Social Icons

Rabu, 5 Mac 2014

Sila Tonton Interview TV3 Jam 9 Malam ini

 
 
Pergolakan politik tanah air semakin bercelaru dan haru biru. Simpang siur jalannya sudah semakin sukar untuk ditebak. Jika ianya benang, keadaannya semakin kusut dan rumit. Sekurang-kurangnya itulah tangapan kebanyakan masyarakat awam. 

Sebaliknya bagi para pemain politik di sebalik tabir, situasi sekarang masih dalam percaturan mereka. Mereka tidak terlepas atau tersasar. Fokus mereka dalam meragut keuntungan sentiasa wujud. Mereka siap siaga 24 jam sehari semalam. Kalau perlu tidak tidur malam, orang politik adalah juaranya asalkan matlamat dapat dicapai.

Khabar terbaru yang kita dapat ialah malam ini, akan ada kejutan terbaru dalam arena politik tanah air. Dalam media internet sudah hebuh diperkatakan tentang tekateki terkini apa yang akan terjadi kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Ianya berhubung dengan isu MoU untuk penstrukturan semula air di Selangor yang menjadi isu sejak ia ditanda tangani.

Sebenarnya banyaklah isu yang sedang berputar di seluruh negara berkait dengan kedudukan Tan Sri Khalid sebagai MB. Umum sudah tahu pengganti Menteri Besar bergaya korporat itu akan digantikan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Itupun jika DS Anwar berjaya memenangi kerusi DUN Kajang nanti. 

Pertentangan antara Tan Sri Khalid dengan YB Azmin Ali sudah merebak dan meluas. Parti Keadilan Rakyat dilihat semakin berkurangan kredibilinya. Percaturan pihak manakah yang akan mengaut untung dari situasi ini belumlah jelas buat masa ini. Semuanya serba mungkin terjadi. 

Maka malam nanti melalui slot interview TV3, kita akan ketahui apa yang berlaku. Sekuat mana gegendang perang dalaman PKR sedang dipalu, kita akan dapat mengesannya pada malam ini. 

Apakah benar berlaku pertemuan Tan Sri Khalid dengan Dato' Seri Najib semalam di Pejabat Perdana Menteri? Betulkah hadir sama orang kuat TV3? Semuanya akan terserlah pada malam ini. Apa rasa hati Tan Sri Khalid ekoran orang banyak memperkatakan tentang dirinya akhir-akhir ini tentu akan diluahkannya dalam interview nanti. 

Pastilah pengendali interview bukan sebarang orang. Dan dia pasti akan tahu bagaimana menjolok 'sarang tebuan' atau mencuitnya bagi melihat berapa banyak 'tebuan' yang bersarang di dalamnya. 

Tan Sri Khalid bukanlah seorang yang emosi. Dia 'cool' dan profesional. Kita sangat teruja hendak melihat sejauh mana beliau mampu bersilat samada mempertahankan PKR atau Pakatan Rakyat atau kerajaan negeri Selangor yang diterajuinya atau membela dirinya sendiri. 

Soalnya siapa yang merancang kemunculannya di TV3. Jika ianya menguntungkan pembangkang, mustahil TV3 bermurah hati memberi peluang slot yang penting itu di waktu puncak. Atau apakah interview ini akan memberi mata kepada pihak kerajaan? Rata-rata pemerhati politik mengakui, kemelut dalaman PKR sedang memberi mata yang tidak sedikit kepada BN. Betulkah?

Sudah pasti ramai yang sedang menunggu untuk menangguk di air keruh!

1 ulasan:

  1. kebejatan sedang berlaku, apakah tanda isyarat Tuhan akan tukar suasana bejat kepd kebaikan kedamaian kemungkaran akan dipadam dan diganti dengan segala macam kebaikan sama-sama kita nanti dan perhati sambil menagih janjiNYA yg telah dimaklumkan oleh kekasiNYA. Allah sahaja yang mengetahuinya krn segalanya dibawah kekuasaanNYA.

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text