Social Icons

Ahad, 27 Julai 2014

Isu Tan Sri Khalid, Benarkah Permulaan Perpecahan Pakatan Rakyat?

Dari Blog Pak Aspan:

Isu Khalid, permulaan Anwar mengarah ke 'political oblivion'  
 Pakatan Rakyat sedang mengarah kepada perpecahan. Lim Guan Eng pun telah menyatakan kebimbangan Pakatan akan berpecah kerana situasi politik dalam Pakatan Rakyat sangat panas dan membimbangkan. Perpecahan sememangnya satu perkara yang mudah berlaku jika masing-masing di kuasai oleh ‘greed, anger and foolishness’ mereka. Ketiga-tiga elemen ini merupakan racun berbisa dan ia tidak akan membawa sesiapa kemana-mana selain dari kegagalan dan kehancuran.

Apa yang buruknya, usaha setengah pihak untuk menolak rakan seperjuangan tidak mengambil kira masa dan keadaan. Perkara ini menjadi hangat dalam bulan Ramadan bulan yang Mubarak bagi kita orang Islam ini. Apabila ketamakan menguasai diri, tolak menolak dan pancung memancung dilakukan dalam bulan tersuci agama kita.

Kenapa dan mengapa Khalid yang dianggap terbaik diantara Menteri Besar dalam sekelip mata di tonjolkan kelemahan oleh parti dan pemimpinnya sendiri. Kenapa jika benar pun ada kelemahannya, tidak adakah baiknya dan kenapa tergesa-gesa untuk menurunkannya? Jika Khalid tidak baik dipandangan partinya khususnya oleh Anwar, kenapa dari awal selepas pilihanraya yang lalu tidak pula di sekat Khalid menjadi Menteri Besar.

Persoalannya kenapa, seperti yang diakui Anwar yang ‘Kajang Move’ itu adalah satu perancangan untuk menurunkan Khalid dan beliau yang berkehendakan jawatan penting itu. Kalau sudah tersekat dengan undang-undang kenapa pula memilih isteri sendiri untuk dijadikan Menteri Besar. Tidak bolehkah diambil orang lain seperti Azmin atau yang lain yang lebih beliau percayai. Langkah menempatkan isteri sendiri untuk menjadi MB itu menunjukan yang Anwar tidak ada siapa yang beliau percayai termasuk Azmin sendiri.

Lantaran sudah difahami oleh banyak pihak Anwar adalah pemain politik untuk diri sendiri sahaja. Lebih dari itu beliau mahukan semua kehendaknya mesti di turuti oleh semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat, iaitu PAS dan DAP. Jika di turuti politik Anwar kita akan melihat agenda lain tidak termasuk dalam pemikiran beliau termasuk untuk membina politik yang baik dalam negara ini.

Apa yang diragui oleh LGE tentang sistem dua parti yang sudah terbina ini? Mungkin sistem dua parti itu akan merosakan perjuangan PAS kerajaan pengaruh pihak yang menentng tentang Islam sudah mula menunjukan sikap bermaharajalela dalam Pakatan sistem dua parti itu.

Anwar bukannya berminat untuk apa-apa sistem pun, yang penting kemahuan beliau tercapai dan semua pihak dalam PR mesti menuruti kehendak beliau. Untuk mencapai cita-citanya Anwar sanggup menyembelih rakannya sendiri dan beliau lakukan segala usaha penyembelihan ini dalam bulan yang Mubarak ini tanpa segan dan silu.

Persoalannya sekarang ini, kita elok bertanya kenapa tergesa-gesa seolah-olah ada agenda lain yang memerlukan peralihan kuasa di Selangor ini perlu dilakukan dengan segera. Kenapa selepas Hari Raya Aidilfitri, kenapa tidak lepas Hari Raya Aidil Adha? Atau kenapa tidak selepas Deepavali? Pertanyaan ini timbul di mana-mana.

PKR tidak boleh berbangga yang hak untuk menurunkan Khalid itu adalah hak PKR kerana beliau adalah wakil PKR. Jika PKR hendak membuang mana-mana pemimpin parti dengan jawatannya sekali itu hak PKR. Tetapi jawatan Menteri Besar itu bukan hak PKR semata-mata kerana Menteri Besar itu adalah hak Pakatan Rakyat termasuk PAS. Lantaran PAS mempunyai kepentingan moral untuk menentukan pendirian samada untuk bersetuju atau pun sebaliknya terhadap tindakan dan keputusan PKR dalam hal menurun dan menaikan seorang Menteri Besar itu.

Kesangsian LGE terhadap perpecahan Pakatan Rakyat itu sememangnya satu isu yang ‘predictable’ dari awal lagi. Perbezaan nilai dan perjuangan diantara DAP dengan PAS banyak yang berbeza. Jadi jika berpecah Pakatan Rakyat dalam isu apa sekali pun ia bukan perkara yang mengejutkan kerana perbezaan itulah yang membawa perpecahan jika tidak di adili dengan baik.

DAP ada sebab tersendiri kenapa bersetuju untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim, dan PAS juga mempunyai sebabnya untuk mahukan Khalid kekal sebagai MB dan telah pun di sebut secara rambang oleh TGNA dalam kenyataan sokongan beliau kepada TGHA yang mahukan Khalid kekal sebagai MB. Betul lah dalam perbezaan inilah mereka boleh berkompromi untuk bertindak selenggang dan sehayun dalam banyak hal dan isu.

Tetapi sememangnya ada kalanya yang terdapat isu yang tidak selenggang dan sehayun itu, Maka usaha perlu di lakukan untuk membetulkan lenggang dan hayunan tadi. Tetapi jika tidak juga berjaya maka adalah tidak salah jika mereka berpisah. Pasangan suami isteri yang telah begitu lama berbeza dalam banyak hal rumah tangga pun akhirnya berpisah kerana tidak dapat mencari kata sepakat, apatah lagi dalam hal kerjasama politik yang masing-masing mempunyai perbezaan dalam banyak isu.

Perbezaan itu sememangnya wujud, kerana jika mereka tidak berbeza mereka akan berada dalam satu parti, bukannya bderada dalam parti-parti PAS atau pun DAP. Bagi saya perbezaan ini sepatutnya di uasahakan komprominyam tetapi jika tidak juga tercapai kemuafakatan maka bercerai itu, walaupun sakit merupakan jalan terakhir untuk dilakukan. Perceraian bukannya satu isu yang ganjil, dan ia berlaku setiap masa.

Seperkara yang Anwar atau mungkin DAP mesti ingat, mereka tidak boleh menganggap PAS itu sebagai orang semenda, dipanggil datang di suruh pergi. Tetapi jika pun orang semenda itu disuruh pergi dipanggil datang tetapi dalam konflik keluarga pendapat orang semenda itu amat penting. Selalunya orang semenda itulah yang akan memberikan jalan penyelesaian terhadap konflik dalam sesuatu keluarga itu.

Begitu jugalah PAS dalam PKR, jika Anwar begitu taksub untuk memperjuangkan dirinya sendiri sahaja maka PAS boleh memberikan pandangan dan tidak boleh dipertikaikan keterlaluan. Anwar mungkin kecewa dengan pendirian TGNA dan TGHA, tetapi Anwar perlu juga bertabnya pada dirinya sendiri tidak adakah perkara yang dilakukan Anwar yang menyentuh maruah dan intergriti parti PAS itu selama ini?

Jika Anwar ada perasaan orang PAS seperti TGHA dan TGNA pun ada perasaan. Begitu juga Lim Guan Eng. Jika masih tidak dapat berjumpa ‘conciliation point’ maka perpisahan adalah jawapan terbaik dan tunjukan hormat menghormati diantara satu dengan lain. Blog ini acapkali berkata yang jika UMNO memakan masa setengah abad untuk menjadi seperti apa yang kita lihat hari ini, PKR akan hanya memakan masa kurang dari dua puluh tahun untuk jatuh ketahap yang rendah itu.

Masalah yang dihadapi Khalid ini adalah masalah yang akan menentukan nasib PKR dimasa hadapan. Yang menimbulkan masalah ini bukannya Khalid. Sebenarnya masalah ini di semai oleh Anwar sendiri.

Itu sebabnya TGHA dan TGNA mempunyai pendirian yang berbeza dalam isu Khalid Ibrahim ini, kerana kedua-dua pemimpin besar PAS ini mampu untuk ‘menyelam air dalam tunggak’. Sebab yang sebenarnya tidak mungkin tersiar, tetapi kemampuan ‘menyelam air dalam tunggak’ tadi adalah penyebab perbezaan dalam isu Khalid MB ini.

Ada yang berpendapat, isu Khalid Ibrahim ini merupakan permulaan bagi Anwar menghampiri ‘political oblivion’, dan terus memberikan pertimbangan untuk bersara sahaja dari politik negara.

Pimpinan politik wajar menumpukan untuk perjuangan negara, bukannya perjuangan untuk menyelesaikan masalah individu yang hanya berjuang untuk kepentingan peribadi sahaja.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text