Social Icons

Khamis, 6 Mac 2014

Calon-calon Pengantin Di Kalangan Remaja GISB / YKPPM

 

 

Malam ini Pak Lang berpeluang bertemu calon-calon pengantin di kalangan anak-anak remaja GISB / YKPPM.  Insya Allah seminggu dua lagi akan dilangsungkan perkahwinan mereka - perkahwinan beramai-ramai!! Mungkin mencecah 40 pasangan?

Remaja GISB / YKPPM adalah remaja yang sudah lama dididik. Sejak kecil mereka sudah hidup dalam sistem berTuhan. Mereka telah biasa hidup dalam suasana yang mengutamakan solat berjemaah di awal waktu. Bahkan diawali dengan selawat merindui Nabi sejam lebih awal. Hidup mengutamakan Allah dan Rasul menjadi cita-cita mereka.

Kehidupan mengamalkan syariat dan sunnah Rasul telah lama dijiwai mereka. Semuanya mendidik mereka menjadi remaja yang bercita-cita besar. Cita-cita membela Allah dan Rasul adalah cita-cita mereka. Mereka adalah generasi harapan bagi GISB / YKPPM.

Sebenarnya mereka memahami keperluan perkahwinan di awal usia remaja. Sudah ratusan pasangan remaja telah diuruskan perkahwinan mereka dalam usia belasan tahun dan awal dua puluhan. Mereka cepat matang dan bertanggung jawab selepas berkahwin.

Jika mereka berkumpul semula semuanya, meriahlah suasana masing-masing membawa anak-anak kecil montel. Ge,biranya Rasulullah SAW dengan bertambahnya umat yang sangat mengusahakan rasa takutkan Allah SWT dan rindukan Nabi SAW.

Jadi tidaklah sukar menjodohkan mereka. Secara umumnya mereka terkawal dalam pergaulan sesama remaja. Sebenarnya mereka tidak biasa dengan pergaulan bebas. Mereka malah malu untuk berhubungan dengan yang bukan muhrim. 

Kebanyakannya taat dengan percaturan pemimpin. Ibubapa menyerahkan semuanya untuk dicatur oleh syarikat (baca jemaah - berjemaah itu rahmat dan berpecah belah itu azab).

Harapan kita, semua yang dicalonkan menjadi pengantin baru nanti akan segera bersetuju dengan jodoh mereka. Seterusnya mereka akan serius membaiki diri dan membuat persiapan lahir batin bagi menempuh era baru dalam hidup mereka. Tentulah banyak yang perlu dipelajari dan difahami. 

Berkahwin bukanlah mudah. Ianya satu perjalanan yang jauh, panjang dan sangat mencabar. Walaupun ianya sangat penting, di dalam dunia hari ini tidak ada fakulti khas mengenai perkahwinan yang diwujudkan di mana-mana universiti. Kami di GISB / YKPPM menyedari hal ini. 

Sebab itu kami mengurus perkahwinan remaja dan staf kami secara tersusun dan berterusan. Setiap yang akan berkahwin akan diberi persiapan mental, jiwa dan fizikal yang secukupnya. Sekarang mereka akan diberi kursus demi kursus yang berkaitan. Kemudian selepas berkahwin, mereka akan terus dipimpin dan dididik. 

Mereka akan ditugaskan di mana sahaja tempat wujudnya aktiviti GISB / YKPPM. Di setiap tempat mereka akan dibimbing oleh para pemimpin  di tempat masing-masing. Proses meningkatkan rasa takut Allah dan rindu Nabi akan berjalan terus menerus sehingga mereka beranak pinak bahkan bercucu cicit.

Usaha menyusun dan menguruskan perkahwinan anak-anak staf syarikat atau jemaah seperti yang kami lakukan ini wajar diusahakan oleh semua pihak di negara kita. Setakat ini sudah ada inisiatif yang dilakukan oleh jabatan agama dan pusat-pusat zakat dalam menguruskan perjodohan dan perkahwinan para remaja yang ingin berkahwin. Jika boleh giatkanlah lagi usaha-usaha sebegini terutama dalam membantu mereka yang ingin berkahwin tetapi belum mampu dari sudut kewangan. 

Sudah ramai ‘andartu’ atau ‘andalusia” di dalam masyarakat kita. Tanpa kita membantu, mereka akan terus sedemikian tanpa pasangan dalam hidup. Apalah makna kekayaan, kemewahan dan kehidupan jika tidak ada seseorang disamping yang menjadi suami atau isteri.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text