Social Icons

Tuesday, 30 December 2014

Sukarelawan Banjir - Nak Tolong Tapi Tak Faham

Terharu mendengar teman-teman berusaha keras membantu mangsa banjir. Tidak dinafikan sangat ramai yang ingin turun padang. Ada pelbagai orang yang turun ke padang walaupun mungkin semua berniat baik.

i. mereka yang ingin meninjau dan melapor dalam sosial media dan jarijemarinya tidak lekang dari smart phone.
ii. mereka yang hanya bercakap dan menganggap dirinya amat penting membuat penyelarasan untuk memberi laporan kepada YB agar dapat pujian politik
iii. mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Masyarakat kita tidak seperti orang Jepun yang sangat berdisiplin dalam kerja-kerja kesukarelawanan. Mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menyelaraskan bantuan sedangkan kita lebih mengikut cara sendiri dan sering timbul kecelaruan. Kita akan bertemu dengan pelbagai situasi yang tidak menyenangkan.

Pengalaman bertahun-tahun mengetuai misi membantu mangsa banjir CENSERVE setiap kali berlaku musibah, membuat hamba terasa ingin berkongsi sedikit tips dengan mereka yang baru mencuba:

i. Sebelum pergi, solatlah dua rakaat, bersihkan hati, berdoa agar diberi petunjuk dan hikmah dari Allah agar apa yang bakal dilakukan dapat memberi manfaat kepada mangsa.

ii. usah pergi sekiranya ia lebih menyusahkan dari membantu

iii. Mereka yang ditimpa musibah biasanya sangat sensitif. Pastikan kehadiran kita bukan sebagai penonton sebagaiamana orang melihat haiwan di zoo. Rendahkan hati, ringankan tulang, bukakan mata dan telinga sehingga mangsa merasa mereka adalah istimewa dengan bantuan kita.

iv. Usah terlalu memilih siapa yang perlu dibantu kerana sakit bencana sama saja walau mereka berlainan faham politik, bangsa dan agama.

v. Usah sebut siapa kita sekiranya tidak amat perlu. Yang diperlukan adalah bantuan kita bukan nama atau pangkat kita.

vi. Bawa buah tangan seperti coklat dalam kocek atau beg untuk diberikan apabila bertemu kanak-kanak yang boleh mengembirakan mereka.

vii. Bawalah keperluan peribadi yang diperlukan supaya tidak menyusahkan orang lain.

viii. Utamakan membantu orang tua. Dekati mereka dengan penuh hormat.

ix. Usah merasa diri atau kumpulan kita yang lebih hebat dari orang lain kerana ia akan merosakkan misi kita. Mangsa perlukan bantuan dan mereka tidak ada masa untuk memuji dan mengagumi kita.

x. Bertugaslah dengan penuh tawadhu' namun ceria semasa berhadapan dengan mangsa yang sedang kita bantu. Tanamkan rasa sayang tanpa syarat.

XI. Jagalah 3 batas utama iaitu batas pergaulan, batas aurat dan batas masa solat kerana ketiga-tiga itu membantu kita menjaga batas syariat yang lain.

xii. Doakan mereka kerana doa kebaikan untuk orang lain itu akan diaminkan oleh malaikat dan malaikat akan mendoakan kebaikan juga untuk yang berdoa.

Kata ulama di padang masyar nanti akan ada orang yang sedang dinaungi dan duduk bersenang lenang. Mereka adalah orang yang semasa di dunia sibuk membantu orang lain sedang orang lain duduk bersenang lenang dengan nikmat dunia.

SELAMAT MERAIH PAHALA

0 comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text