Hasil dari Resolusi Taubat GISB (Bekas Al-Arqam) yang dibuat semasa Kursus Pemulihan Bekas-bekas Arqam/Global Ikhwan (Fasa1) pada 13 April 2014 - 27 April 2014 di Pusat Pemantapan Aqidah Jelebu (PPAJ), maka pihak GISB Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif mengadakan Majlis Perbincangan Dan Pertemuan Mahabbah bersama pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Majlis ini telah berlangsung di Dewan Perdana Ikhwan, Tingkat Atas Restoran Nasi Ayam Hainan Ikhwan, Garden Homes, Seremban 2, Negeri Sembilan pada hari Isnin 23 Jun 2014.
Majlis muhibbah ini dihadiri oleh wakil-wakil beberapa agensi kerajaan. Antaranya ialah Ust Hj Ahmad Husaini bin Dato Hj Mustafa, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah JHEAINS, Ust Mohd Yusri Mazlan, wakil dari Jabatan Mufti N.Sembilan, En. Ahmad Tajuddin, Penolong Pegawai Bahagian Unit Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakt, N.Sembilan dan 2 orang kakitangan wanita dari JKM Seremban 2.
Turut hadir ialah Ust Hj Mohd Murad Hj Mohd Yusof dari Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ustazah Zarina Long, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Keluarga JHEAINS, Ust Amir Intizam Othman, Penolong Pengarah SAR/KAFA JHEAINS, Ust Zamri dari Bahagian Akidah JHEAINS, En. Tajul Ariffin Muhammad, Setiausaha Keselamatan Negeri dari Majlis Keselamatan Negara, En. Azlan bin Hj Mohd Solleh, Pen. Setiausaha Keselamatan Negeri dari Majlis Keselamatan Negara, Hj Nazari bin Harun, Pengerusi Masjid Al Ikhlas, Seremban 2.
Wakil daripada GISB yang turut serta di dalam majlis ini ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif, Tuan Rashidi bin Abdullah dan Pengarah GISB Negeri Sembilan, Tuan Hj Mohd Fadhil bin Yasin serta beberapa orang lagi pengarah zon GISB Holdings Sdn Bhd dari zon-zon berhampiran.
Majlis bermula jam 10.30 pagi di pengerusikan oleh Encik Jaafar Ahmad selaku SUZ Zon N. Sembilan. Pengerusi memulakan majlis dengan bacaan surah Al Fatihah dan iringan nasyid Asmaul Husna. Program diteruskan dengan ucapan aluan daripada Pengarah Zon Sembilan/Yaman iaitu Tuan Mohd Fadhil bin Yasin. Kemudian Timbalan Pengerusi Eksekutif GISB HOLDING SDN BHD Tuan Rashidi Abdullah dijemput untuk memberi sedikit ucapan.
Seterusnya diikuti taklimat tentang GISB dalam bentuk tayangan multimedia berkaitan Kursus Pemulihan Bekas-bekas Arqam/Global Ikhwan (Fasa 1 ) di Jelebu, Deklarasi Taubat serta maklumat perniagaan dan staff GISB Zon N.Sembilan.
Setelah selesai tayangan multimedia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JHEAINS iaitu Ustaz Hj Ahmad Husaini Dato Hj Mustafa dijemput menyampaikan ucapannya. Beliau bersyukur kerana program begini dapat diadakan untuk saling mengenali antara satu sama lain. Beliau mengharapkan pertemuan sebegini akan membuka lembaran baru dalam hubungan di antara GISB dengan JHEAINS. Beliau memuji aktiviti Ekonomi GISB yang sangat mengagumkan. Katanya orang Melayu lain tak mampu buat seperti GISB. Beliau sendiri pernah menggunakan bedak Al Arqam “Cap Unta”, katanya ada tertulis perkataan "Gunakan tanpa was-was".
Beliau menghargai usaha-usaha pematuhan fatwa oleh GISB berkaitan dengan amalan dan pegangan Aurad Muhammadiah yang telah difatwakan sesat oleh para Majlis Fatwa Kebangsaan. Beliau juga akan membantu usaha-usaha pendaftaran perkahwinan poligami yang belum diselesaikan. Beliau berharap GISB dapat mengamalkan ajaran Islam yang sebenar dan mematuhi fatwa sebagai landasan perjalanan GISB selepas ini dan seterusnya.
Beliau juga mengingatkan agar taubat GISB benar-benar muncul dari hati yang insaf dan mahu kembali kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kata beliau lagi, soal taubat memang kita kena lakukan setiap hari, bukan hanya orang GISB yang kena bertaubat tapi semua orang Islam kena sentiasa bertaubat kepada Allah. Beliau juga berdoa agar semuanya mendapat bimbingan Allah serta selamat dunia dan akhirat.
Setelah selesai pemberian cenderahati kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JHEAINS, sesi soal jawab dimulakan.
Berikut adalah antara soalan-soalan yang diajukan kepada pihak GISB:
1) Apakah pandangan staf GISB terhadap akidah Allahyarham Ustaz Ashaari
2) Apakah AM, pencak dll sudah ditinggalkan?
3) Adakah staf GISB mengambil tarikat lain setelah meninggalkan Aurad Muhammadiah?
4) Persoalan tentang poligami, apakah ada kaitan dengan Aurad Muhammadiah?
5) Persoalan tentang pusat jagaan dan pertubuhan di N.Sembilan
6) Persoalan tentang pendidikan rendah, menengah dan remaja GISB
7) Persoalan tentang tadika GISB di N.Sembilan
8) Persoalan tentang aktiviti di Pilin, Rembau, N.Sembilan
9) Apakah Ikhwan AFT di Sendayan ada kaitan dengan GISB?
Soalan dari Ust Yusri dari Jabatan Mufti bertanya mengenai pandangan ahli GISB sekarang berkenaan dengan akidah Allahyarham Ust Ashaari, persoalan pencak sunda, dll. Lalu dijawab oleh Tn Rasidi selaku TPE GISB Holdings Sdn Bhd bahawa Ust Ashaari setahu beliau, sangat akur dengan segala yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa agama, persoalan mengenai beliau yang menjadi isu di era setelah kematiannya adalah mengatakan beliau tidak mati tetapi ghaib.
Maka staf-staf GISB sekarang telah kembali kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan menerima kematian beliau. Adapun akidah beliau dan malah akidah sesiapa pun, itu antaranya dengan Allah. Lebih-lebih lagi beliau telah meninggal dunia. Kita tidak tahu hakikat yang sebenarnya. Kita serahkan pada Allah. Bukan hak kita mempertikaikan akidahnya.
Maka Ust Yusri mengiakan dengan membaca sepotong ayat Al Quran yang bererti :
“Itu adalah umat yang telah lalu; baginya apa yang diusahakannya dan bagimu apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan diminta pertanggungan jawab tentang apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Baqarah: 141)
En. Ahmad Tajudin wakil dari JKM pula bertanya, adakah semua anak-anak di rumah amal GISB adalah anak yatim kerana masyarakat bertanya kepada JKM sedangkan JKM tiada maklumat yang tepat. Maka dijawab oleh wakil pendidikan GISB Negeri Sembilan, Cikgu Siti Hajar bahawa sekarang kami bergerak atas nama pertubuhan dan segala proses sedang dijalankan untuk memenuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Adapun anak-anak yatim di bawah jagaan kami hanya ada 4 orang. Bakinya adalah anak-anak dari latar belakang yang berbeza yang mereka adalah asnaf zakat. Sebahagian besar mereka adalah anak staf GISB. Pihak JKM berpuas hati mendapat maklumat yang jelas dan boleh memberi jawapan kepada masyarakat selepas ini.
Malah bila beliau ditanya pandangan bagaimana jika GISB diminta oleh ibu bapa menjaga dan medidik anak mereka yang belum melepasi peringkat menengah rendah tetapi mempunyai masalah sosial yang tak mampu dikawal, bolehkah pihak GISB mendidik mereka dengan cara tertentu? Tanpa memasuki sekolah menengah kerana ada 2 orang remaja berumur 15 tahun yang tidak bersekolah menengah tetapi berada di bawah pengawasan GISB di Nilai?
Maka jawapannya, tindakan GISB itu betul. Yang penting ia mendapat kebenaran ibu, bapa atau penjaga anak tersebut. JKM sendiri tidak setuju jika ibu bapa terus menyerahkan anak mereka yang bermasalah kepada JKM tanpa mengusahakan terlebih dahulu kerana bila dihantar kepada JKM, pihak JKM akan merujuk kepada mana-mana pusat pemulihan. Apa yang berlaku, anak tersebut bukan bertambah baik kerana di pusat pemulihan biasanya terdapat senior-senior yang lebih tinggi skil dan kemahiran dalam melanggar peraturan atau melakukan jenayah maka anak tersebut akan bertambah ‘rosak’.
En. Ahmad Tajudin sangat bersyukur dan berterima kasih kerana dengan adanya pertemuan dua hala ini dapat menyelesaikan banyak perkara dan kekeliruan yang timbul tentang pusat jagaan yang dikendalikan oleh GISB.
Ustaz Amir Intizam dari Bahagian SAR dan KAFA juga bertanya mengenai pendidikan anak-anak GISB. Dijawab oleh wakil pendidikan bahawa semua anak-anak GISB peringkat sekolah rendah bersekolah di sekolah kerajaan. KAFA diajar di asrama tetapi tidak memenuhi semua subjek dan insyaAllah selepas ini akan diusahakan untuk sertai KAFA seperti murid-murid sekolah biasa.
Ust Hj Mohd Murad Hj Mohd Yusof dari Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS pula meminta staf-staf GISB yang berpoligami memastikan pendaftaran perkahwinan mereka supaya tidak berlaku masalah dikemudian hari, seperti jika berlaku kematian, ingin mengerjakan haji atau umrah dan lain-lain.
Maka dijawab oleh Tuan Mohd Fadhil, semua staf GISB yang berpoligami di Negeri Sembilan telah mendaftarkan pernikahan mereka kecuali 2 orang yang sedang dalam proses kerana kehilangan dokumen yang akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Beliau juga mengemukakan soalan mengenai poligami, adakah dalam Aurad Muhammadiah atau orang-orang GISB mempunyai amalan tertentu yang membolehkan mereka mampu beristeri 2, 3 dan 4? Dijawab oleh Puan Roqaiyah bahawa ianya tiada kaitan dengan apa-apa amalan. Hanya didikan hati yang diperolehi menjadikan para wanita GISB mampu menerima poligami dengan berlapang dada.
Berkenaan aktiviti di Pilin, Rembau, telah dijawab oleh Tuan Mohd Fadhil bahawa sekarang hanya terdapat kilang ubat gigi sahaja. Beliau menerangkan bahawa tiada lagi anak-anak remaja yang tinggal di sana.
Manakala Ust Zamri dari Bahagian Akidah JHEAINS mengemukakan soalan mengenai apakah hubungan GISB Holdings dengan Ikhwan AFT di Sendayan. Soalan ini telah dijelaskan oleh Tuan Mohd Fadhil bahawa mereka di Sendayan tiada kaitan dengan GISB di Seremban 2. Mereka merupakan golongan yang tidak bersetuju dengan fatwa dan ingin meneruskan kegiatan mereka dengan cara mereka sendiri.
Sebelum menutup majlis, Tuan Azri turut di jemput sebagai PZ 1 Zon Penang untuk memberi respon terhadap majlis tersebut. Akhirnya, Tuan Mohd Fadhil berharap agar GISB diberi ruang dan peluang untuk terus membaiki kesilapan dan kesalahan yang ada selaras dengan kehendak FATWA seterusnya memasuki arus perdana bersama masyarakat.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa penutup dan sessi fotografi. Kemudian para hadirin di jamu dengan hidangan nasi ayam Hainan di Restoran Nasi Ayam Hainan Ikhwan.
Syukur Alhamdulillah, majlis perbincangan dan pertemuan mahabbah ini berlangsung dengan lancar, harmoni dan penuh muhibbah. Semua agensi yang hadir mengalu-alukan pihak GISB agar merujuk kepada pihak mereka sekiranya ada sebarang masalah.
0 ulasan:
Catat Ulasan