung minggu, dia mahu ahli keluarga duduk meluangkan masa bersama-sama. Kalau dapat berkumpul makan malam, memang dia cukup suka. Memori dan sikap itu yang akan menjadi kenangan buat saya sekeluarga dan adik-beradik yang lain,” jelasnya.

Sebelum Roseyatimah, Mustapha pernah berkahwin dengan pelakon, Suraya Harun dan mempunyai seorang anak, Suzlynna, 50.

Tiga tahun selepas itu, mereka berpisah dan Mustapha berkahwin dengan Roseyatimah.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak, Rezainuddin dan Azlynna, 45.

Allahyarham membesarkan anak-anaknya sendirian setelah kehilang­an Roseyatimah yang mening­gal dunia pada tahun 1987.

Mustapha memulakan kerjaya seninya pada era 50-an dan antara filem yang mengangkat namanya termasuklah Hang Tuah, Bawang Putih Bawang Merah, Seri Mersing dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.



Biografi Mustapha Maarof

Datuk Mustapha Maarof dilahirkan pada 1 Januari 1935 di Tanjung Galau, Seri Menanti Negeri Sembilan adalah seorang pelakon Malaysia. Beliau pernah mendapat Anugerah Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-10.

Pada 18 Jun 2010, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang mengumumkan Datuk Mustapha Maarof sebagai Anugerah Tokoh Perfileman Finas 2010. Beliau menerima cek bernilai RM30,000 ,selempang, pingat dan sijil Tokoh Perfileman Finas 

Datuk Mustapha Maarof meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, pada 15 Disember 2014 jam 8.38 pagi. Sebelum itu allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 November 2014 kerana mengalami kesukaran bernafas sebelum dipindahkan menjalani rawatan di Wangsa Maju pada 2 Disember 2014.

Jenazah beliau disolatkan di Masjid Amru Ibnu Al-Asr, Bandar Baru Sentul dan kemudian dikebumikan disebelah pusara isterinya (Roseyatimah) di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang.

Info lain tentang beliau:

- Beliau pernah mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar.
- Memulakan kerjaya seninya sejak 1953
- Sebelum menikahi Roseyatimah, Mustapha pernah memperisterikan pelakon jelita, Suraya Harun dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Suzlynna. Namun perkahwinan itu hanya mampu bertahan selama tiga tahun sahaja apabila mereka berpisah pada tahun 1965.
- Mustapha dan Roseyatimah mendirikan rumah tangga pada 1967, dikurniakan tiga anak iaitu Azlynna, Mohamad Rezainuddin dan Mohammed Khairuddin, namun Mohammed Khairuddin meninggal dunia akibat denggi ketika berusia tiga tahun.
- Allahyarham adalah anak kepada peguam Melayu, Maarof Zakaria yang mengasaskan Bank Kebangsaan Melayu pada tahun 1947 dan nama Jalan Maarof di Bangsar dinamakan sempena bapa Allahyarham.
- Sudah berlakon lebih 50 filem dan beratus-ratus drama televisyen, sama ada di Malaysia mahupun Singapura, dan lebih aktif bekerja di sebalik tabir sebagai produser drama dan iklan komersial serta video korporat menerusi Warna Motion Pictures.
- Selain itu, beliau juga sibuk dengan aktiviti berpersatuan. Pernah menerajui Persatuan Seniman dan menjadi Ahli Lembaga Pengarah FINAS.

Antara Filem Beliau
Hang Tuah - (1956) - (Pelakon Tambahan)
Sumpah Pontianak - (1958) - (Pelakon Utama) - Watak Sebagai (Samad)
Raden Mas - (1959) - (Pelakon Pembantu)
Bawang Putih Bawang Merah - (1959) - (Pelakon Utama) - Watak Sebagai (Putera)
Seri Mersing - (1961) - (Pelakon Pembantu)
Yatim Mustapha - (1961) - (Pelakon Utama)
Sultan Mahmud Mangkat Dijulang - (1961) - (Pelakon Utama) - Watak Sebagai (Tun Aman)
Keris Sempena Riau - (1962) - (Pelakon Utama)
Ibu Ayam - (1963) - (Pelakon Utama)
Mata Dan Hati - (1965) - (Pelakon Utama)
Naga Tasik Chini - (1966) - (Pelakon Utama)
Play Boy - (1967) - (Pelakon Utama)
Si Murai (filem) - (1968) - (Pelakon Utama)
Detik 12 Malam - (1979) - (Pelakon Utama)
Jasmin - (1984) - (Pelakon Utama)
Matinya Seorang Patriot - (1984) - (Pelakon Pembantu)
Tuah (filem) - (1990) - (Pelakon Pembantu)
Fenomena - (1990) - (Artis Jemputan)
Abang 92 - (1993) - (Pelakon Pembantu)
Sutera Putih - (1996) - (Pelakon Pembantu) - Watak Sebagai (Datuk Rahim)
Putih - (2001) - (Pelakon Pembantu) - Watak Sebagai (Raja Aristun Shah)
Bicara Hati - (2004) - (Pelakon Pembantu)
Chermin - (2007) - (Pelakon Tambahan) - Watak Sebagai (Pak Din)
1957 Hati Malaya - (2007) - (Pelakon Tambahan) - Watak Sebagai (Sultan Selangor)
Lembing Awang Pulang Ke Dayang - (2009) - (Pelakon Pembantu) - Watak Sebagai (Pak Ngah)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text