GAMBAR fail menunjukkan anggota polis mengiringi Ummi Kalsom (kanan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang pada 31 Oktober lalu.
Tidaklah kita tahu hakikat sebenarnya apa yang berlaku terhadap gadis ini. Tentu aneh jika ada rakyat Malaysia yang melihat perjuangan IS sebagai benar! Kita di Malaysia sudah terbukti merupakan umat Islam yang terbaik dari sudut penghayatan Islam - walaupun masih banyak kekurangan di banyak sudut.
Justeru bila ada yang terpikat dengan perjuangan militan, kita rasa pelik. Sepatutnya kita dapat menilai kebenaran. Apa pun, gadis di bawah yang dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun sudah mengaku salah. Apa di sebaliknya kita tidaklah tahu kerana pengakuan di mahkamah adalah pengakuan resmi. Yang tidak resmi mungkin hanya kita akan tahu bila kita mendengar kisah tersebut dari yang empunya diri.
Memang ada remaja kita yang bersemangat jihad. Kefahaman, penampilan, gaya dan hala tuju mereka sepatutnya dapat dikesan sedari awal agar sesuatu yang buruk dapat dibendung sedari awal. Semangat jihad tidaklah salah tetapi yang tidak boleh ialah melakukan kekerasan atau memaksa orang lain mengikut apa yang kita faham.
Sekarang, dunia sudah berbeza dari zaman Rasulullah saw dan para sahabat. Tuntutan jihad tetap kekal. Akan tetapi dengan kewujudan pemerintah sedia ada - walau apa status negara tersebut, ianya sudah menghalang seseorang melakukan kekerasan supaya syariat Islam ditegakkan di sesebuah negara berkenaan.
Islam itu bukan sekadar tuntutan negara. Lebih awal dari itu tuntutannya terhadap individu (Fardhu Ain), keluarga, masyarakat dan kawasan penempatan kita. Itu belum lagi pergi di peringkat daerah, negeri, negara dan antara bangsa.
Tegakkan Islam di peringkat individu terlebih dahulu. Janganlah terus belunjur sebelum duduk. Itu yang Allah tunjukkan pada umat manusia yang mahu berfikir. Lakukan peringkat demi peringkat. Jangan terburu-buru mencari syahid.
Lakukan sesuatu dengan asas ilmu. Tinggalkan sesuatu juga atas dasar ilmu. Banyaknya sistem hidup Islam yang belum tertegak di dalam diri dan keluarga kita. Tegakkan Islam di dalam diri dan keluarga kita, nanti Islam akan pasti tertegak di dalam masyarakat kita. Usahakanlah ini secara hikmah dan bijaksana.
Kita bersimpati dengan gadis di bawah. Entah apa yang sebenarnya terjadi padanya atau kefahaman apakah yang dipeganginya? Semoga Allah selamatkan kita semua dari huru hara akhir zaman.
KL: Seorang penolong pegawai kredit wanita dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas pertuduhan cuba memberikan sokongan kepada kumpulan militan Islamic State (IS) pada September tahun lalu.
Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman tersebut kepada Ummi Kalsom Bahak, 26, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan pilihan, Ummi Kalsom didakwa cuba memberikan sokongan kepada kumpulan militan IS dengan cara mengambil penerbangan pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) ke Brunei dan memasuki Syria dari Brunei ke Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan Muhammad Aqif Huesin Rahizat bagi manfaat kumpulan militan tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan Antarabangsa, KLIA 2, Sepang pada pukul 5.20 pagi, 5 Oktober tahun lalu. Difahamkan Ummi Kalsom merupakan wanita tempatan pertama yang dihukum penjara berhubung penglibatan dengan IS.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J kanun tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan harta boleh dirampas jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Hanif Hassan. Terdahulu, Afzainizam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat terhadap Ummi Kalsom walaupun tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan agar aktiviti seumpama itu dapat dicegah pada masa akan datang.
0 ulasan:
Catat Ulasan