Pak
Lang bukanlah sengaja melambatkan paparan mengenai Kursus Pemulihan
Bekas Pengikut Global Ikhwan Sdn Bhd yang telah diadakan pada 13 April
hingga 27 April yang lalu. Banyak perkara lain yang perlu diutamakan.
Paparan mengenai kursus ini sebenarnya sangat penting untuk semua yang
berminat dengan GISB. Hal ini memang sangat dirasakan. Pak Lang mohon
maaf kerana ramai pembaca blog ini yang menanti paparan mengenainya.
Kursus
tersebut anjuran JAIS dengan kerjasama JAKIM dan pihak keselamatan di
Pusat Pemantapan Akidah, Jelebu, Negeri Sembilan. Pak Lang, Puan Ibu
Hatijah Aam dan seramai 58 orang yang lain telah menghadirinya. 17 orang
daripada kami adalah mereka yang mendapat perintah Mahkamah Rendah
Syariah Daerah Gombak bagi mengikuti kursus pemulihan sebanyak 500 jam.
Yang selainnya adalah barisan pimpinan GISB yang datang secara sukarela
untuk melalui proses pemulihan.
Jangka
masa kursus selama 2 minggu itu bukanlah suatu yang mudah apatah lagi
pengisiannya sangat padat dan berat. Tetapi oleh kerana sebahagian besar
yang hadir kursus itu adalah barisan pimpinan utama GISB, maka
rata-rata, dapatlah kami menjadi peserta kursus yang taat dan siap sedia
mengikuti tentatif yang disusun.
Kami
sememangnya sudah biasa berminggu-minggu dalam program pengisian minda
yang berat-berat. Justeru di PPAJ - walaupun tetap terasa letihnya, kami
masih teruja dengan pelbagai bentuk pendedahan baru yang kami terima. Bahan atau tajuk
yang dikupas biasanya sarat dengan hujjah dan nas yang mantap tetapi
berjaya disampaikan dalam bentuk tidak menjemukan.
Pak
Lang sendiri merasakan setiap penceramah mempunyai pendekatannya yang
berbeza. Mereka tidak steriotaip. Semua mereka - secara umum mempunyai
karektor memikat yang tersendiri. Rakan Pak Lang di Kuliah Usuluddin
Al-Azhar dulu - Prof Madya Dr Mohd Najib sanggup turun bersama para
peserta bermain futsal. Itulah pendekatan beliau menyelami hati budi
kami. Kesannya sangat mendalam. Kami boleh menerima beliau 'dari hati'.
Tegurannya
pada cara kami menyusun kasut sambil mengundur membelakangkan kiblat
ketika masuk ke masjid, dapat kami terima dengan sepenuh hati. Bahkan
kami turut tertawakan diri kami sendiri kerana berbuat sesuatu yang
pelik sebegitu. Tidak patut masuk masjid atau surau sambil membelakangkan pintu
utama masjid sedang Baginda Nabi SAW melangkah terus masuk ke masjid
dengan kaki kanan (sambil membaca doa masuk masjid). Tidak ada hadis
yang menyuruh membelakangkan masjid atau kiblat seperti yang kami lakukan selama ini - puluhan tahun!!
Demikianlah
kursus itu mempunyai berbagai kenangan menarik dan menguja kami.
Walaupun ada kalanya ego (baca mazmumah) kami tercabar, kerelaan hati
kami untuk diperlakukan apa saja demi kepatuhan kami kepada fatwa
menjadikan kepahitan itu dapat ditelan. Yang pahit itulah bila dikenang
semula menjadi ingatan manis yang tidak mudah dilupakan.
Kami
melepasi satu kuliah demi satu kuliah dalam keadan terkejar-kejar
mengejar waktu yang relatif sempit. Tidak ada ruang bersenang-senang
atau tidur baring senak-enaknya. Jadual yang padat menjadikan yang sakit
'melupakan' sakitnya. Mereka yang letih atau mengantuk kelihatan banyak menghabiskan
gula-gula sepanjang kuliah berjalan. Yang kencing manis, anehnya menjadi
terkawal pula kandungan gula mereka!
Pada
Pak Lang kursus berkenaan sangat berharga buat kami. Kami datang dengan
niat untuk melalui satu proses mematuhi fatwa. Kami mahu kembali ke
arus perdana masyarakat Malaysia yang tidak lagi dicurigai umum. Walau
berapa harga yang perlu kami 'bayar' dalam pemulihan ini, kami akan
usahakan. Dan kami akan buktikannya.
Ramai
yang berkata bukan mudah keyakinan puluhan tahun mahu diubah dan
dihapuskan. Tetapi kursus yang kami lalui itu berjaya membuktikan modul
yang digunapakai itu sesuai untuk kelompok yang seperti kami. Ya, kami
sedar, kami tidak mungkin dipulihkan seperti silap mata. Ianya akan
memakan masa. Apa yang penting kami mahu berubah dan sedang berubah.
Kami mahu bersihkan diri, hati dan jiwa kami dari semua yang kami pegang
selama ini. Kami tidak akan berpatah balik ke belakang. Perkara yang berkaitan dengan akidah atau pegangan bukanlah suatu yang boleh diambil mudah. Allahu Akbar, syukur kepadaMu Ya Allah!!
Kami
ibarat puak komunis yang keluar menyerah diri meletakkan senjata dan
menyilangkan kedua-dua tangan kami di atas kepala. Kami menyerah. Kami
sedia dibuat apa saja asalkan kami diproses menjadi warganegara yang
tidak lagi 'membuat kacau' di tengah masyarakat. Cukuplah selama ini
masyarakat kecoh dengan karenah kami yang bermacam-macam. Kami insaf
bahawa kami diperhatikan masyarakat. Masyarakat terbanyak mengharapkan
kami berubah. Inilah
harapan kerajaan selama ini agar kami berada di landasan arus perdana -
sama seperti syarikat korporat yang lain atau sama seperti badan-badan
islam yang lain di negara ini.
Jadi di dalam kursus itu kami sebenarnya dilayan dengan pengisian ilmu dan muzakarah. Pada Pak Lang tahap ilmu yang kami dapat itu seolah-olah pengajian Islam bertahun-tahun. Cuma ianya dalam bentuk 'matan' dan kami perlu melanjutkan pengajiannya secara istiqamah selepas ini. Pak Lang sendiri pun merasakan masih banyak yang perlu dipelajari.
Suasana kursus hidup dan segar. Kami
diberi maklumat dan diberi peluang bertanya serta mendapatkan
penjelasan. Kami boleh mengkritik, boleh meluahkan pendapat dan rasa
hati. Para fasilitator tidak menggunakan pendekatan 'brainwash' seperti
tanggapan sesetengah pihak. Bahkan merekalah yang menjadi tempat kami
nyatakan apa yang kami rasakan boleh diperbaiki.
Hasil
kursus tempuh hari, kami sudah menggariskan berbagai tindakan susulan
pematuhan fatwa. Ianya sangat kompleks tetapi sedang kami laksanakan
satu persatu. Kami sedar pihak JAIS, JAKIM dan pihak Bukit Aman memberi
ruang masa yang selesa untuk kami. Mereka mahu pastikan akar umbi
kesalahan dan kesilapan masa lalu tidak lagi tumbuh dan muncul kembali.
Setiap orang daripada 4,000 staf GISB di seluruh dunia mesti dipastikan
pulih sepenuhnya. Bahkan setiap orang anak, pelajar atau remaja GISB
mestilah berada di landasan pendidikan arus perdana - sama seperti anak,
pelajar dan remaja yang lain.
Pak
Lang bersyukur kerana jauh di hati Pak Lang - sejak lama, Almarhum
Ustaz Ashaari menginginkan pertemuan dan perbincangan dua hala berlaku
antara GISB dengan pihak JAKIM / JAIS serta badan berkuasa agama. Justeru kursus
yang kami lalui itu adalah suatu hasrat yang baru tercapai setelah
beliau meninggal dunia.
Dalam jangka masa 2 minggu itulah kekeruhan antara kami dan JAKIM dapat dijernihkan. Dalam masa 2 minggu itulah juga persepsi (baca 'sarwa') dapat diubah. Setiap pihak memandang pihak yang satu lagi dengan pandangan baru yang jauh berbeza dari tangapan sebelumnya. Natijahnya sangat positif yang membuka ruang lebar ke arah kebaikan bersama demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
Apa
yang penting, kami rasa selesa - kerana walaupun kami bersalah, kami
masih merasakan kami diberi ruang berbincang. Kami diterima sebagai
manusia biasa yang sudah pasti mempunyai salah dan silap. Kami tidak
diperlakukan secara tidak sopan. Sebenarnya kami rasa malu kerana tanpa
prejudis, taubat kami disambut dengan satu usaha pemulihan yang sangat
bertanggung jawab. Tentunya proses ini akan berterusan tahap demi tahap.
Semoga Allah SWT izinkan berlakunya perubahan secara total kepada warga
GISB di seluruh dunia.
"Ya Allah tolonglah jayakan semuanya dan berilah sebaik-baik ganjaran kepada setiap insan yang sangat berusaha membantu kami untuk berada di atas jalanMu yang lurus"
assalamualaikum wbt,alhmdulillah..harapn sya agar paklang buat satu entry khusus brkenaan warga GISB,biar org awam nilai dr segi positif dan negatif.
BalasPadamAssalamu'alaikum, Saya berkongsi dengan Akhi Nabeel supaya Pak Lang buat satu wadah khusus yang berkenaan dengan WARGA GISB sedunia, agar terjadi perimbangan informasi atas semua aktivity dari seluruh WARGA GISB didalam menjalankan HUKMULLAH di bumi TUHAN ini.
BalasPadamInsya Allah dari masa ke semasa, blog ini akan terus memperkatakan tentang perkembangan GISB HOLDINGS SDN BHD. Proses kembali ke dalam arus perdana akan mempunyai pelbagai persoalan yang perlu diperjelaskan dari masa ke semasa. Moga-moga anda semua terus menjenguk blog ini untuk informasi GISB yang terkini.
BalasPadam