Social Icons

Jumaat, 27 Mac 2015

Ramai Yang Tidak Tahu Erti Kebersihan Sebenar!!

Tulisan seorang kawan Pak Lang di dalam blog beliau (Bandartua)

Kali ini abi nak bercerita dan berlkongsi pengalaman tentang kebersihan. Kebersihan itu sebahagian dari Iman. Begitulah mafhum hadis. Sejak zaman remaja abi memang suka buat kerja-kerja kebersihan. Inilah salah satu contoh kesan atau pengaruh didikan Opah sejak abi kecil lagi. Opah selalu buat operasi kebersihan selain memang sangat disiplin pada setiap masa.

Walau pun kami tinggal di kampung, kebersihan sangat dijaga. Bukan sekadar bersih tetapi turut suci dari najis. Opah dengan Atuk sangat menitik beratkan bersuci! Kain untuk sembahyang tidak dijadikan basahan. Hanys dipakai semasa bersembahyang. Opah pula sangat pembersih dan pengemas. Sebulan dua pasti ada operasi mengemas almari pakaian dan susun atur dalam rumah. Halaman dan persekitaran rumah sudah tentu bersih dan kemas. Sekali sekala kami ditugaskan menyapu jalan antara halaman rumah ke surau atau jalanraya besar. Begitu juga operssi menyusun kayu api. Ini tugas tetap abi bila cuti sekolah.

Waktu remaja amalan kebersihan ini abi buat secara sukarela di markas atau rumah tamu Al Arqam Ipoh. Hampir setiap bulan abi akan basuh seluruh markas terutamanya pada hari Jumaat. Kain baju yang selalu ditinggal dan diperukkan di bilik air atau ruang mandi akan direndam dan dibilas. Semuanya secara manual. Tidak ada mesin basuh pun.

Jadi abi nak ajak anak-anak terutamanya, marilah kita rebut peluang mengutip berkat dengan rajin-rajinlah buat kerja-kerja kebersihan. Mula-mula bersihkanlah tempat atau bilik masing-masing. Jangan duduk bersepah-sepah atau padat dengan barnag yang entah apa-apa. Abang dengan abang Ngah ambil perhatian. Kemudian ringanlah tulang memberishkan tempat dan kawasan kita bertugas atau berjuang.

Kerja kebersihan biasanya tidak ada persaingan. Tak ada orang kecil hati sampai masam-masam muka. Kerja tukang sapu sampah, potong rumput, longgok sampah dan bakar sampah atau buang sampah jarang jadi rebutan atau idaman orang. Jadi inilah peluang terbuka untuk kita buat kebajikan dan mengejar keberkatan dalam Islam.

Sedangkan kesan kebersihan itu sangat besar kepada orang yang datang ke tempat atau premis syarikat yang memperjuangkan Islam sebagai satu cara hidup. Cuba bayangkan satu tempat yang cantik dan hebat tetapi kurang bersih atau berselerak. Tak perlu tunggu sampah yang banyak. Kadang-kadang ada sehelai dua plastik bungkusan makanan ringan yang bertebaran pun dan sangat mencacatkan pandangan pengunjung atau tetamu. Itu saja pun dah menjatuhkan wibawa Islam.

Sebaliknya kalau sebuah tempat atau premis itu sekadar sederhana namun kebersihan dan kekemasannya sangat terjaga dan diselia dengan baik akan menyenangkan hati pengunjung atau tetamu. Bahkan penghuninya pun akan lebih sihat dan ceria. Malah kebersihan dan kekemasan itulah lambang jiwa penghuni itu sendiri. Kalau jiwa penghuni itu bersih dan tersusun, maka begitulah diluarnya. Tetapi kalau di luar bersih dan kemas tidak semestinya jiwanya begitu. Itu sifir mudah untuk kita faham.

Jika kita dapat membuat lerja-kerja kebersihan dan kekemasan secara sukarela, ini sangat memberi kesan pada jiwa kita. Pertamanya kerja tersebut adalah kerja hamba. Bila kita buat kerjs hamba mudah-mudahan akan meresap rasa hamba yang mendalam dalam diri kita. Bila rasa hamba sudah menjunam dalam hati, dengan sendirinya ibu mazmumah iaitu ego dapat dimusnahkan. Sedangkan ego adalah halangan bagi sifat hamba untuk masuk dan duduk dalam hati.

Kedua ialah kita buat kerja tak rasmi tetapi kesannya besar. Walaupun kita hanya buat kerja kecil tapi besar maknanya. Kadang-kadang membuang duri atau kulit pisang di jalanan saja. Tapi perbuatan itu dapat menyelamatkan pejalan kaki. Besarr maknanya.

Ketiga pula kerja kebersihan ini dianggap hina dan tidak glamer. Bila kita sanggup buat sesuatu yang hina dan tidak galmer itu tanda kita sedar diri kita siapa. Bukankah hamba itu hina. Bila kita rasa hina ertinya kita kembali menjadi aeorang hamba yang sedar diri.

Sampah ialah buangan. Samada selepas dimanafaat maupun seauatu yang memang tidak bermanafaat. Kita juga begitu. Adakalanya kita memberi manafaat atau dimanafaatkan. Tetapi setelah habis manafaat, kita juga akan dianggap sebagai sampah. Tetapi ada sampah yang boleh dimanafaatkan semula. Malah ada yang manafaatnya atau nilainya lebih besar bila bergelar sampah. Ertinya kita boleh mengambil iktibar dari sampah.

Beberapa tahun lalu abi ada menulis tentang harg selonggok sampah di sini. Tulisan itu sebenarnya adalah monolog tetapi abi ubah sebagai dailog. Inilah peringatan untuk kalian semua. Tugasan atau peranan lain boleh datang dan pergi. Ikutlah keperluan atau kemampuan semasa.

Tetapi tugasan atau kerja sukarela dalam hal kebersihan dan kekemasan sentiasa terbuka di mana-mana dan bila-bila masa. Mau dengan tidak saja. Rajin dengan malas saja bezanya. Sekarang abi kembali bertugas dalam bidang ini. Bukan bermaksud sebelum ini abi telah tinggalkan kerja-kerja kebersihan atau kekemasan. Cuma mungkin kurang tumpuan kerana masa yang terhad kepada tugasan kepimpinan. Bila sudah tidak terlibat dengan kepimpinan, abi dapat menumpukan lebih masa kepada tugasan kebersihan dan kekemasan. Tugasan asasi abi Allah telah kembalilan semula. Terima kasih Allah yang Maha Bijaksana mengatur segala-segalanya.

Selain membersih kawasan penginapan dan membakar sampah. Kini abi sedang membuat projek memberih pantai daripada dahan-dahan kayu dan ranting-ranting yang telah tumbang atau hanyut. Begitu juga sampah sarap yang dihanyut arus air pasang surut di Sungai Lebam.

Sungguh tugasan tanpa diarahkan ini sangat menghiburkan dan mudah-mudahan dengannya jiwa hamba atau roh abi disuburkan. Ya Allah tolonglah hidupkan roh kami yang telah mati!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text