Paparan berikut diambil dari blog SMARTUSAHA
Tahun baru hampir tiba. 2015.
Setiap kali tiba tahun baru, semua orang akan mula merencana impian, azam dan matlamat sempena tahun baru. Ia satu usaha yang bagus.
Namun pada tahun 2015 khususnya, ia adalah tahun yang lebih berbeza terutama dari sudut ekonomi. Walaupun kita tidak perlu tahu secara mendalam mengenai ekonomi dunia, tetapi kita perlu tahu serba sedikit apa yang sedang dan akan dijangka berlaku. Kita tidak perlu meramal, tetapi cukup dengan melihat apa yang sedang berlaku sekarang seperti GST yang akan bermula April 2015 dan yang terkini subsidi petrol telah ditarik. Sedikit sebanyak ia memberi kesan terhadap kos kehidupan. Dengan adanya sedikit pengetahuan semasa, ia membantu kita untuk merancang kewangan diri, bisnes dan keluarga.
Sudah ada beberapa syarikat besar telah membuang pekerja di penghujung tahun 2014 kerana telah melalui saat genting pada tahun 2014 selain mahu bersedia dengan situasi yang sukar dijangka pada tahun 2015. Kita juga telah tahu, nilai ringgit telah jatuh ke tahap yang amat rendah.
Saya tidak akan menulis mengenai ekonomi kerana saya bukan pakar. Tetapi dalam post ini saya akan berikan cadangan apakah yang boleh kita lakukan selaku rakyat biasa. Berikut adalah 7 perkara yang saya ingin cadangkan sama anda sebagai usahawan mahupun pekerja (makan gaji).
1. Gunakan masa seoptimum mungkin.
Sudah tiba masanya kita mengurangkan aktiviti-aktiviti yang banyak mengeluarkan wang tetapi ia tidak memberikan apa-apa manfaat kepada bisnes, kerjaya ataupun diri sendiri. Begitu juga dengan jumlah masa yang diluangkan untuk media sosial, ia mungkin perlu dikurangkan melainkan anda mempunyai alasan yang kukuh contohnya untuk berniaga di Facebook ataupun melakukan pemasaran di sana.
Kurangkan juga masa untuk berhibur kerana yang lebih penting adalah kita gunakan masa yang ada untuk menyimpan wang bagi saat kecemasan. Begitu juga dengan “melepak” dan “mengeteh” yang tiada tujuan penting; kurangkan ia atau hentikan terus. Namun tidak bermaksud di sini kita hanya perlu bekerja 24 jam. Masa untuk riadah dan rehat juga adalah perlu.
Urus dan guna masa anda baik-baik. Jangan buang waktu kepada perkara yang kurang penting. Gunakan masa yang ada untuk buat duit tambahan (bagi yang bekerja makan gaji) dan gandakan usaha bagi yang usahawan sepenuh masa.
Jika saya, masa yang saya ada akan digunakan untuk:
Kerjaya/bisnes
Amal ibadat (wajib dan sunat)
Diri sendiri (kesihatan, ilmu, dll…)
Keluarga
Saya akan fokus kepada 4 perkara di atas sebelum yang lain-lain. Soal perjuangan ummah dan bangsa, bagi saya ia adalah subjektif. Membangunkan diri, keluarga dan bisnes yang dibina juga adalah perjuangan untuk ummah walaupun ia bukan secara langsung. Bangsa dan ummah yang gemilang terhasil daripada kemajuan diri setiap orang dalam bangsa/ummah itu dan bermula dari institusi keluarga.
2. Lakukan perkara yang memberi timbal balik yang menguntungkan.
Perkara kedua ini lebih kurang sama dengan point nombor 1 di atas. Apa saja yang akan kita lakukan, pastikan ia memberikan keuntungan kepada kita. Ada timbal balik. Perkara ini adalah penting terutama kepada peniaga dan usahawan. Jangan lakukan sesuatu yang membuang masa dan sia-sia. Dalam perniagaan, ada dua perkara penting dan amat penting iaitupemasaran dan jualan. Kuasai kedua ilmu itu dan lakukan ia sepenuh hati dan pada setiap hari/masa.
3. Fokus pada satu yang paling anda pakar. Dan yang satu itu mempunyai pelbagai aliran pendapatan.
Pada saat ekonomi yang meruncing, kita mungkin sedikit sukar untuk melakukan banyak perkara dan usaha kerana banyak masa dan kos diperlukan. Banyak syarikat yang pada mulanya berkembang dengan banyak anak syarikat kini dikecilkan semula menjadi sebuah syarikat. Kita lihat juga beberapa buah bank yang digabungkan agar mereka menjadi lebih kuat untuk menghadapi masa depan. Apatah lagi kita perniagaan yang kecil-kecil ini.
Kelebihan melakukan satu bentuk usaha (bidang perniagaan) adalah kita dapat fokus sepenuh hati dan jiwa. Kita juga boleh lebih fokus untuk merancang, bertindak dan belajar ilmu-ilmu baru. Contohnya jika anda menjana pendapatan melalui program affiliate, anda boleh mempromosikan beberapa produk affiliate. Jika anda menjana pendapatan dengan blog, anda boleh mempunyai beberapa buah blog. Ini yang dikatakan sebagai pelbagai sumber pendapatan.
4. Ada perancangan perlindungan risiko.
Salah satu cara yang paling mudah adalah dengan mencarum dalam takaful. Sekarang takaful mempunyai pakej 3 dalam 1 iaitu perlindungan, pelaburan dan kad perubatan. Ya, kita mungkin berkira untuk “membayar” takaful, tetapi ia adalah untuk kebaikan kita, anak-anak dan isteri andai berlaku sesuatu kepada kita. Mengambil takaful adalah “wajib” terutama kepada suami. Apatah lagi bagi anda yang bujang. Ambil mana-mana pakej takaful sebelum GST bermula kerana mungkin kadar caruman akan meningkat naik.
5. Lakukan perniagaan secara online semaksimum mungkin.
Perniagaan melalui online adalah salah satu cara terbaik untuk anda ceburi. Jika anda belum ada kedai / premis perniagaan dan ada niat untuk mempunyai premis sendiri, mungkin tangguhkan dulu perancangan itu melainkan anda akan gunakan ia dengan optimum dan mampu memberikan keuntungan. Saya pernah bertemu dengan usahawan offline dan beliau ada mengatakan, “Kalau kami tidak masuk pemasaran melalui online, kami sukar untuk survive.”Bagi yang sudah mempunyai premis perniagaan (offline), teruskan saja dengan perancangan yang lebih hebat.
6. Lakukan sesuatu yang mampu kita kawal sepenuhnya.
Ucapkan selamat tinggal kepada politik dunia. Serahkan ia kepada orang politik. Jika anda bukan orang politik, sebaiknya anda fokus pada diri sendiri, anak isteri dan keluarga. Itu tanggungjawab anda lagi-lagi jika anda anak lelaki, suami ataupun anak sulung. Ini juga berkaitan dengan perkara 1 dan 2 di atas. Ramai orang habiskan masa menjadi “keyboard warrior” di Internet tetapi ia langsung tidak memberikan apa-apa manfaat.
Apa yang saya maksudkan adalah, jika kita setiap hari marah-marah dan tidak puas hati dengan mana-mana Menteri, Yang Berhormat (YB) dan pihak-pihak bersangkutan, walaupun ia benar apa yang dikatakan, tetapi selalunya kita seperti kata pepatah, umpama “anjing menyalak bukit”. Kita biasanya tidak akan dilayan dan suara kecil kita sukar untuk diambil kisah.
Jadi, kita fokus kepada ruang lingkup aspek yang mampu untuk kita kawal sepenuhnya. Contohnya, kita mampu mengawal masa kita sendiri. Maka gunakan ia untuk perkara-perkara yang boleh memberikan keuntungan kepada kita sama ada dari segi pendapatan, bisnes dan sebagainya. Kita juga mampu untuk menentukan sejauh mana ilmu dalam diri kita. Jika kita rajin membaca dan belajar, maka semakin meningkatlah pengetahuan kita.
7. Tambah ilmu baru. Banyakkan membaca dan belajar.
Perkara yang dapat mengubah kita adalah ilmu (yang diamalkan). Tidak semestinya membeli buku kerana kita boleh membaca secara online sahaja. Tanpa menambah ilmu, kita akan kerap melakukan kesilapan dan akan melakukan perkara yang sama dalam tempoh yang lama. Jadi langkah pertama untuk berubah adalah dengan ilmu. Salah satu cara cepat untuk belajar sesuatu yang baru adalah dengan bertanya mereka yang telah berjaya dalam bidang mereka (yang juga kita ceburi).
8. Tambah amal ibadat dan sedekah.
Prinsip logik menyatakan, semakin banyak kita keluarkan, ia adalah satu kerugian. Pada mata zahir, ia akan mengurangkan apa yang kita ada. Tetapi dalam Islam, semakin banyak kita memberi, semakin banyak yang akan kita dapat. “1 dibalas 10 dan 10 dibalas 100″.
Zakat adalah wajib. Tunaikan ia terlebih dahulu sebelum sedekah.
Begitu juga dengan amal ibadat terutama solat 5 waktu, ia adalah perkara utama yang perlu disempurnakan. Kemudian susuli dengan amalan-amalan sunat yang lain terutama solat Dhuha, tahajud dan qiyamullail. Namun perkara penting di sini adalah, lakukan itu semua dengan ikhlas kerana Allah. Bukan kerana sekadar “amalan murah rezeki”.
9. Tetapkan matlamat yang jelas untuk dicapai.
Sebaik-baiknya, matlamat yang ditetapkan adalah realistik dan mampu dicapai pada tahun 2015. Matlamat ada dua jenis iaitu yang besar dan yang kecil. Untuk matlamat besar, tetapkan paling banyak 3 sahaja. Manakala yang kecil boleh letak beberapa. Kelebihan menetapkan matlamat adalah kita tahu apakah yang kita “perjuangkan”, bukan sekadar untuk hidup secara spontan dan tanpa hala tuju.
10. Terus ke depan.
Jangan terlalu melayan masalah-masalah kecil yang membantutkan perjalanan kita ke hadapan. Mana-mana masalah yang penting, kita boleh selesaikan. Mana-mana masalah yang kita boleh lupakan dan maafkan, maka lupakan saja dan terus ke depan. Jangan berpaling ke belakang dan jangan berhenti terlalu lama. Masa adalah aset paling berharga pada diri kita. Daripada menghabiskan masa terhadap sesuatu yang belum tentu memberikan keuntungan, lebih baik gunakan masa itu untuk sesuatu yang ‘pasti’ memberikan keuntungan.
11. Ubah cara berfikir.
Kita tidak akan berubah dan akan terus berada di takuk yang sama selagi kita tidak mengubah cara kita berfikir dan melihat sesuatu. Jika cara pandang kita begitu kerap negatif dan bersangka buruk terutama terhadap keupayaan diri sendiri, maka hasilnya mungkin tidak ada apa-apa untuk kita. Lihat orang yang berjaya, mereka berfikiran besar, yakin pada diri sendiri dan tidak mudah patah hati.
12. Jangan jadikan ekonomi sebagai Tuhan.
Ya.. Kita mungkin terlalu takut terhadap ekonomi yang meleset sehingga kita tidak tersengaja “tidak percaya” kepada pemilik ekonomi yang hakiki, iaitu Allah yang berkuasa. Kita tidak perlu takutkan ekonomi yang merudum, tetapi takutlah pada Allah. Dia pemilik segala-galanya di alam semesta ini. Jika kita yakin dengan Allah, maka secara automatik kita tidak akan gentar untuk menghadapi kehidupan ini yang kadang-kadang gelap, kadang-kadang terang. Kita yakin pada Allah. Jadi minta pada-Nya agar hidup kita dipermudahkan dan diberikan kesabaran yang tinggi.
Kesimpulan…
Saya hanya menulis secara ringkas sahaja. Anda boleh merujuk dan membaca mana-mana buku yang berkaitan untuk mendalami 12 perkara yang saya nyatakan di atas.
Saya doakan kejayaan, kebahagiaan, kekayaan dan ketenangan jiwa kepada anda semua.
Wassalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan