Pak Lang paparkan dulu gambar-gambar di sekitar majlis jamuan makan malam dan 'majlis perpisahan' bagi peserta Kursus Pemulihan Bekas Pengikut Global Ikhwan Sdn Bhd di Pusat Pemantapan Akidah Jelebu (PPAJ). Mungkin gambar yang dipaparkan ini agak bercampur aduk, tetapi bolehlah sekadar memberi gambaran apa yang kami lalui dalam kursus berkenaan.
Awalnya kedatangan kami dinanti dengan cemas oleh pihak penganjur. Maklumlah 'pertentangan' antara kami dengan pihak berkenaan sudah berlarutan lebih 30 tahun. Banyak yang terluka. Parutnya masih membekas di hati. Menariknya, sebahagian besar tokoh pemimpin JAKIM, JAIS, Bukit Aman sudah tiada di kerusi masing-masing. Bahkan Almarhum Ustaz Ashhari pun sudah meninggal dunia. Walaupun mereka sudah tidak ada, tidaklah bermakna 'perseteruan' sudah berakhir. Sebaliknya perseteruan itu kami 'warisi' dengan pelbagai alasan untuk mewajarkannya.
Pusat Pemantapan Akidah Jelebu itu - kalau tidak silap Pak Lang, dibina bagi 'mengkursuskan' bekas pengikut Arqam dahulu. Tetapi entah kenapa ianya tidak dapat dijalankan. Sehinggalah apabila JAIS bertindak mengadakan sesi pertemuan demi pertemuan, perbincangan demi perbincangan dengan Puan Ibu Hatijah Aam, barulah tabir pemisah dapat disingkap. Maka hanya pada tarikh 13 April yang lalu sahajalah kami - bekas-bekas pengikut Al-Arqam dapat dibawa masuk ke PPAJ itu.
Hari-hari awal kursus sememangnya penuh dengan debaran dan sangkaan. Sebab itu kursus berkenaan diberikan masa sehingga 2 minggu. Ianya agak mencukupi bagi memecah tembok yang menghalang kami untuk dapat duduk semeja. Pelbagai aktiviti digabung-jalinkan bagi mencetuskan suasana saling berinteraksi dan mahu berkomunikasi. Pelbagai panduan dan dorongan diberikan agar kami mahu - secara sukarela dari hati dan jiwa, tanpa dipaksa. Justeru sejak awal. kami sudah memilih untuk mahu turut serta mengikuti setiap peraturan kursus bahkan kami mahu pastikan objektif kursus dapat dicapai bersama dengan pihak penganjur.
Fasilitator tetap setia bersama kami. Jika masa kursus selama dua minggu yang kami tempuh, maka dua minggu jugalah para urusetia dan fasilitator, 'berkursus' bersama dengan kami. Jika kami tidak dapat bersama keluarga, mereka pun sama. Kalau kami merasakan berat dan sukar, letih dan lemah, mereka juga sedemikian. Tetapi sesuatu yang berat itu bila dipikul secara bersama, maka ternyata ianya akan jadi ringan. Tidak terasa sulit dan sukar.
Maka demikianlah yang terjadi pada kami dan para urusetia serta fasilitator. Setelah 2,3 hari berlalu maka secara perlahan-lahan kami sudah dapat saling memahami. Hasrat fasilitator agar kami menjiwai kursus itu dengan sepenuh hati akhirnya menjadi kenyataan. Mungkin juga berkat doa mereka yang ikhlas dalam mahu membantu kami.
Jadi apabila hasrat menjayakan kursus sudah menjadi hasrat bersama, maka tidak ada lagi kejanggalan. Semuanya berjalan lancar dan ceria. Semakin hari yang berlalu, semakin mempertaut ikatan hati kami dengan para penceramah, para urusetia dan para fasilitator.
Biasanya seseorang penceramah itu akan bersama dengan kami sehari suntuk. Penceramah datang awal sebelum Subuh untuk mengimami solat Subuh dan seterusnya menyampaikan tazkirah. Ianya diikuti dengan 4 sesi kuliah sehingga jam 11 malam serta 1 kuliah maghrib. Pengalaman berceramah, menyampaikan kuliah dan berdepan dengan khalayak yang pelbagai menjadikan mereka kelihatan bersahaja (malah berwibawa) di hadapan kami. Kami tidak melepaskan peluang bersalaman dengan setiap penceramah dan berusaha berkenalan dengan lebih lanjut. Insya Allah kami akan sentiasa menjemput mereka menyampaikan kuliah untuk semua staf GISB di seluruh negara. Jadualnya sedang disusun oleh Alfadhil Ustaz Harun Taat.
Berbalik pada keakraban kami dengan fasilitator, ianya sangat terasa kerana mereka sememangnya sentiasa bersama kami. Kalau kami lenguh lantaran duduk bersila di dalam surau mengikuti kuliah, mereka juga mengalaminya. Kalau kami 'capek' berjalan turun naik dewan makan dan ke surau serta ke dewan kuliah, mereka juga merasai peritnya. Sebab itu kami jadi semakin erat, mesra dan sudah pandai saling menghargai.
Bagi yang terlampau mesra, sudah berani hendak bergurau dan usik mengusik dengan para fasi. Tentunya soal poligami menjadi bahan usikan yang menarik. Apa pun kini, semuanya menjadi kenangan indah. Semoga kasih sayang yang terjalin ini akan terus disuburkan sehingga menjadi ganjaran pahala berganda di sisi Allah SWT. Dan menjadi penyebab mendapat lindungan arasy di hari Mahsyar - hari yang dahsyat, yang tidak ada satu pun tempat berteduh melainkan arasyNya yang agung!!
Majlis makan malam di malam perpisahan itu menjadi saksi eratnya kasih sayang yang terbina. Tangisan kesedihan mengiringi perpisahan kami. Setiap peserta saling bersalaman sambil saling peluk-memeluk terutama dengan para fasilitator yang berjasa. Ungkapan memohon maaf dan memberi kemaafan saling kedengaran dalam suara separuh berbisik yang sebak.
Sesungguhnya Allah menjadi saksi, betapa hati-hati yang mulia dan bahagia itu ialah hati yang mahu berukhwah dan berkasih sayang. Hati adalah wadah yang sangat sensitif dengan kehendak Allah. Dialah Allah, yang telah mengagihkan nikmat kasih sayangNya untuk kami semua kecapi di akhir kursus yang sangat bermakna kepada kami itu.
:-)
BalasPadam