Berikut adalah luahan hati seorang insan (seorang ayah dan suami) yang kehilangan upaya setelah terkena jangkitan denggi. Beliau meluahkan apa yang berada di dalam hatinya lantaran itulah aktiviti penguat jiwa yang mampu dilakukannya. Dengan menulis, beliau mendapat motivasi dan inspirasi. Terlantar terbaring seminggu atau dua minggu tanpa boleh bergerak ke mana-mana merupakan satu situasi yang tidak pernah beliau terfikir akan mengharunginya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya.
Pak Lang paparkan tulisan beliau di sini sebagai peringatan untuk kita semua. Nikmat yang sedang kita kecapi sangat wajib kita syukuri. Apabila ianya sudah hilang baru terasa betapa besar nikmat anugerah Allah itu. Tetapi manusia umumnya dan yang ramainya adalah mereka yang tidak bersyukur. Bahkan sentiasa rasa tidak memperolehi apa yang dihajatkan. Nikmat yang ada tidak disyukuri tetapi cuba 'bertanya' Allah kenapa doa dan hajatnya belum dikabulkanNya. Ampun kami ya Allah!!
Sepatutnya sebagai hamba kita menghina diri dengan Allah. Walaupun hamba itu kena meminta merayu dengan Allah, hamba juga terlebih dahulu kena bersyukur.
Marilah membaca tulisan beliau dan mendoakan agar Allah memberi ketabahan dan jiwa yang positif dalam menerima apa yang Allah perlakukan kepada beliau. Tentunya Allah yang maha tahu, yang maha pengasih dan maha penyayang menginginkan suatu kebaikan yang besar di sebalik musibah yang ditanggungnya. Semoga Allah merahmati beliau, isteri beliau yang setia dan keluarganya. Blog beliau "Kassim Selamat" boleh dilayari DI SINI
SILA BACA!!
Siapa Kassim Selamat
Nama Pinjam :Kassim Selamat™
Aku insan kurang upaya (OKU) . Tiada yang istimewa ada pada diriku. Hanya sekujur tubuh kaku yang lesu. Sekeping hati yang layu dan pilu. Yang tinggal hanya secebis kenangan lalu bersama sebuah kerusi roda milikku.
Dengan hanya satu jari aku menekan keyboard mencari satu huruf. Dari satu huruf kujadikan satu perkataan. Dari satu perkataan kujadikan sebaris ayat sehingga menjadi sebuah cerita.
Sebuah catatan hidup, suka dan derita dari insan yang dilahirkan normal tetapi di takdirkan cacat di penghujung hidupnya. Tiada yang istimewa di sini, hanya Nostalgia dan kenangan silam dari pemilik blog untuk di kongsi bersama sebelum mata terpejam dan nafas terhenti
Aku insan kurang upaya (OKU) . Tiada yang istimewa ada pada diriku. Hanya sekujur tubuh kaku yang lesu. Sekeping hati yang layu dan pilu. Yang tinggal hanya secebis kenangan lalu bersama sebuah kerusi roda milikku.
Dengan hanya satu jari aku menekan keyboard mencari satu huruf. Dari satu huruf kujadikan satu perkataan. Dari satu perkataan kujadikan sebaris ayat sehingga menjadi sebuah cerita.
Sebuah catatan hidup, suka dan derita dari insan yang dilahirkan normal tetapi di takdirkan cacat di penghujung hidupnya. Tiada yang istimewa di sini, hanya Nostalgia dan kenangan silam dari pemilik blog untuk di kongsi bersama sebelum mata terpejam dan nafas terhenti
Indah ~ Berkorban Apa Saja
Tuesday, June 05, 2012
Agak lama juga aku tak bercerita diblog ini. Rasanya ini entri pertamaku untuk tahun 2011. Kadang² ingin juga aku mencatat sesuatu disini tetapi tak tahu apa yang hendak kuceritakan.
Diari kehidupanku sama saja setiap hari. Hanya kisah yang berkisar di dalam sebuah bilik saja. Asyik kisah yang sama saja. Kali ini diari kehidupanku ada sedikit kelainan, ada cerita yang boleh kukongsi bersama.
*******************
Semenjak anakku Indah mendaftar masuk di UiTM rajin pula aku membaca status² dan komen² pelajar² dan pensyarah² di facebook UiTM. Dengan membaca komen² tersebut sebagai ayah seorang pelajar dapatlah sedikit sebanyak info tentang UiTM. Dan dapat jua aku melepas rindu kepada anakku. Orang kata, ketika bercinta, tak dapat lihat wajah orang yang kita cintai dapat lihat bumbung rumah pun dah memadai.
Begitu juga aku, dapat melihat logo UiTM sudah cukup untuk menghilangkan rasa rindu kepada anakku Indah.
Pagi ini aku menonton klip video rakaman ucapan Naib Canselor UiTM Dato' Profesor Dr. Sahol Hamid di facebook UiTM beliau sempena konvokesyen yang ke 74.
Klip video yang di iringi dengan lagu 'Berkorban Apa Saja' nyanyian Jamal Abdillah sungguh mengusik jiwaku. Jiwa seorang ayah yang kurang berupaya fizikalnya di dalam memberi penjagaan dan memberi pendidikan kepada anaknya.
Indah bukan seperti anak² yang lain yang ibu bapanya boleh memberi perhatian sepenuh kepadanya. Sepanjang tempoh sembilan tahun kehilangan upayaku, kehidupannya sepertiku jua, tidak bebas dan terperap dirumah saja. Masanya perlu dibahagikan untuk pelajaran dan untuk menjaga ayahnya yang kurang upaya.
Aku tak berupaya untuk menghantar dan menjemputnya ke sekolah seperti anak² jiranku apatah lagi untuk menghantarnya mengikuti kelas tuisyen bagi menghadapi pepereksan SPM. Ada kalanya dia terpaksa ponteng kelas tuisyen kerana isteriku tidak dapat nak menghantarnya.
Keputusan SPM nya tidaklah cermelang tapi amat menggembirakan kami sekeluarga. Bergenang airmataku ketika mendapat tahu keputusannya. Tidak kusangka di dalam keadaan yang kekurangan dia beroleh keputusan sebegitu.
Dan yang lebih menggembirakan kami, dia mendapat tawaran di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dan juga di UiTM Arau. Alhamdulillah!
Masih aku teringat, semasa mengisi borang Online UPU, dia berdiri disebelah katilku untuk berbincang dan meminta pendapatku tentang jurusan yang perlu dia mohon. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa dan permohonannya.
************************
Setelah berbincang dan membuat sedikit pencarian di internet, mencari perbandingan diantara Matrik dan UiTM, akhirnya Indah memilih untuk ke UiTM. Kami sekeluarga menerima keputusannya.
Bermakna aku juga akan turut ke Arau untuk menghantarnya. Satu perjalanan yang agak jauh bagi orang yang tak berupaya sepertiku! Perjalanan lebih kurang 500km dari tempat tinggalku. Mampukah aku untuk mengharungi perjalanan yang sejauh ini?
Sepanjang tempoh ketidakupayaanku, belum pernah aku berjalan sejauh ini. Di hati terasa was² untuk turut sama menghantar. Khuatir akan fizikalku yang tak mampu untuk duduk dalam tempoh yang lama. Di tambah pula dengan luka (bedsore) dipehaku yang masih belum sembuh.
Kami bergerak pada jam 12 tengah malam 20 Mei 2011. Perjalanan di waktu malam mungkin dapat meringankan sedikit tekanan kepadaku. Sebelum bergerak aku diberi 10gm Baclofen bagi merehatkan saraf dan otot dari kekejangan. Tempat dudukku di alas dengan 'roho' (tilam angin) agar punggungku tidak melecet. Luka lamaku baru saja sembuh Begitu juga dengan tapak kakiku perlu dilapik bagi mengelakan dari melecet. Kulit anggota badan orang sepertiku agak mudah melecet jika tidak dijaga dengan betul.
Sepanjang perjalanan aku tidak dapat melelapkan mata. Baclofen hanya merehatkan saraf dan ototku tapi tak dapat merehatkan mataku. Sepanjang perjalanan, di dalam hati aku membaca surah² dan berzikir dan berdoa agar perjalananku dipermudahkan.
Pada kebiasaannya bila menaiki kenderaan badanku akan mengelonsor jatuh beberapa kali dari tempat dudukku akibat kekejangan. Tapi kali ini tidak...alhamdulillah.
Pemandangan di depan homestay kami
Jam 6 pagi, kami singgah di sebuah Masjid di Alor Star. Kemudian meneruskan perjalanan ke Kangar di dalam suasana hujan renyai². Sepanjang perjalanan aku mengambil peluang melihat kehijauan sawah padi di kiri dan kanan jalan. Satu pemandangan yang amat cantik!
Jam 7 pagi kami tiba di Bandar Kangar. Bandar yang penuh dengan nostalgia. Sepuluh tahun lalu aku memandu ke sini sempena pilihanraya kecil Indera Kayangan. Kali ini aku dipandu pula, dua keadaan yang amat berbeza.
Setelah berehat, jam 2 petang kami terus ke UiTM Arau untuk pendaftaran Indah. Memasuki perkarangan UiTM, terlihat kenderaan yang banyak melalui kawasan kampus dengan ibu bapa yang turut sama menghantar anak² mereka.
Sistem pendaftaran di UiTM amat mudah dan efisen. Kenderaan pelawat diarahkan letak di kawasan padang bola. Ahli keluarga dibenarkan untuk menghantar anaknya hingga ke kawasan asrama penginapan.
Perjalananku hanya terhenti setakat dipadang bola ini saja. Untuk ke kawasan asrama perlu mendaki anak² tangga di depan padang bola. Agak menyukarkan juga bagi orang yang berkerusi roda sepertiku.
Hanya isteri dan adikku yang menghantar Indah sehingga ke asrama. Aku hanya menanti didalam kenderaan sambil memerhatikan ibu bapa yang mengiringi anak mereka. Dihati terasa gembira kerana dalam keadaanku sebegini aku mampu turut sama menghantar anakku walaupun hanya di kawasan padang bola.
Sebentar kemudian, handphone anakku berbunyi, "Indah dah daftar dan tak boleh keluar lagi. Indah nak jumpa abang sebelum pulang" kata isteriku.
Semasa meninggalkan kenderaan tadi Indah tak sempat bersalaman denganku. Mungkin dia terlupa dan gugup atau teruja untuk mendaftar masuk.
Kenderaanku dipandu keluar dari kawasan padang bola untuk mencari susur² jalan menuju ke asrama. Setelah berpusing-pusing kami bertemu jalan untuk menghampiri asrama dengan bantuan pegawai keselamatan di situ. Terima kasih kepada pegawai tersebut kerana memudahkan aku.
Depan kolej Indah
Kenderaanku diletakkan betul² disebelah asrama. Dapatlah Indah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal padaku. Sedih juga hatiku untuk meninggalkannya.
Setelah selesai, kami meninggalkan Indah dan UiTM dengan perasaan yang sayu. Pertama kali berpisah dengan anak bongsuku. Anak yang banyak membantu kehidupan seharianku.
Terlanjur kesini, kami menetap selama tiga hari di Kangar. Mengambil peluang untuk berjalan dan makan angin. Pertama kali bercuti setelah sembilan tahun tak berpeluang berbuat sedemikian setelah aku terlantar sakit.
Setiap kali menjamah makanan, aku teringat dan terbayangkan Indah. Ketiadaannya amat dirasai. Pada kebiasaannya Indah akan turut sama membantu menyuap kumakan dan minum.
Kini, Indah yang kuumpamakan sebagai tangan kiriku tiada buat sementara waktu. Walaupun zahirku nampak tenang tapi jauh di sudut hati seorang ayah, aku terasa kehilangannya.
Selama tiga hari di sana, perutku dan badanku turut meragam. Beberapa kali 'terbocor' ketika di dalam perjalanan. Amat menyusahkan isteriku.
Tiub kencingku (cathether) juga turut tersumbat. Air kencing di urine bag bertukar dari warna kekuningan kepada warna merah kegelapan. Warna yang menandakan badanku kurang sihat. Luka (bedsore) dipeha semakin membesar gara² duduk yang terlalu lama di dalam kenderaan.
Semasa isteriku menukarkan diapers dan cathetherku, aku merenung wajahnya. Di dahinya terbit peluh jernih yang menitik jatuh. Badanku terpaksa dipusing ke kiri dan ke kanan. Tenaga kudratnya tak sekuat tenaga seorang lelaki. Terasa diri ini amat menyusahkannya.
Sambil dia membersihkan diriku, sempatku berkata kepadanya, "Tiga tahun lagi bila Indah konvo, mungkin waktu itu abang dah tak lagi bersama. Waktu itu abang dah tak menyusahkan Ain lagi!."
"Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra sejati dan mulia
Kepentingan sendiri tidak di ingini
Bahagia kekasih saja yang diharapi
Untuk menjadi bukti kasih yang sejati
Itulah tandanya jika mahu di Uji"
Ingin Bebas
Saturday, October 15, 2011
Di dalam facebook aku mengenali beberapa rakan yang senasib denganku. Kami berkongsi cerita dan pengalaman. Ada berbagai tahap kecederaan yang di alami. Rata² dari mereka mendapat kecederaan saraf tunjang (SCI) di sebabkan kemalangan jalan raya. Cuma kes aku yang agak berbeza. Denggi punca penyebabnya.
Mereka yang mengalami SCI terpaksa menjalani berbagai proses latihan fesioterapi untuk pulih dan hidup berdikari walaupun tidak seratus peratus. Dengan latihan dan fiseoterapi sekurang-kurangnya mereka boleh menjalani kehidupan seharian tanpa mengharapkan bantuan orang di sekeliling.
Bermula dari hanya mampu menggerakkan kepala mereka berlatih untuk menggerakkan dan menggerengkan badan. Dari posisi menggereng, mereka berlatih untuk bangun mengimbangkan badan agar berupaya untuk duduk. Bila sudah mampu mengimbang badan dan mampu untuk duduk, mereka belajar cara untuk memindahkan badan dari katil ke kerusi roda dan seterusnya.
Semua proses ini memerlukan kekuatan semangat juga kekuatan tangan. Tanpa dua kekuatan ini kehidupan seseorang yang mengalami SCI tidak akan banyak berubah. Mereka akan terbaring terlantar mengharapkan bantuan orang sekeliling.
Seperti mereka, aku juga melalui dan menjalani segala proses untuk hidup berdikari. Hampir masuk tahun ke sepuluh mendapat kecederaan SCI tapi belum berupaya untuk aku menggereng sendiri apatah lagi untuk duduk sendiri. Jauh sekali untuk menolak kerusi roda dengan tangan sendiri.
Faktor penghalangnya ialah kekuatan tangan. Tanpa kekuatan tangan segalanya agak sukar dilakukan.
***********************
Hujung minggu yang lalu aku berpeluang untuk diangkat ke kerusi roda setelah dua minggu tidak diangkat kerana anakku yang memang tugasnya mengangkatku tidak dapat pulang kerana menyiapkan tugasan di kolejnya.
Pada kebiasaannya, setiap hujung minggu dia akan pulang untuk membantu mengangkatku. Mujur juga jarak kolejnya tidak begitu jauh, cuma di Behrang Perak. Lebih kurang dua jam memandu.
Se andai kolejnya terletak di utara atau selatan tanah air tidak dapat kubayangkan akan keadaanku yang tidak berangkat dan bergerak ini.
Biasalah orang OKU sepertiku, bila dua minggu hanya terbaring di katil dan tidak berpeluang menikmati udara diluar fikiran mula menjadi buntu. Perkara² negatif akan lebih mudah bermain di fikiran. Mood bercakap pun berkurangan.
Bila saja diangkat duduk fikiran yang negatif sedikit demi sedikit kembali menjadi positif. Daripada tidak mahu bercakap sudah mula membuka mulut. Daripada wajah yang 'kelat' sudah bertukar dengan senyuman.
Seperti kebiasaan bila diangkat duduk aku akan dimandikan. Inilah saat² yang kunantikan setiap hujung minggu. Mandi itu juga merupakan sebahagian daripada nikmat hidup dan juga terapi minda. Cas² negatif akan mengalir keluar mengikut aliran air yang mengalir turun dari badan. Kerap dimandikan maka fikiran akan lebih positif. Itu apa yang kurasakan ....orang lain aku tak tahu!
Bahagian sudut di depan rumah menjadi tempat permandianku. Aku berasa selesa mandi di sini walaupun tempatnya agak terbuka. Di sini sambil dimandikan aku berpeluang menghirup udara luar dan memandang dunia luar. Jemu dengan pemandangan di dalam bilik yang hari² terpaksa kulalui.
Kadang kala ada pemandu yang memperlahankan kenderaannya ketika melintasi depan rumahku sambil mencuri pandang ke arahku yang sedang dimandikan. Bukan sesuatu yang pelik kerana aku juga akan berbuat begitu jika berada di tempat mereka.
Sudut tempat mandianku. Aku suka mandi air tadahan dlm pasu. Sejuk dan Segar!
Setelah selesai dimandikan aku bersantai di ruang letak kereta sambil memerhatikan kereta² dan orang² yang lalu lalang melintasi jalan di hadapan rumahku. Perkataan yang kerap yang tercetus dihatiku bila melihat mereka ialah "Bertuah hidup mereka, masih mampu ke sana dan ke sini"
Sambil duduk² aku cuba menggerakkan kedua tanganku untuk cuba menolak kerusi roda. Bosan juga duduk di kerusi roda yang tidak bergerak. Terasa ingin kugerakkan kerusi roda ini menyusur laman rumah.
Beberapa kali percubaanku untuk menggerakkan kerusi rodaku tidak berhasil. Genggaman tanganku dan kederat tenagaku tidak sekuat mana.
Hampir setengah jam aku mencuba akhirnya kerusi roda bergerak juga walaupun bergerak hanya satu atau dua kaki saja. Se kurang²nya hari ini aku mampu menggerakannya sedikit kerusi rodaku. Esok lusa mungin lagi jauh dari itu.
Seperti rakan OKU yang lain, aku juga ingin bergerak bebas seperti rakan² yang lain walaupun hanya dengan berkerusi roda. Kadang kala terasa diri ini amat lemah kerana tidak berupaya berbuat seperti mereka.
Untuk menjadi seperti rakan² OKU yang lain aku perlu menguatkan kedua-dua tanganku dahulu.
*********************
Jika hanya berdoa tanpa usaha tidak akan membuahkan hasil. Aku ingin berubah!. Ingin hidup seperti rakan² yang lain. Sudah jemu rasanya hidup hanya dengan terbaring.
Aku meminta isteriku membelikan aku 'tali skipping' untuk tujuan latihan tangan. Aku kira aku masih belum terlambat dan masih ada peluang untuk berubah.
Tali skipping
Telah seminggu aku memulakan latihan untuk mengguatkan tangan. Tali skipping yang dibeli di Mydin di ikat di bahagian hujung katilku. Oleh kerana aku tidak mampu memegang dan menggengam hujung tali, ia di ikat dipergelangan kedua-dua tanganku. Tugasku hanya menarik tali bergilir-gilir kiri dan kanan untuk menguatkan otot² tangan.
Nampak seperti mudah bagi orang yang berupaya tapi agak berat untuk melakukan bagi orang yang sepertiku. Setakat ini aku cuma mampu melakukan se minit dua saja. Setiap hari akan ku ulangi sehingga mampu berbuat untuk jangka masa yang lama. Se kurang² nya sejam sehari.
Latihan tangan dirakam melalui webcam laptop
Setiap pagi aku di mestikan menarik tali ini sebelum dibenarkan mengadap laptop. Itu arahan yang kuberikan kepada isteriku. Tanpa displin diri aku tidak mampu mengubah diriku.
Ini azamku. Kuharap azam dan semangatku bukan hanya separuh jalan.
Aku ingin berubah dan bebas!
# SCI - Spinal Cord Injury/ Kecederaan Saraf Tunjang.
Demam Raya
Monday, September 19, 2011
Sabtu 12 Syawal, dah empat hari aku berpuasa sunat di bulan Syawal. Alhamdulillah....Ramadan tahun ini aku tidak demam² seperti tahun sebelumnya dan mampu untuk menghabiskan puasa ramadan.
Hujung minggu ini niat dihati ingin menghabiskan puasa sunatku. Malas nak tangguh² Memandang 'demam raya' dan 'open house' di rumah² jiran banyak di adakan dihujung minggu, jadi kutangguhkan niat untuk berpuasa walaupun hakikatnya aku memang tidak dapat turut sama untuk kunjung mengunjungi rumah mereka.
Oleh kerana isteriku berhasrat untuk mengunjungi rumah jiran hari ini, elok juga aku tak meneruskan puasaku hari ini. Isnin nanti kami berdua sambung kembali berpuasa.
Pada kebiasaannya 'katilku' hanya akan berada di ruang tamu menerima tetamu untuk raya kedua dan ketiga saja. Raya² seterusnya tetamu terpaksalah beraya di ruang bilik tidurku saja.
Ada juga eloknya aku tak berpuasa hari ini. Badan pun terasa kurang sihat dan terasa seperti menyusuk-nyusuk. Cuaca di luar redup² saja. Sesuai untuk acara kunjung mengunjungi rumah jiran tetangga.
Isteriku ke rumah jiran sebelah sementara aku bersendirian bertemankan laptop. Sekembalinya isteriku dari menziarahi jiran sebelah rumah, aku meminta ubat penahan sakit dan 'beclofen' bagi mengurangkan kekejanganku. Kejangku semakin menjadi-jadi petang ini.
Aku tidak berapa gemar mengambil 'beclofen' ini dan hanya akan mengambilnya jika betul² memerlukannya saja. Ubat (beclofen) ini bukan sekadar merehatkan otot² dan sarafku tapi boleh juga buat aku merapu bercakap tanpa henti berjam-jam.
Di sebelah petang beberapa orang jiran datang berziarah ke rumahku. Aku cuba mengawal kejang dan demamku sebaik mungkin. Aku tak mahu jiran yang datang kusambut dengan demamku. Khuatir mereka berasa tidak selesa untuk datang berziarah.
Sedang asyik berbual-bual kejangku makin tidak dapat kukawal. Terperanjat jiranku melihat aksi kejangku. Tangan dan kakiku tiba² mengeletar-geletar seperti orang yang terkena renjatan elektrik. Aksi yang biasa bagi pesakit SCI.
Setelah jiran² pulang, aku minta ditambah ubat penahan sakit. Dos yang diberikan sebelum ini tidak memberi sebarang kesan kepada badanku.
Setelah pil tambahan diambil aku memaksa mataku untuk tidur bagi menghilangkan kesakitan. Setelah hampir tiga jam demamku kebah.
Tatkala orang sibuk² 'demam raya' di sana sini, aku pula demam dibulan raya.
Sebulan Berpuasa Sehari Berhari Raya
Wednesday, September 07, 2011
Selamat menyambut hari raya buat semua yang menyinggah di blog ini. Rasanya ini catatan kedua untuk tahun ini. Entah mengapa minat untuk menulis seperti telah hilang. Hanya catatan² lama di ulang siar.
Berbalik kepada cerita ramadan dan syawal tiada apa sangat yang menarik untuk dikongsi. Tahun ini ramadan agak berbeza sedikit dari tahun² sebelumnya kerana penghuni rumahku berkurangan. Dan ada masanya kami hanya berbuka berdua saja.
Anakku Amir menyambung pelajarannya di Behrang sementara Indah di Arau. Nasib baik ada cucuku Ikhwan yang menjadikan suasana berbuka riuh sedikit.
Ramadan ke 27.
Kesemua anak² telah berada dirumah kerana bercuti raya. Petang ini anak²ku berhasrat untuk berbuka puasa di rumah neneknya. Aku pun tumpang seronok kerana berpeluang keluar rumah setelah sepanjang ramadan terperap saja di dalam rumah.
Malam selepas berbuka lebih kurang jam 11 malam sebelum pulang, aku dibawa pusing² sekitar Down Town Jalan Reko Kajang tempat emaknya Ikhwan berniaga. Puas pusing² untuk mencari parking tapi tiada. Semuanya penuh. Jika ada pun jaraknya agak jauh.
Aku hanya duduk di dalam kereta bersama Amir sementara isteriku dan Indah keluar meninjau-ninjau sekitar kawasan perniagaan. Seronok juga melihat orang membeli belah untuk sambut raya. Dan lebih seronok lagi jika aku dapat turut sama menyusuri kawasan sekitar perniagaan.
Lebih kurang jam 2 pagi kami beredar pulang. Di dalam perjalanan pulang singgah restoran mamak untuk 'tapau' roti canai dan teh tarik. Dah lama aku teringin nak makan roti canai. Singgah pula di Mc Donald 'tapau' burger dan bubur untuk Indah dan Ikhwan.
Jam 3.30 pagi kami bersahur roti canai dan Mc Donald di luar laman rumah. Seronok suasana!
Ramadan ke 28.
Bonus buat aku! Dua hari berturut-turut dibawa keluar rumah. Kali ini menemani anak² untuk ber shopping. Aku juga nak rasa suasana hari raya. Duduk diatas katil nii mana nak rasa suasana raya!
Seperti tahun lalu, tempat yang dituju semestinya Jusco Cheras Selatan. Kawasan shopping yang memudahkan orang sepertiku bergerak. Di sini tempat letak kereta untuk OKU banyak walaupun hampir separuh dari parking di sini di salah gunakan oleh mereka yang berupaya.
Sampai saja di Jusco kami terus ke Mc Donald kerana waktu berbuka hampir tiba. Tak jemu² ke anak dan cucuku dengan Mc Donald ni? hahaha.
Cepat juga kami menerima pesanan yang di minta. Ada diantara mereka yang masih beratur ketika azan berkumandang. Sabor aja lah ya.....
Jika makan di Mc Donald nii, menu pilihanku ialah GCB (tak tau pulak maksud GCB tuu....makan jer!). Setelah selesai isteriku menyuapkan kumakan kini giliran dia pula untuk makan.
Sambil menanti isteriku makan, tangan kiriku cuba² mencapai kentang goreng di atas meja. Dengan menggunakan ibu jari dan jari hantu aku cuba mencapainya. Alhamdulillah! percubaanku berjaya walaupun agak lambat dan beberapa kali kentang jatuh sebelum sampai ke mulutku.
Sedang aku asyik mencuba dan mencapai kentang goreng itu rupanya ada seseorang yang sedang memerhatikan gerak lakuku itu. Tak mengapalah....sekurang-kurangnya dia tak merasa bosan atau lapar sementara menunggu pesanannya tiba. Ada juga selingan buatnya....ehehehe
Ramadan ke 29.
Petang raya aku di ziarahi oleh Sdr Onn dan sdr Razali dari Keadilan Cabang Putrajaya. Terima kasih buat mereka berdua.
Sekurang-kurangnya ada juga rakan seperjuangan yang masih mengingatiku sempena raya ini. Malam raya aku dibawa ke rumah mertuaku. Seperti biasa, pada malam raya ada takbir oleh jemaah surau dari rumah ke rumah.
Tiga hari berturut-turut aku diangkat dan dibawa keluar. Bonus raya kiranya ini...ehehe
Syawal Pertama.
Seharian masaku di rumah mertua. Sempat juga menziarahi 2 - 3 rumah sedara mara sekitar kampung. Di sebelah malam kembali semula ke rumahku. Aidil fitriku berakhir di sini 'Sebulan Berpuasa Sehari Berhari Raya'
Anak²ku telah kembali semula ke kolejnya. Tanpa mereka agak sukar pergerakanku.
Maaf....buat kenalan dan sedara mara, tak dapat untukku ziarah menziarahi. Pergerakanku membataskan segalanya.
Video Raya yang sempat kubuat. Sila 'Off' kan audio lagu di sebelah kiri blog untuk mendengarnya.
~ Kamar Ku Yang Telah Sepi ~
Tuesday, September 06, 2011
Masih dengan siaran ulangan. Di siar pada 3 Apr'07. Belum ada cerita baru atau nostalgia rasa untuk di kongsi cerita.
************
Petang ini baru sahaja aku hendak melayari beberapa buah blog, berdentum petir di langit. Kedengaran petir sabung menyabung di ikuti hengan hujan yang mencurah-curah turun.Terkial-kial jariku cuba keluar dari blog dan mematikan laptopku. Takut-takut modem dan laptopku di sambar petir. Hanya laptop ini penyambung persahabatanku di dunia siber. Tanpanya sunyilah duniaku……
Dari pintu gelunsur di depan katilku (sliding door) , kuperhatikan hujan mencurah turun dengan lebat dan di ikuti dengan angin kencang. Memang aku amat suka dan rindu suasana sebegini. Hujan ini penuh dengan nostalgia…Hujan buatku.
Dalam kesejukan, perut mula terasa lapar dan kebetulan aku belum lagi menjamah hidangan makan tengah hari. Memang aku selalu makan lewat petang sejak menjalani sessi mengereng. Kebiasaannya sessi mengerengku tamat pada jam 3 atau 4 petang. Kepada yang masih baru di blog ini mungkin tidak tidak tahu apakah itu sessi mengereng, bacalah ceritaku yang terdahulu untuk mengatahuinya.
“Lauk apa hari ini Ain?” tanyaku. Perutku tidak sabar menunggu.
“Ikan bilis goreng cili api, sayur sawi china, tempe goreng dan petai sambal tempoyak,” jawab isteriku. “Ermmm masakan kegemaran abang itu, rengkas tetapi sedap!” kataku sambil memuji-muji masakan isteriku.
Sambil menikmati makan petang dengan suasana yang dingin, kuperhatikan air hujan turun dari celah-celah siling di depan bahagian porch keretaku. Sudah lama kuperhatikan siling ini bocor cuma tiada siapa yang dapat kuharapkan untuk melihat punca bocornya. Jika dahulu akulah yang akan bergegas lari naik ke tingkat atas untuk meninjau-ninjau arah arus air yang bocor itu.
Sambil menjamu nasi berlaukkan ikan bilis goreng cili api, aku terkenangkan kamar tidurku di tingkat atas. Sejak aku jatuh sakit hampir lima tahun, aku tidak berpeluang lagi menjenguk naik ke atas ke kamarku. Bagaimanakah rupanya kamar tidurku yang telah lama kutinggalkan?. Kamar tempatku bergurau senda kini sepi membisu tanpaku.
Katil antik perkahwinanku kini lesu tanpa penghuninya. Mungkin dia merindui kehangatan tubuhku. Mungkin jua dia merajuk kerana tubuhku kini tidak memerlukannya lagi. Aku kini sudah ada penggantinya. Katil besi yang lebih kukuh yang sering di gunakan oleh pesakt² di hospital².
Almari pakaianku telah lama tidak kubuka. Tidak seperti waktu dahulu², pasti setiap malam akan kubuka daun pintumu mencari pakaianku. Aku jua rindu pada kemeja-kemeja dan seluar-seluar yang sering kupakai ke pejabat satu ketika dahulu. Putih, biru, hijau dan unggu warna² kemejaku.
Sesungguhnya, aku amat merindui untuk memakainya kembali. Tali leherku tergantung kaku se olah-olah turut sama menerima hukuman seperti diriku . Hampir lima tahun kain pelekat bercorak kekotak mengambil alih tempatnya dan menutup tubuh ini.
Jubah hijau pemberian birasku yang dibeli di Mekah, yang sering kupakai dahulu sewaktu sujud mengadap dan berdoa padaMu kini terlipat dan terpinggir lesu di rak baju.Se akan ia faham apa yang sedang berlaku kepada tuannya.
Tanpa kusedar, sepinggan nasi telah habis kumakan. Hujan yang lebat tadi telah mulai reda. Kini aku membuka kembali laptopku. Merakamkan ingatan pada ‘kamarku yang telah sepi’.
Lagu Alleycats 'Kamarku Yang Telah Sepi' mengiringi catatanku ini.
Chow Kit Road! Aku Datang Kembali
Tuesday, August 23, 2011
Entri ulangan bertarikh 4 Okt' 2008. Kisah malam raya.
Malam raya. Selepas solat Isyak, jemaah surau mula mengunjungi dari rumah ke rumah untuk bertakbir raya. Jemaah kecil (budak²) lebih ramai dari jemaah dewasa. Biasalah tu, budak² sambil bertakbir mereka nak kutip duit raya.
Sudah menjadi tradisi di kampung mertuaku, bersedekah di malam raya. Tak kira kecil atau besar semuanya dapat. Yang mengepalai takbir biasanya dapat lebih sikit. Jika jemaah dapat RM1, kepalanya dapat RM10. Dahulu semasa sihat aku turut juga mengikuti kumpulan takbir ini.
Malam raya tahun ini ramai sungguh jemaah yang datang bertakbir di rumah mertuaku. Suasana meriah dengan laungan suara takbir.
Aku mendengar takbir raya dengan khusyuk. Di tahun² yang lalu, bila takbir bergema perasaan mulai sebak. Air mata mula bergenang di kelopak mata. Sedih terkenangkan keadaanku. Tapi tidak pada tahun ini. Hati dan perasaanku semakin kuat dan semakin kebal. Tidak setitik pun air mataku menitis jatuh.
Lebih kurang jam 12.15 malam, seperti yang di rancangkan pada siang tadi, aku ingin mengembalikan nostalgia lapan tahun yang lalu. Telah tujuh kali malam raya aku hanya terbaring saja di atas katil. Malam raya kali ini aku ingin kembali seperti malam raya di tahun 2001. Untuk tidak menghampakan hasratku, isteri dan anak² bersetuju membawaku pusing² ke pusat bandaraya. Distinasi pilihanku sudah pasti ke 'Chow Kit Road'.
********
Hasratku yang tak kesampaian. Petikan dari catatanku 'Hari² Terakhir Sebelum Bergelar OKU'.
Setelah selesai urusan kemasukan isteriku ke wad aku pulang kerumah. Niat di hati nak singgah sekejap di Chow Kit Road. Nak ronda-ronda. Dah lama aku tak menjengok Chow Kit. Tapi aku membatalkan hasratku kerana badanku terasa tak sedap. Rasa macam nak demam.
**********
Malam raya tahun ini aku ingin merealisasikan hasratku tujuh tahun yang lalu. ' Chow Kt Road'! aku datang kembali kepadamu walaupun keadaan fizikalku berbeza tidak seperti dahulu lagi.
Aku sampai di Chow Kit Road lebih kurang jam 1.15 pagi. Pergh.....aku ingat di malam raya jalan lenggang. Semua warga kota pulang ke kampung. Sangkaanku meleset sama sekali. Di tepi² jalan dan bahu jalan berderet-deret orang meletakkan kereta. Mereka berjalan kaki berpusu-pusu menuju di sekitar kawasan Chow Kit.
Chow Kit Road jem teruk. Hanya lampu isyarat yang bertukar warna. Kenderaan masih tidak boleh bergerak. Mungkin mereka seperti aku juga. Menuju ke destinasi yang sama. Pergi menengok lelongan kuih raya di sekitar Chow Kit Road....hahaha.
Oleh kerana aku agak arif dengan selok belok di Chow Kit Road, mudah bagi keretaku melepasi kesesakan ini. Keretaku diletakkan berhampiran dengan Masjid Pakistan. Berdekatan dengan tempat yang ingin kami tujui. Tempat lelongan kuih muih di Jalan Hj. Hussin. Di tempat inilah aku sering pergi pada setiap malam raya ketika sihat dahulu. Aku suka melihat gelagat peniaga melelong kuih raya di sini. Bukan setakat kuih raya, berbagai-bagai keperluan raya ada di jual di sini.
Cuaca pada mulanya agak terang benderang. Sebaik saja aku diangkat turun dari kereta hujan renai² mulai turun. Kami berpayung sambil menyusuri gerai² di situ. Bukan nak beli sangat pun, saja nak menyibukkan diri di situ.
Hujan semakin lebat mencurah turun. Kami terpaksa mencari tempat berteduh. Terasa seronok dapat mengulangi nostalgia lamaku. Macam tak percaya pula, dalam keadaanku begini masih berpeluang ke sini. Tambah mengembirakan, cucuku Ikhwan turut sama pada malam itu menemani atuknya.
Sementara menanti hujan teduh aku bertanya kepada isteriku, "Ain tahu tak, mengapa malam ini hujan turun lebat?"
Isteriku hanya mendiamkan diri saja. Menanti jawapan dariku.
"Sebab OKU turun di Chow Kit malam ni," kataku sambil tersenyum.
Setelah hujan reda kami teruskan menyusuri gerai² di situ. Walaupun hujan, pengunjung tetap ramai bertali arus. Ramai juga warga kota yang tidak pulang ke kampung.
"Lima peket RM50. Mari Kakak! Mari Abang! Kuih raya murah²," kedengaran jeritan penjaja mempromosikan jualannya.
Aku singgah di sebuah gerai menjual songkok. Aku tertarik dengan Songkok Tinggi. Songkok ala² songkok P.Ramlee. Aku membeli dua buah songkok. Satu untukku satu untuk anakku Amir. Esok pagi raya ala² P.Ramlee lah kami berdua.......hahaha
Sebelum pulang kami singgah di gerai mamak di Lorong Hj. Hussin untuk pekena sup dan teh tarik. Hujan² pekena sup panas memang sedap. Lorong ini memang terkenal dengan supnya. Semua jenis sup di anggota badan lembu ada dijual di sini. Sup tulang, sup xxxx lembu, sup lidah lembu, sup ekor lembu dan berbagai lagi. Cuma sup kepala lembu yang tiada dijual di sini. (^_^)
Lebih kurang jam 4.00 pagi kami sampai di rumah. Letih tapi menyeronokkan.
KLIK SUMBER; BLOG Kassim Selamat
Kassim Selamat
Aku...Dulu Kini & Selamanya
Dulu²
0 ulasan:
Catat Ulasan