Social Icons

Sabtu, 20 Disember 2014

Kisah Pondok Pak Ya Terbakar

27 Korban Kebakaran Pondok Pak Ya Diingati

YAN: Selepas lebih dua dekad, keluarga 27 pelajar Sekolah Agama Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah yang terkorban dalam kebakaran pada 1989, berkumpul buat pertama kali semalam bagi memperingati kejadian itu.

Dalam kejadian 2.30 pagi pada 22 Sept itu, lapan blok asrama perempuan di sekolah yang lebih dikenali Pondok Pak Ya di Padang Lumat rentung bersama 27 penuntut, manakala enam berjaya menyelamatkan diri dalam keadaan melecur teruk dan kecederaan lain termasuk patah pinggang.

Pengelola Program Memperingati 27 Syuhada Kebakaran Pondok Pak Ya 1989, Mohd Fikri Abd Razak berkata majlis itu bertujuan mengumpulkan buat pertama kali keluarga semua mangsa yang terlibat.

"Hampir tiga bulan saya dan tiga rakan Alumni (Pondok Pak Ya) lain mencari 27 keluarga mangsa tragedi tersebut kerana alamat yang ada tidak lengkap," katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata pada majlis itu mereka berpeluang bertemu semula dengan yang lain termasuk yang terselamat dan berkongsi cerita mengenai pengalaman selepas tragedi.

Maklum balas yang diterima daripada ibu bapa dan keluarga mangsa sangat baik dan rata-rata mahukan sekolah mengadakan majlis ini setiap tahun, kata Mohd Fikri.

Majlis itu yang berlangsung di sekolah tersebut dimulakan dengan slot pengkisahan oleh mangsa yang terselamat, diikuti majlis tahlil di pusara 27 yang terkorban.

Selain itu, turut diadakan pameran yang memaparkan gambar mangsa serta laporan berita mengenai tragedi tersebut.

Sementara itu, seorang mangsa yang terselamat Hartini Awang, 35, berkata program berkenaan membuatkan beliau terkenang ramai kawan karibnya yang terkorban dalam tragedi tersebut.

Katanya beliau nekad meredah api yang marak bagi menyelamatkan diri, mengakibatkannya mengalami lecur di tangan dan muka.

"Selepas berjaya keluar dari asrama itu saya melihat semua lapan bangunan asrama yang kami tinggal terbakar," katanya yang kini bekerja di Jabatan Perangkaan di Sungai Petani.

Yusof Lebai Hassan, 72, pula tidak dapat menahan sebak apabila mengingati adik bongsunya Maryani yang terkorban dalam kejadian itu.

Katanya ketika kejadian, arwah adiknya itu baru berusia 14 tahun.

"Saya masih ingat seminggu sebelum kejadian arwah minta duit belanja kerana dia tak dapat balik ke rumah kami di Sungai Ibor, Gurun," katanya. - BERNAMA



Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya, Guar Cempedak

Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih terkenal dengan nama Pondok Pak Ya Junid telah ditubuhkan pada tahun 1947 oleh Allahyarham Tuan Guru Hj. Yahaya Junid. Terletak di Batu 16, Padang Lumat, Guar Chempedak, pondok moden ini telah didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri.

Tuan Guru Hj. Yahaya Junid pernah menulis sebanyak 18 buah kitab rujukan serta menjadi AJK Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Majlis Zakat Negeri Kedah, dan ahli Majlis Fatwa Kedah.

Selepas beliau meninggal dunia pada tahun 1964, pengurusan pondok diambil alih oleh Tuan Guru Hj. Azahari Abd Razak (1964 – 1983), Ustaz Manan Hj. Yahaya (1983 – 2007) dan Ustazah Hajah Azizah Hj Yahaya bermula tahun 2007.

Ustazah Hajah Azizah mendapat tauliah 4 Senawi sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya (1961 – 1966) dan memperoleh Diploma Pendidikan Islam. Beliau berpengalaman sebagai guru di SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan SMK Gurun. Pada tahun 1994, beliau menerima Anugerah Sijil Perkhidmatan Cemerlang daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.


Ketika Pondok Pak Ya ditubuhkan, seramai 194 pelajar telah mendaftar. Pada tahun 2012, Pondok Pak Ya mempunyai 608 pelajar remaja dan dewasa. Sistem pembelajaran yang ditawarkan ialah pengajian Umumi dan Nizami. Antara subjek yang diajar ialah Feqah,
Tafsir, Hadis, Tasawwuf, Nahu, Balaghah, Qiraat, Mantiq dan subjek pondok yang lain.

Pondok Pak Ya berjaya melahirkan beberapa tokoh termasuk YB Senator Dato’ Dr Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sheikh Fisol Omar, Pegawai Agama Majlis Agama Islam Kedah juga merupakan bekas pelajar Pondok Pak Ya. Bantuan kewangan bagi pondok ini diterima daripada Kerajaan Persekutuan, kutipan derma, sumbangan badan korporat dan orang perseorangan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text