Social Icons

Rabu, 16 Oktober 2013

Majlis Pelupusan Bahan Menyalahi Fatwa GISB HOLDING - Catatan Sejarah Yang Amat Bermakna!!

Terima kasih Tuhan atas segalanya!! Rupanya di sebalik pelbagai tangapan manusia, Majlis Sambutan Aidil Adha GISB Holding - sekaligus Acara Pelupusan Bahan Menyalahi Fatwa dapat berjalan lancar pada pagi tadi. Kehadiran Yang Berbahagia SahibusSaadah Dato' Haji Marzuki Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan para pegawai kanan JAIS serta Ketua Polis Balai, Balai Polis Rawang, Tuan Inspektor Abdul Raheem Eliyas mewakili PDRM serta para pegawainya menjadikan majlis tersebut sangat bermakna.

Rata-rata tetamu yang hadir mengakui, majlis tersebut di lihat sangat berjaya, lancar dan tersusun kemas. Tuhanlah yang melakukan semuanya kerana orang tidak tahu perancangan GISB Holding biasanya mudah dan ringkas. Persiapan bagi majlis sedemikian tidak perlukan mesyuarat demi mesyuarat, perancangan demi perancangan berminggu-minggu. Apa yang penting kesatuan hati dan penyerahan diri kepada Allah SWT untuk mencatur setiap hati yang terlibat. Hasilnya ialah kesamaan buah fikiran, keserasian cara bertindak dan ketaatan semua pihak dalam menjayakan hasrat pimpinan. 

Kos majlis tadi pun jika dilihat pada kecanggihan khemah besar yang dipasang, hiasan, sistem suara, pentas, persembahan Generasi Harapan, set kerusi meja serta katering yang disediakan menggambarkan besarnya belanja yang GISB telah keluarkan. Tetapi, harga atau kos sebanyak mana pun tidaklah dapat dibandingkan dengan 'mahalnya' hakikat majlis tadi di sisi Tuhan dan orang-orang yang mencari kebenaran. 

Berbalik pada majlis yang bermula agak lewat - 10.30pagi dan berakhir 12.30 tengahari tadi, ianya menjadi satu majlis kemuncak bagi satu proses yang panjang. Jika diukur usia jemaah Al-Arqam - seperti yang disebut Dato' Haji Marzuki - sudah lebih 40 tahun pihak kerajaan memantau pergerakan Darul Arqam, Rufaqa' dan GISB. Sepanjang tempuh tersebut, pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk memastikan kewujudan jemaah sebegini memenuhi inspirasi negara. 

Apa yang telah berlaku selama ini telah menjadi sejarah. Jika sejarahnya selama ini dianggap titik hitam, maka pengisytiharan dan taubat  untuk kembali kepada kehendak Fatwa oleh GISB, membuka lembaran baru yang diharapkan dapat membahagiakan semua pihak. Majlis yang dihadiri oleh Dato' Haji Marzuki dan Tuan Abdul Raheem tadi menjadi penanda aras  kesungguhan kerajaan menyambut hasrat murni GISB yang sekarang diterajui Puan Ibu Hatijah sendiri. 

Pak Lang ternanti-nanti bagaimana respon semua tamu ketika Puan Ibu Hatijah Aam tampil ke pentas diiringi Puan Fauziah dan Puan Dr Azalina untuk berucap. Memang Pak Lang menyaksikan hadirin terpaku mengikuti suara hati Pengerusi Eksekutif GISB HOLDING itu. Pak Lang sendiri teruja menyedari format penyampaian yang sedemikian. Ianya adalah luahan kata-kata yang benar-benar terbit dari hati beliau dan terasa seperti air sejuk yang membasahi hati-hati yang hadir. Ada kesegaran pada intipati kata-katanya dan ada ketulusan dalam butir bicaranya. 

Puan Ibu Hatijah memilih berucap dengan formatnya bermunajat kepada Tuhannya. Itulah luahan hatinya yang sangat menjiwai keagungan dan kebesaran Tuhan maha pencipta. Format ini menjadikan hati-hati semua yang hadir melhat persoalan yang diluahkan itu secara mendalam jauh ke hati masing-masing. Secara fitrah semula jadi, sesiapa pun jika diajak berbicara dengan Tuhan, dia akan tersentuh dan terasa bagaikan luahan yang didengar, itulah juga luahan hatinya. 

Hasilnya ialah dewan jadi sunyi dan tenang menghayati butiran kata-kata beliau. Ada tamu yang tunduk sambil mengesat air mata. Bahkan semuanya terkesan dengan apa yang Puan Ibu luahkan. Orang tahu bukan mudah mengaku salah, bukan senang mengaku tersalah dan tersilap tetapi bagi orang yang mengutamakan Tuhan, hal sebegitu tidaklah sesukar dan sesulit manapun. Bahkan tidaklah terhina orang yang mengaku salah kerana bukankah hamba Tuhan itu sentiasa rasa bersalah!! Hamba yang jujur dengan Tuhan akan selalu menghina diri di depan Tuhannya. Itulah kebahagiaannya. 

Orang dunia melihat ketundukan Puan Ibu dan GISB menerima fatwa sebagai kekalahan atau menjatuhkan harga diri sedangkan orang-orang Tuhan melihat sebaliknya. Orang-orang yang dekat dengan Tuhan melihat sesuatu dari pandangan Tuhan bukannya melihat dari sudut nafsu yang ego dan sombong. Orang yang tunduk dan merasa hamba, mengaku salah dan berdosa, itulah nilai hamba di sisi Tuhan.

Kata-kata Dato Haji Marzuki yang berucap kemudiannya sangat bererti dan berharga. Ia menjadi penawar yang sangat menginsafkan. Beliau mengingatkan hadirin, sebagai manusia, kita tidak akan terlepas dari salah dan silap. Sebaik-baik orang yang tersilap ialah mereka yang bertaubat dan kembali kepada Allah.  Menariknya ucapan beliau kerana penuh dengan nada memberi dorongan dan pengharapan. 

Detik demi detik yang dilepasi beliau dalam ucapannya adalah berbagai kejutan positif ke arah terbukanya ruang kerjasama antara JAIS dan GISB HOLDING. Ternyata beliau sangat terbuka dan menyatakan hal-hal yang senada dengan ucapan Puan Ibu Hatijah - suatu yang Pak Lang yakin, itulah apa yang ada di hatinya selama ini terhadap GISB.

Kesimpulannya majlis tadi berjaya mengikat hati-hati semua yang hadir dalam satu niat ke arah menjayakan hasrat masyarakat dan negara tercinta. GISB HOLDING, JAIS dan PDRM - sudah dapat bertemu dalam satu majlis rasmi - suatu yang sangat mustahil untuk difikirkan akan berlaku tetapi Tuhan telah lakukannya pada hari ini. 

Halangan dan cabaran dalam perjalanan baru ini pastilah ada. Atas nama keinsafan dan taubat, Puan Ibu Hatijah telah membawa kami di dalam GISB HOLDING ke suatu era yang sebegini rupa. Tentulah cabarannya makin hebat dan besar. Walau bagaimanapun, bukankah kehidupan perjuangan kami di GISB selama ini sentiasa diulit kesulitan, cabaran dan halangan? Tuhan menghendaki kami menempuhnya dan merasainya bertahap-tahap. 

Jika sebelum ini dalam kepayahan dan kesulitan - semenjak Abuya meninggal dunia, Puan Ibu Hatijah sudah membuktikan GISB sudah sampai ke seluruh dunia, bayangkan situasinya sekarang. Halangan tetaplah ada kerana nafsu syaitan akan terus berebut untuk menguasai diri. Apa yang penting, semakin lama kita hidup semakin kita sedar kematian bila-bila masa akan datang menjemput kita. Kita semakin dekat dengan persoalan Mungkar Nangkir. 

Ingatan kepada kematian sepatutnya menginsafkan kami dalam menghadapi era baru yang sebegini rupa iaitu bekerjasama dengan pihak yang sebelum ini kami jauhi!! Semoga masyarakat dapat bersabar dan mendoakan kami untuk bersama Puan Ibu Hatujah merealisasikan apa yang telah diungkapkannya tadi. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allah Akbar Walillahil Hamd!!

1 ulasan:

  1. Assalam......bolehkah d masukkan ke dalam blok tuan teks ucapan Puan Ibu Hatijah Aam untuk dikongsi bersama?harap d perkenankan

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text