Social Icons

Rabu, 16 Oktober 2013

Kefahaman Tentang Membakar Buku-Buku Al-Marhum Abuya - Apa Yang Salah Dan Apa Yang Benarnya?

Pak Lang tidak pelik jika ada bekas-bekas Arqam atau GISB yang mempertikaikan tindakan Puan Ibu Hatijah dan kami semua di GISB HOLDING membakar bahan menyalahi fatwa. Ini adalah ekoran keputusan kami menerima keputusan J/Kuasa Fatwa dalam kes Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam. Isu membakar buku-buku yang ada kaitan dengan Aurad Muhammadiah dan kefahaman yang bertentangan dengan Fatwa dipandang serius oleh mereka. 

Nampak seolah-olah mereka benar dan jujur dengan Abuya. Tetapi betulkah begitu? Pada Pak Lang banyak cara lagi untuk mengukur dan menilai kejujuran seseorang. Kita tidak boleh 'terkesima' dengan kata-kata orang yang mendakwa dia sedih dengan tindakan kami di GISB.

Isu ini sebenarnya mudah untuk difaham tetapi biasalah orang-orang yang sudah tidak bersama kami akan sentiasa mencari ruang untuk menyalahkan kami khususnya mempertikaikan tindakan Puan Ibu Hatijah. Semuanya yang dibuat Puan Ibu Hatijah - pada mereka tidak benar dan tidak tepat. Yang tepat pada mereka ialah jika mereka yang berbuat atau bertindak. Soalnya betulkah begitu?

Membakar buku bukannya perkara besar. Hukumnya pun bukan haram kerana asal hukumnya harus. Haram atau makruh bergantung pada 'qarinah' atau alasan yang diterima syarak. Kami di GISB tidak teruji dengan hal ini kerana apalah hendak disusahkan. Quran juga diharuskan membakarnya - mengikut keperluan dan dengan niat menjaga kesuciannya. 

Itulah sebabnya simbolik penghapusan bahan fatwa yang dikumpulkan di majlis semalam  dilakukan dalam tong yang dibuat khas. Ianya dibuat secara tersusun agar debu yang terhasil akan dibawa ke laut untuk dilepas-larutkan di dalam air. Kami membakarnya dengan niat menyetujui kehendak fatwa dalam keadaan tetap menjaga kesucian ayat-ayat Al-Quran atau Hadis Nabi SAW yang ada tercatat di dalam bahan-bahan bacaan berkenaan.

Perbuatan membakar bukan bermakna menghina kandungan Al-QuraN, Hadis dan sebagainya yang tercatat kerana ianya bergantung dengan niat. Ianya juga bukan bermakna menghina Al-Marhum Abuya. Pada Pak Lang, orang yang degil tidak mahu berubah itulah orang yang menghina Al-Marhum. 

Berubah mengikut kehendak Fatwa ini - kalau Al-Marhum masih ada tentulah ini jugalah tindakan Al-Marhum. Puan Ibu Hatijah yang sangat mengenali Al-Marhum tentu lebih faham kehendak Al-Marhum berbanding orang lain. Kalau sayang yang dihujjahkan, tidak ada orang yang paling sayangkan Al-Marhum di dunia ini melainkan Puan Ibu Hatijah sendiri!! 

(Sebaliknya berapa ramai orang yang bersembahyang yang berbuat dosa dengan Tuhan - sedangkan niat sembahyang awalnya kerana Allah!! Rupanya tanpa niat yang jahat, seseorang yang lalai dengan Tuhan di dalam sembahyangnya tetaplah dianggap jahat di sisi Tuhan!! Allah!!)

Orang yang berpandangan membakar buku Al-Marhum Abuya itu sebagai tindakan jahat adalah orang yang jumud - tidak boleh melihat agama dari berbagai sudut pendekatan. Mereka lurus bendul. Nampak Islam hanya dari skop yang kecil. Masalahnya kelompok ini ialah bila suka mempertikaikan orang lain. Membakar buku yang mudah difahami ini pun dipersalahkan, 

Agama Islam sangatlah mendorong pendekatan yang berbagai bentuk. Ianya tidak statik. Cuma orang yang jumud sahaja yang menjadikan Islam itu sangat terikat dalam kepompong yang sempit. Islam yang asalnya luas, praktikal dan fleksibel, di tangan orang yang jumud kelihatan sulit, sukar dan payah untuk didekati atau dihayati. 

Bayangkan dalam hal sembahyang sahaja pun, Imam hanya tampil dan terus mengangkat takbir. Makmum di belakang masih berterabur tidak dipedulikannya. Kerjanya sebagai imam dilakukannya secara lurus bendul. Dia langsung tidak berfikir keperluan untuk berpaling ke belakang, melihat susunan saf para makmum, memerhati rapat atau lurusnya kedudukan seluruh jemaah.

Inilah imam yang jumud. Dia hanya berbuat kerana rutin dan tugas. Dia tidak faham apa yang sebenarnya menjadi tugasnya. Sebagai imam dia sebenarnya diminta menerajui para makmum - membawa hatinya dan hati para makmum kepada Tuhan. Khusyuk dengan Tuhan itulah keutamaan. Jadi dia perlu memastikan makmum berada dalam keadaan bersedia untuk 'mikraj' bersamanya menuju Tuhan. Tidaklah boleh dia terus mengangkat takbir tanpa memperdulikan orang lain di belakangnya. Demikianlah contoh jumud yang wujud di kalangan orang sebegini.

Berbalik pada isu membakar buku tadi, pandanglah ianya dari sudut kehendak Tuhan. Ia adalah perintah Allah untuk kita mentaati pemerintah atau kerajaan. ("Selagi pemerintah itu mengerjakan sembahyang" Kata Al-Marhum Abuya dahulu). Telah sampai waktunya kita kembali ke pangkuan negara dan masyarakat. Marilah kita tempuhi ketaatan terlebih dahulu sebelum kita menyaksikan hikmah-hikmah Tuhan yang besar untuk Islam berkembang melalui jalinan kerjasama yang digerakkan nanti.

Semangat pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sangat wajar kita perhatikan. Kami didorong untuk membakar buku sedangkan Nabi Ibrahim diarah Tuhan supaya menyembelih anaknya!! Bayangkan betapa beratnya arahan yang mereka sekeluarga terima daripada Allah.  Dahsyatnya Allah dalam menguji oara kekasihNya. 

Tuhan tidak akan mengakui kita hambaNya yang benar-benar diredhaiNya tanpa diperlakukan kita dengan rentetan ujian demi ujian. Siapa yang akan melepasinya ialah mereka yang dapat berlaku taat setaat-taatnya dengan semua perintah Allah!!!  Ya Allah! tolonglah kami melepasi ujian-ujianMU!!

2 ulasan:

  1. kembali kpd fatwa adalah Jalan terbaik utk gisb kembalikan keyakinan umat islam kpd perjuangan islam yg dilagang oleh abuya kerana islam yg diperjuangkan oleh Allahyarham sangat lah bersifat kebenaran Dimana kebenaran itu lah yg nak kita ikut walaupun pahit.

    BalasPadam
  2. mohon izin share artkl ini...

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text