Social Icons

Sabtu, 5 Julai 2014

Tip Mendorong Anak Menyahut Segera Panggilan Ibubapa

“Ummi…,” seorang anak memanggil saya.
“Nanti dulu,” begitulah lazimnya jawapan saya sama ada ketika sedang memasak, menguruskan hal-hal lain, menaip dan melayan tetamu. Ataupun saya menyahutnya lambat. Jika kebetulan saya tidak sibuk sahaja, saya akan segera menyahut dan menyelesaikan urusan mereka.
 
“Kak Nur, mak Yu pernah tegur Yu supaya segera menyahut panggilan anak,” beritahu sahabat saya, Nurul setelah melihat saya menjawab begitu.

“Sikap kita yang menjawab ‘nanti dulu’ atau ‘tunggu dulu’ itu secara tidak langsung melatih anak-anak untuk menjawab dengan lafaz yang sama ketika kita memanggil mereka”

“Iya tak iya juga,” saya terfikir ada kebenarannya kata-kata itu. Bukankah anak-anak kecil adalah ‘peniru’ yang terbaik? Mereka belajar berjalan, bercakap dan pelbagai aksi dari insan yang terdekat dengan mereka. Sama ada insan tersebut ibubapa, penjaga, pengasuh, adik beradik, datuk nenek, bibik dan sesiapa sahaja yang sentiasa di samping mereka dalam proses tumbesaran dari zaman bayi ke zaman kanak-kanak.

Kadang-kadang… bahkan banyak kadang, saya sebenarnya tidak perasan aksi dan percakapan sehari-hari sentiasa diperhatikan bakal ‘peniru’ yang hebat! Mereka ‘copy-paste’ bulat-bulat dari saya sebagai ibu yang berada sepenuh masa di rumah.

Kemudian selepas anak-anak membesar sedikit, bila saya memanggil mereka dan mereka lambat menyahut panggilan saya atau mereka jawab, “Nanti dulu”….perasaan panas hati mulalah meruap. Tambahan saya ingat anak-anak mesti segera menyahut panggilan ibubapa tanpa tangguh-tangguh.

Pernah juga saya marahkan anak-anak kerana lambat menjawab panggilan, “Anak-anak mesti segera menyahut panggilan ibubapa”.

Amboi! Sedapnya saya mengajar anak-anak. Pendidikan seharusnya melalui teladan yang baik. Anak-anak tetap mengulangi perbuatannya dek sudah terbiasa dengan sikap saya yang suka jawab, “Nanti dulu” atau “Tunggu sekejap”.

Sekali fikir, saya rasa tidak bersalah sebab kita sebenarnya ada rasional yang kukuh untuk menangguhkan permintaan anak-anak. Akan tetapi, bila Nurul memberitahu hal di atas beberapa tahun yang lalu, baru terasa sebenarnya saya yang bersalah terhadap anak-anak. Selepas itu, saya cuba ubah sikap tersebut.

Saya cuba ketepikan rasional sendiri selagi boleh kecuali dalam hal-hal yang tidak boleh ditinggalkan seperti sedang solat, berada di bilik air atau sedang tidurkan si kecil. Dalam hal berkecuali itu, saya akan jelaskan semula kepada mereka sebab-sebab tidak boleh terus menunaikan permintaan mereka.

“Yu pun tidak perasan juga. Bila mak tegur, baru Yu perasan dan selepas itu, penat macam mana pun, bila anak-anak panggil, Yu segera menyahut dan berusaha menunaikan keperluan mereka,” jelas Nurul menceritakan pengalamannya.

Berikan Masa Dalam Tempoh Membuat Perubahan

Sudah menjadi sunnatullah pada manusia, setiap perubahan sama ada pada sikap atau tindakan, perlukan tempoh masa tertentu. Perumpamaan mudah, Allah ciptakan bayi yang baru lahir tidak mengerti apa-apa dan tidak boleh bergerak tanpa diangkat. Kemudian bayi belajar membalikkan badan, meniarap, cuba mengangkat perut, merangkak, cuba berdiri tegak dan mula bertatih. Semua itu perlukan tempoh masa yang sesuai dengan kekuatan yang ada pada bayi tersebut.

Begitu jugalah dengan kita. Bila kita mahu buat sesuatu perubahan, raikan fitrah kita sebagai manusia. Berikan fasa-fasa masa yang sesuai agar dapat mengelak rasa kecewa dan putus asa.

Dalam isu yang dibincang ini, saya sendiri merasa agak susah pada mulanya untuk segera menyahut panggilan anak dan menunaikan keperluan mereka. Banyak kerja, penat, malas dan pelbagai lagi alasan yang bersimpang siur. Namun saya cuba gagahkan diri berusaha.

Dalam berusaha berubah pada satu ‘part’ ini pun, sudah termengah-mengah rasanya. Ada masa pasang surut tetapi azam dan usaha tetap diteruskan. Seingat saya, semasa mengetahui tip ini dari Nurul, anak kelima yang masih kecil waktu itu. Saya dapat lihat kesan yang berbeza pada Aqil dibandingkan 3 orang abang dan kakaknya.

“Aqil,” saya memanggil.

“Iya Ummi,” Aqil memang cepat menyahut panggilan. Lembut nadanya ditambah dengan suara keanakannya. Bukan itu sahaja, Aqil menyahut panggilan sambil datang dekat kepada saya. Hati ibu manalah tidak gembira.

Bulan Ogos 2012 ini, Aqil akan berusia 5 tahun. Sikapnya begitulah setiap kali saya memanggilnya kecuali sejak dia pandai main ‘game’ komputer@laptop, Aqil tidak akan menjawab panggilan jika dia tidak perasan saya memanggilnya.

Anak Kecil Peniru Terbaik
 
“Ummi…!,” suatu hari, Aqil memanggil saya.

“Sekejap ye Aqil…, Ummi mahu siapkan ini sedikit,” kalau tidak silap, saya berada di dapur waktu itu.  Hari yang sama….“Aqil…!”, saya memanggil. “Sekejap Ummi”. Aduh! Cepat sahaja dia meniru. Saya segera sedar kesilapan diri.

Cabaran Anak-anak Di Bawah Usia 5 Tahun
Usia di bawah 5 tahun merupakan usia anak-anak belum dapat berdikari dalam banyak hal. Makan minum, mandi pakai, ke bilik air, mahu itu, mahu ini dan pelbagai lagi. Inilah ujian yang paling besar dalam hal mahu praktikkan segera menyahut panggilan anak-anak dan segera menunaikan keperluan mereka.

Tambahan pula jika kita punya anak-anak bawah 5 tahun dua orang ke atas. Lagi tidak menang tangan dibuatnya. Saya sering memiliki situasi begini.

Tahun ini, sedikit berbeza kerana tinggal dua orang anak di bawah usia 5 tahun iaitu Aqil dan Aleeya, 11 bulan.Itupun semalam, Ya Allah! Hanya tuhan yang memahami dan hanya Allah yang mampu menyabarkan saya dalam memberi teladan terbaik kepada anak-anak dalam mendidik mereka. Itu pun ada lagi yang terkantoi.

Astaghfirullah… Astaghfirullah… Astaghfirullah. Kalau ibu suka pakai hijab, anak pun akan ikut, insya Allah. Kebaikan Anak-anak Kembali Kepada Kita Juga


 
Sejak saya berusaha segera menyahut panggilan anak-anak, saya lihat kesannya juga turut terpercik pada abang-abang dan kakaknya. Alhamdulillah, anak-anak yang lain juga bertambah baik dalam menyahut panggilan saya.

“Iya Ummi… mari..” Ini ayat yang selalu Abbas gunakan.
“Hmmm… dengar…” Azzam menyahut.
“Ada apa Ummi,” kata Aziz pula.

Saya cuba bertimbang rasa dan melihat juga keadaan anak-anak jika mahu memanggil dan menyuruh mereka membuat sesuatu. Jika saya ada situasi tertentu yang menyebabkan tidak mampu terus melayani permintaan dan pertanyaan mereka, begitu jugalah saya cuba empati dengan keadaan mereka. Jadi saya cuba elak rasa marah dan memaafkan kekurangan mereka jika mereka bertangguh sedikit atau sekali sekala lambat menjawab panggilan. Di samping doa agar mereka menjadi anak yang soleh dipanjatkan setiap kali selepas solat.

Credit: sayangislam.com Perkongsian adalah diambil dari sumber yang dinyatakan untuk panduan semua.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text