Social Icons

Jumaat, 25 Julai 2014

Teguran Untuk MB Dan Kerajaan PAS Kelantan

Pemimpin sesebuah negeri sepatutnya mampu menarik sokongan rakyat padanya. Semakin lama dia berada di tampuk kuasa, semakin bertambahlah ghairah rakyat padanya. Sebagai pemimpin dia mempunyai terlalu banyak peluang untuk mempengaruhi rakyat. Sebaik-baik cara menarik sokongan rakyat ialah secara terhormat dan terpuji. 

Ramai pemimpin dunia menggunakan pendekatan paksaan secara kuku besi supaya rakyat taat dan patuh. Rakyat yang engkar akan dibunuh, disiksa, dipenjara atau dibulinya. Mereka memperlakukan rakyat sewenang-wenangnya. Itulah wajah pemimpin yang rendah martabat dirinya. Hakikatnya dia adalah binatang bertopengkan manusia.

Memimpin sesebuah negeri ertinya memimpin semua lapisan rakyat. Ada ramai rakyat yang cerdik dan pintar walaupun tidak kurang juga yang bodoh. Rakyat yang cerdik tentulah tidak mudah diperbodohkan. Sama juga rakyat yang bodoh tidaklah mudah untuk dicerdikkan. Al-hasil, tugas pemimpin ialah berusaha meningkatkan tahap kualiti rakyatnya lahir dan batin dan berusaha juga memperbaiki kelemahan mereka.
Sebenarnya pemimpin mesti mempunyai keupayaan kendiri. Pemimpin tidak boleh banyak dilihat bergantung dengan orang lain. Pemimpin mesti memperlihatkan keupayaannya dalam berfikir dan bertindak dengan hasil yang cemerlang. Di sinilah rakyat yang cerdik akan tertawan hati.
Pemimpin sepatutnya mempunyai wawasan luar biasa yang tidak terfikir rakyat kebanyakan. Idea dan gagasan besar itu asalnya mestilah lahir dari hati dan kotak fikiran pemimpin. Selebihnya mestilah ada para pelaksana yang sangat memahami hala tuju yang digariskan pemimpin. Kekaguman rakyat terhadap idea-idea besar inilah yang menjadikan rakyat biasa pun dapat menerima gagasan besar yang dicanangkan pemimpin.
Sebab itu dikatakan semakin lama seseorang itu memimpin, dia sepatutnya meraih sokongan yang semakin tidak berbelah-bagi. Orang sanggup bersusah payah untuk pemimpin sebegini kerana sudah jitu keyakinan mereka terhadap keikhlasan atau kewibawaannya. Rakyat yang cerdik akan cepat menangkap betapa jujur dan bersungguh-sungguhnya seseorang pemimpin yang adil dan berwawasan hebat itu. 
Ianya mudah untuk dikenal - sama seperti mereka mudah mengenal pemimpin yang jahat. Sebab itu semua pemimpin itu dikenal pada hati, fikiran dan tindakannya. Ramai rakyat yang cekap menilai siapa sebenarnya yang sanggup susah dan sanggup berkorban untuk rakyat. Lumrah didapati, ramai pemimpin hanya mampu bercakap dan bersyarah tentang pengorbanan atau perjuangan. Sekadar cakap sahaja!
Rakyat mampu menilainya. Jika tidak dilontar balik komen mereka terhadap pemimpin itu secara langsung, mereka pasti akan memperkatakannya di mana-mana - sesama mereka. Jika ini berlaku pemimpin sebegini tidak akan bertahan lama.

Para pemimpin mesti mengelak dari dikesan menumpang idea orang atau pihak lain. Kalau boleh pemimpin tidak perlu ada para pemikir. Para pemimpinlah sumber buah fikiran utama. Yang lain hanya membantu memberi cadangan, pandangan serta buah fikiran bagaimana ianya diimplementasikan. 
Apa yang diperlukan pemimpin ialah para pelaksana yang secara profesional dapat mengaplikasikan gagasan pemimpin sehingga diterima sepenuh hati di peringkat rakyat. Dalam Islam, pemimpin itu mestilah orang yang kuat hubungannya dengan Allah. Itulah sumber kecerdikan, kepintaran dan kewibawaan. 

Tidak akan ada pihak yang boleh mengalahkan pemimpin yang mempunyai hati yang sebegini. Allah ada cara membantunya. Sebab itu dalam politik, ada pemimpin yang dapat bertahan lama dan dikagumi rakyat kerana pada dirinya ada keikhlasan dan kejujuran. Rakyat dapat merasakan siapa pemimpin yang melakukan sesuatu kerana Allah dan siapa pula yang bersusah payah mengaut kepentingan diri dan kroninya.
Memimpin perlukan kefahaman yang jelas mengenai kepimpinan. Mesti tahu matlamat dan hala tuju kepimpinannya. Jangan ada pemimpin yang masih kabur arah yang mahu dituju. Janganlah menjadi pemimpin cacamerba. Jika pemimpin atas nama parti atau jemaah islam, lebih-lebih lagilah kepimpinannya mesti telus dan berakhlak dengan akhlak islam.

Jika kita diberi pilihan menjadi pemimpin kepada rakyat yang cerdik atau bodoh, pilihlah untuk memimpin mereka agar menjadi orang yang takut Allah. Jangan dihiraukan soal cerdik atau bodoh tetapi fokuslah mendidik diri kita, keluarga kita dan rakyat jelata menjadi hamba-hamba yang bertaqwa. Itulah doa yang diajar kepada kita di dalam Al-Quran: "Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami mereka yang meneyjukkan mata hati kami. Dan jadikanlah kami ini, pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa".
Seterusnya jika kita jadi rakyat jelata, carilah pemimpin yang berpijak di bumi nyata. Jangan tertipu dengan kata-kata atau syarahan semata-mata. Orang yang pintar melihat kepada realiti, orang yang tidak bijak lebih suka berteori.

Antara realiti dan teori, pilihlah pemimpin yang mampu membina realiti. Jauhi pemimpin yang hanya suka berteori dan bermimpi di siang hari. Orang berteori orang pemalas. Cakap saja berdegar-degar, syarahan pula berjam-jam. Balik ke rumah untuk rehat dan tidur, besoknya bangun untuk bersyarah lagi dan lagi. 
Yang malunya itu, bersyarah tentang Islam, tetapi Islam yang praktikalnya tidak ada pun di dalam diri dan keluarganya. Hari ini kita semakin kerap mendengar dan mendapat bukti betapa tokoh-tokoh pejuang Islam yang bercakap tentang kezuhudan Khalifah Umar Ibnu Aziz tetapi mempunyai kereta puluhan buah di rumahnya!!

Secara beradabnya sepatutnya orang yang diberi amanah sebagai pemimpin mestilah mengamalkan sikap tunduk merendah diri. Malulah dengan Allah yang meminjamkan amanah kepimpinan kepada kita. Buktikanlah amanah itu dilakukan sepenuh hati demi mendapatkan keredhaan Allah. 
Jika seseorang pemimpin itu benar-benar punya rasa hamba yang tawadhuk, dia akan tahu merintih dan mengadu hal kepimpinannya kepada Allah. Dia juga akan pandai mendengar luahan dan pandangan rakyat bawahan. Hormati dan hargai mereka, nanti kita akan dapati mereka akan terdorong untuk bersungguh-sungguh menjayakan hasrat kita memimpin mereka untuk selamat di dunia dan di akhirat. Inilah tugas hakiki setiap pemimpin.

Inilah apa yang kita faham tentang situasi yang ada di kalangan mereka yang berkata mahu membangun bersama Islam. Suaramuhajirin ketengahkan hal ini untuk memperlihatkan betapa sukarnya menjadi pemimpin. Betapa banyaknya perangkap kepentingan diri yang menanti atau betapa terdedahnya seseorang pemimpin kepada mainan orang lain tanpa disedari.
Simpang siur pengurusan dan pentadbiran yang begitu banyak hanya mampu diselesaikan oleh pemimpin yang kuat hatinya dengan Allah. Allah akan memandu jalan penyelesaian untuknya. Isu-isu sebeginilah yang perlu disemak dan dimuhasabahkan oleh setiap pemimpin. Bacalah apa yang ditulis oleh Saudara MSO dalam blognya dengan tajuk:

Ahmad perlu semak penstrukturan GLC dan rombak badan parti

Ahmad: jaga jangan kebaikan diinjak-injak.

Kerajaan Kelantan dibawah pimpinan AhmadYaakub telah mengemaskinikan struktur kepimpinannya dengan melantik atau mengisi beberapa jawatan penting dalam syarikat kerajaan (GLC) di negeri berkenaan. Penyusunan GLC ini merupakan antara langkah diambil Ahmad demi memartabatkan kerajaan yang ditinggalkan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekaligus untuk mencerminkan rupadiri kerajaan pimpinannya.

Penyusunan struktur kerajaan oleh seseorang MB adalah perkara lazim dan ghalib apabila berlaku pertukaran tampuk kepimpinan. Pertukaran itu dibuat untuk memberi kesan pentadbiran yang lebih positif dan efeksyen lagi. Mungkin pegawai atau penasihat politik atau penjawat jawatan di GLC atau perbadanan sebelum ini bertindak cemerlang, tetapi pegawai itu terpaksa ditukarkan untuk mensesuai dengan stail dan inspirasi MB baru yang ada ilham tersendiri dan demi mencapai tahap kejayaan lebih cemerlang lagi. Kata orang sekali bah sekali pasir pantai berubah.

Sebelum ini Ahmad telah membuat sedikit perubahan di Pejabat MB, selain mengensut kedudukan kerusi meja dan sofa tetamu, beliau tidak menyambung perkhidmatan dua setiausaha di pejabatnya; setiausaha akhbar dan setiausaha sulit. Kedua-dua orang setiausaha ini bekerja di era Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi MB.

Setiausaha akhbar ketika mengulas kenapa beliau tidak lagi berkhidmnat dengan Ahmad menyebut kerana dia minta berundur. Kenapa berundur, apakah kerana tidak selesa ataupun tidak diperlukan? Jawaban sebenar ada kepada Ahmad Yaakub dan setiausaha akhbar berkenaan. Secara logik apabila seseorang meminta diri untuk berundur, ada dua kemungkinan berlaku, pertama atas kehendaknya sendiri, kedua kerana diminta berbuat demikian. Dalam istilah politik pemecatan selalu dipakai terma berundur atau mengundurkan diri walhal ianya diminta berundur.


Salahuddin Ayub 

Jika dilihat kepada kegalakan setiausaha akhbar berkenaan sebelum ini berkhidmat sebagai setiausaha akhbar yang sering diberikan kuasa lebih, tidak mungkin setiausaha akhbar berkenaan berundur secara sukarela, melainkan kerana diminta berbuat demikian kerana jawatan berkenaan sungguh glamour semasa mengadreskan diri.

Biarlah kita tinggalkan persoalan itu, dan saya pun tanpa menyebut-nyebut kenapa sebab setiausaha sulit ditukar ganti. Beberapa bulan sebelum pertukaran berlaku saya sudah dimaklumi oleh seseorang yang rapat dengan MB, yang Ahmad ingin membuat pertukaran setiausaha itu.

Manakala, khabarnya perubahan dan pengemasan dalam GLC juga telah hampir selesai dilakukan. Beberapa pengarah dan juga ahli lembaga pengarah GLC telah ditukargantikan. Sudah ada wajah-wajah baru atau orang jauh dan dekat dibawa masuk untuk bantu tadbir dan urusan kerajaan. Tujuan tukarganti ini sama dengan maksud pemecatan dua setiausaha di pejabat MB itu.

Sekurang-kurang tiga GLC mendapat Ketua Eksekutif baru, PIKNK, PMBK dan juga Kompleks Pertanian Kelantan (KPK). Selain itu pengerusi Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) juga mendapat pengerusi baru? Pertukaran pengerusi KPK ini katanya setelah syarikat berasaskan kayu dan balak itu dalam keadaan demam kura labi-labi?

Sejajar dengan penyusunan dan pengemasan itu, malam tadi kebetulan saya berjumpa dengan Naib Presiden Pas sdr Salahuddin Ayub disuatu majlis berbuka puasa, saya bertanya beliau apakah beliau juga terlibat dalam penyusunan GLC di Kelantan, maksudnya ada dimasukkan ke dalam mana-mana GLC atau perbadanan milik kerajaan Kelantan.

Saya bertanya itu kerana cukup yakin bahawa beliau juga turut diberi peluang untuk berkhidmat dengan kerajaan Kelantan. Justifikasinya beliau adalah bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal. 
Pertanyaan itu juga mengambil kira apabila bekas wakil rakyat daripada negeri Terengganu Abu Bakar Chik (Allahyarham) telah dibawa dan dilantik menjadi ahli lembaga pengarah Kompleks Pertanian Kelantan (KPK) dan memegang sebuah institusi pendidikan. 
Saya mengira kalau Abu Bakar Chik asal Terengganu boleh dibawa masuk untuk berkhidmat di Kelantan, atau Zakie orang Kedah di PMBK, mengapa tidak dengan Salahuddin. Bagaimana pun malang, Salahuddin mengeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum. "Tak ada sheikh..tidak ada. Kenapa?"

Saya berasa bersalah dengan pertanyaan itu. Pertanyaan itu menyebabkan beliau kena jawab dan jawaban itu tentulah menjadikan dia rasa tidak dihargai. Saya tahu beliau tidak pun berkehendakkan apa-apa jawatan, tetapi apabila saya berkata, beliau wajar kalau kerajaan Kelantan memberi tugas untuk membantu kerajaan pimpinan Ahmad Yaakub berdasar martabatnya dan kebolehannya.

Kenapakah kerajaan Kelantan khas MB tidak memberi apa-apa ruang kepada Salahuddin untuk berkhidmat. Dalam konteks lain, perlantikan Salahuddin mengisi apa-apa jawatan di GLC atau perbadanan perlu selain bagi memberi ruang dia berkhidmat dan menabur khidmat adalah untuk memberi nafas dan sedikit modal untuk beliau menggerakkan perjuangan. 
Kalau tujuan perlantikan Abu Bakar Chik untuk memberi ruang dan nafas menggerakkan perjuangan, nah.. begitu juga dengan Salahuddin. Saya kata begitu apalah sangat hebatnya Abu Bakar Chik dalam bidang pertanian?

Bahkan ruang dan nafas itu perlu bagi Salahuddin kerana hari ini beliau tidak menjadi ahli parlimen. Ruang nafas dan modalnya untuk bergerak amat terbatas. Rasanya ramai yang mengetahui akan kehambaan Naib Presiden ini dan juga kecekalan beliau dalam mengayunkan langkah perjuangan. Beliau suatu masa dulu hanya menaiki bas untuk ke mana-mana bagi memenuhi jemputan ke program parti.

Ertinya ruang dan juga modal perjalanannya amat terbatas sekali, maka beliau perlu dihulurkan kemudahan. Apa salahnya kalau kerajaan Kelantan memberikan ruang dan nafas dengan melantik beliau mengisi mana-mana badan atau menjadi ahli lembaga pengarah syarikat GLC?

Tidak menjadi satu dosa besar yang tidak terampun oleh Allah s.w.t. kalau kerajaan Kelantan memberi ruang dan peluang sebegitu kepada Salahuddin. Ianya juga bukan satu keganjilan dalam politik. Walhal pelantikan Abu Bakar Chik itu sendiri kalau hendak dikira sudah satu kepelikan, sekiranya kerajaan Kelantan merasakan tidak manis melantik Salahuddin. Apakah kerana Salahuddin bukan murabi kepada sesiapa di Kelantan maka beliau dialpakan?

Khalid Ibrahim di Selangor yang dikenali sebagai pemimpin beramanah, bertanggungjawab dan sangat "kodukut" menggunakan wang kerajaan juga melantik Mustapa Kamil Ayub menjadi ahli lembaga pengarah GLC Selangor. Kalau tidak silap di Perangsang Sdn Bhd. Untuk apakah Khalid melantik Mustapa Kamil Ayub orang Pasir Salak Perak itu, selain inginkan kepada buah fikirannya tetapi untuk memberi ruang dan nafas beliau bergerak menjalankan jihad parti.

Demikian juga dengan Lim Guan Eng di Pulau Pinang. Lim Guan Eng juga melantik Mohamad Sabu (Timbalan Presiden Pas) menjadi ahli lembaga sebuah syarikat GLC di negeri berkenaan. Untuk apa dan kenapa Lim Guan Eng melantik Mat Sabu, adalah untuk memberi nafas dan peluang. 
Barang kali kalau kerajaan Kelantan melantik Salahuddin menjadi ahli lembaga pengarah mana-mana syarikat GLC ia meringankan sedikit beban material Salahuddin. Mengapa tidak, ada syarikat seperti Ladang Sungai Terah, PMBK, PKINK mampu membayar elaun tahunan kepada ahli lembaga pengarah bernilai puluhan ribu dan ratusan ringgit untuk elaun mesyuarat. Misalnya baru-baru ini Ladang Sungai Terah telah membelanjakan ahli lembaga pengarahnya ke Makkah.

Sekali lagi ditegaskan perlantikan Salahuddin bukan tujuan itu sebenarnya. Dan Salahuddin sendiri akan memulangkan elaun itu, saya yakin. Apa yang penting ialah ruang untuk beliau berkhidmat dan menyumbangkan jasa dan bakti. Dalam masa sama pengikhtirafan dan penghormatan kerajaan Kelantan kepada jasa dan budinya di Kelantan sebagai ahli parlimen Kubang Kerian selama dua penggal. 
Ia juga sebagai satu penghormatan atas kedudukan beliau sebagai Naib Presiden Pas Malaysia. Kalau kita sendiri tidak mengenang orang kita siapa lagi. Hendak diharapkan kepada Israel? Banyak ruang dan position yang sesuai untuk diisi oleh Salahuddin dan beliau insya-Allah mampu untuk menanggungnya. 
Beliau boleh dilantik menjadi ahli lembaga pengarah Perbadanan Bandar Baru Tunjung, atau ahli lembaga pengarah Ladang Sungai Terah, ataupun ahli lembaga pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), atau pun PKINK atau pun Kelkon, atau pun syarikat Air Kelantan Sdn Bhd dan sebagainya.

Sekiranya beliau dilantik menjadi ahli lembaga pengarah YIK yang bertanggungjawab ke atas KIAS sudah tentu sedikit sebanyak dengan pendekatan yang diamalkan semasa menjadi Ketua Pemuda Pas dulu, iaitu engagement, beliau dapat membantu KIAS mendapatkan keizinan bagi dinaik-taraf menjadi sebuah kolej universiti. Perjuangan untuk menaikkan taraf KIAS sebagai kolej universiti ini khabarnya sudah berdekad dilakukan tetapi habuk pun tadak.

Saya timbulkan ini bukan kerana apa, kerana penyusunan GLC yang dibuat Ahmad Yaakub hari ini tidak berdasarkan kepada merit yang sepantasnya dan ada kepincangan yang jelas. Sesetengah pelantikan itu dibuat untuk memberi ruang dan nafas (biaya) kepada mereka yang dilantik, tetapi tidak kepada setengah yang layak seperti Salahuddin itu. 
Pelantikan juga banyak yang "merukas" bendul dan melanggar kepala orang-orang yang sudah lama berdiang dalam sesuatu GLC. Saya hendak menyebut dua ini misalnya, pelantikan Dr Wan Zawawi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PKINK dan pelantikan Mohd Zakie sebagai Ketua Pegawai PMBK?

Mungkin dari segi kelayakan dan pengalaman mereka wajar berada di situ (khasnya Zakie). Tetapi apabila pelantikan itu melibatkan atau ada hubungan kronisme ia menjadi satu hal yang disebut ramai. Kedua mereka kebetulan rakan baik kepada Zulkifli Mamat Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan. 
Mengenai pelantikan Dr Wan Zawawi ramai yang mengira ianya untuk memberi ruang atau nafas kepadanya selepas bersedia untuk menjadi calon dalam pilihan raya lalu. Kalau tindakan itu betul kenapa hal yang sama tidak boleh dilakukan terhadap Salahuddin atau ramai lagi calon-calon lain yang tewas? 
Apakah bezanya Salahuddin dengan Dr Wan Zawawi? Jika hendak disukat peluh dan keringat Salahuddin lebih banyak syahid berbanding dengan peluh dan keringat Wan Zawawi.

Memang ada pelantikan sesetengah ahli lembaga pengarah kerana mengenang budi dan juga sebagai imbuhan dan bukan berdasarkan merit kebolehan dan ilmu yang ada. Bahkan sesetengah yang dilantik sudah pun monopouse akalfikir untuk menggerakkan sesebuah syarikat. 
Saya beri contoh pengisian dalam lembaga pengarah Perdana Resort. Hampir semua yang dilantik menjadi ahli lembaga pengarah adalah mereka yang tidak ada kepakaran dalam perhotelan dan sudah "la'ih" akalfikirnya. Kesan daripada itu menyebabkan resort berkenaan mengalami kerugian setiap tahun atau jadi macam rumput tepi jalan hidup segan mati tidak mahu. Atau menjadi la'ih dan layu seperti deburan ombak di PCB yang sudah lengguh memecah pantai.

Jadi kalau pelantikan itu atas dasar untuk memberi imbuhan kepada ahli lembaga pengarahnya, kenapa kerajaan Kelantan tidak berbuat hal sama kepada orang-orang seperti Salahuddin? Menjadi anih pula apabila orang seperti Abu Bakar Chik dilantik menjadi ahli lembaga pengarah KPK dan orang seperti Kamaruddin Jaafar yang berkebolehan dalam korporat tidak dibagi peluang? Jelas perlantikan Abu Bakar Chik untuk memberi ruang dan nafas bergerak, tetapi kenapa beliau?

Sebab beliau ada kroni rapat kepada Setiausaha Badan Perhubungan Pas. Ada pun Salahuddin tidak, dia bukan juga ahli usrah UKM. Atau dia bukan biras kepada TMB Kelantan. Hal-hal sebeginilah Ahmad perlu semak dan mengawasi agar orang tidak mengambil raga kekuasaanya untuk ke pasar dan membeli barang keperluan untuk dapur-dapur peribadi.

Terlanjur ini juga saya hendak menyebut macam mana pelantikan mengisi badan-badan berkanun kerajaan dan menjadi ahli lembaga pengarah ini tidak dipilih daripada yang berkelayakan, tetapi lebih merit kepada kronisme. 
Misalnya apakah perlantikan ahli parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebagai ahli lembaga penarah KPK. Apakah kebolehan dan kepakarannya dalam bidang pertanian. Ataupun KPK memerlukan beliau sebagai pembaca doa sahaja setiap kali hendak memulakan mesyuarat? Atau pun pelantikannya kerana dia anak Nik Aziz?

Kesedaran juga perlu ada kepada mereka yang dilantik untuk mengisi apa-apa jawatan dalam GLC ataupun badan berkanun itu. Kalau kita tidak mampu memberi sumbangan idea dan hadir ke mesyuarat setakat untuk mengambil elaun atau imbuhan tahunan, dan mendapat kemudahan-kemudahan lain, berhenti sahaja. Berdosa kalau anda berbuat demikian. Tokguru sering mengingatkan selepas hidup kita akan mati dan mati ada hisabnya. Tuan-tuan juga membaca patah-patah sama bila bedepan dengan rakyat.

Dalam pada itu sesetengah ahli lembaga pengarah sesuatu GLC atau syarikat itu sudah berdekad lamanya. Perlantikannya bukan kerana lain melainkan untuk memberi imbuhan. Sebagai contohnya Omar Mohamad di Ladang Sungai Terah. Apakah sawit atau getah di Sungai Terah tidak akan berbuah dan mengalir susu kalau bukan Omar menjadi pengerusinya?

Ketidak-adilan dan disebabkan nepotisme atau kronisme juga berlaku dalam penstrukturan GLC di Kelantan. Kedudukan Husam Musa yang menjadi pengerusi beberapa syarikat GLC, seperti PMBK Sawit di era Nik Aziz dilucutkan sebaik sahaja Ahmad Yaakub menjadi MB. Kenapa? Apakah perlucutan itu dibuat atas nasihat atau pun kerana sebagai membalas dendam terhadap sikap kurang peduli dan hormat Husam kepada Ahmad semasa bekas Exco dipuncak kehebatan dulu?

Kalau perlucutan itu dibuat atas perasaan dan nafsu itu ternyata Ahmad tidak meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang bijaksana dan berjiwa besar. Kalau beliau juga ada elemen balas dendam maka jelas kelemahannya sebagai manusia masih tidak diperbetulkan. Beliau memerlukan butiran ratib-ratib yang boleh menghambat sifat mazmumah dalam dirinya untuk tidak bersubahat dengan bisikan syaitan yang berkepalakan manusia.

Di sini bukan bertujuan hendak membela Husam, tidak... Husam ada buruknya juga, tetapi mempersolkan tindakan yang tidak menguntungkan kerajaan pimpinan Ahmad Yaakub. Realiti. Makanya sekiranya tindakan Ahmad itu atas nasihat penasihat 25 atau 40% maka Ahmad perlu perbetulkan dan melihat dalam solat istkharah apakah nasihat dan tindakan itu betul. Ahmad sebagai ustaz sangat memahami bahawa selain malaikat di keliling dirinya, syaitan juga ada dibawah kangkang. Seorang pemimpin bukan saja dilihat baik tetapi harus juga berani menentang ketidakbenaran.

Apa salah kalau Husam dikekalkan mengurus apa-apa bidang yang dicemerlanginya sebelum ini? Misalnya projek membian stadium di Bukit Merbau dan pembinaan Lebuhraya Rakyat adalah atas inisiatif dan cetusan dan ideanya. Kenapa ia tidak diserahkan kepadanya? Kenapa harus diragut dan hanya mahu diserahkan syarikat-syarikat anak kepada syarikat berkenaan. Apakah berlaku ketidakpercayaan kepada ahli dan kawan sendiri?


Husam: berilah keadilan. 

Sepatutnya Ahmad tidak excited dan akur dengan nasihat agar kedua projek itu ditarik daripada Husam. Tindakan yang fatanah ialah membiarkan Husam menguruskannnya. Bagi masa dan peluang untuk beliau membuktikan kebolehan dan kemampuan. Sekiranya dia gagal barulah wajar ditarik balik dan penarikan itu tidak akan dipersoalkan rakyat. Rakyat tidak akan lemas dalam prejudis kepentingan. Menarik balik kuasa itu dalam keadaan Husam tidak bersalah atau surendder daripada menguruskannya adalah satu kezaliman dan penganiyaan.

Ada juga tuduhan sayup kedengaran Husam bermasalah dengan Sultan Kelantan dan ini dijadikan alasan untuk memenjarakan Husam hidup-hidup. Sehingga ke hari ini tidak ada titah yang jelas daripada Sultan mengenai hal ini. Yang ada hanya cerita yang dikarai dari kisah-kisah 1001 malam. Perkara ini juga perlu jelas dan tegas. Sultan Kelantan tidak boleh dipergunakan oleh sesetengah orang yang benci Husam bagi memburukkan suasana.

Sebenarnya tidak ada kenyataan Husam dimana-mana yang memburukkan batang tubuh Sultan Mohamad Ke V ataupun apa-apa premisnya seperti mana pernah dilakukan oleh Mohd Amar Nik Abdullah yang mengatakan Majlis Agama Islam Kelantan, tidak cerdik.

Dan kalau pun memang Sultan tidak suka kepada Husam, apakah peranan dan tanggungjawab Ahmad Yaakub sebagai Amir? Bukankah seorang Amir itu berusaha dan berdoa mendamaikan keadaan? Tokguru dulu menghadapi perselisihan yang hebat dengan Sultan Ismail sehinggakan Sultan enggan menyambut salaman Tokguru. Tetapi apa jadi akhirnya, kedua mereka boleh duduk bersama semula. Jadi kalau ada rasa tidak senang Sultan kepada Husam hari ini jangan diingat ianya akan membawa sampai ke tebing lahad. Sejarah selalunya akan berulang.

Demikian juga fitnah yang dilemparfkan kepada Husam berhubung wang sedekah untuk pembinaan lebuhraya itu tidak patut dibiarkan bergentayangan di angkasa raya sehingga mencetuskan api peperangan dalam Pas. Ahmad sebagai ketua eksekutif perlu tampil menjelaskan kekeliruan yang berlaku dalam hal itu. 
Tindakan Ahmad sebagai pemimpin mereda dan mendamaikan semua pihak. Tirulah perangai dan sifat Nabi Muhammad yang menyatukan kaum-kaum Aus dan Khazraj, Muhajirin dan Ansar di Madinah sehingga menyebabkan dengan penyatuan itu Islam menjadi kuat dan agung.

Kesimpulannya penstruktuanr pentadbiran dilakukan oleh Ahmad Yakub perlu dibuat dengan penuh berhemah, bijaksana dan bukan berdasarkan agenda mana-mana individu. Ahmad kena menjaga raga kuasanya agar tidak diambil oleh sesiapa, apa lagi membiarkan individu atau kumpulan membawa raga kusanya ke pasar dan membeli barangan untuk keperluan dapur mereka. Saya percaya kalau kesilapan dan kecacatan yang ada ini diperbetulkan Ahmad tidak akan terheret dalam permasalahn pengurusan yang panjang dan dia akan tidak akan dipersalahkan.

Dan untuk mengelakan pemanipulasi dalam penstrukturan dan pengurusan kerajaan beliau juga harus merombak badan perhubungan Pas Kelantan, menyulat mana-mana lubang yang bocor dan membuang mana-mana ulat busuk yang masuk kembali ke rumah yang kini sedang memamah kayu perabung. Ahmad jangan takut melakukan pembaikan kerana pembaikan itu untuk kesejahtraan parti dan kerajaan. Ibarat kita segan untuk berkayuh kita akan hanyut, ibarat kalau takut untuk menampung perahu yang bocor akhirnya kita akan tenggalam.

Juga paling tidak mahu dilihat beliau dianggap sebagai boneka mainan pihak-pihak tertentu di Kelantan yang memang mahu menjadikan beliau sebagi "kayu bongkok tempat kera meniti" untuk mengambil pisang.

1 ulasan:

  1. Jangan duk dengar MSO, lebih banyak merapu dan memparpu. Tanyalah mana-mana kakitangan kerajaan negeri sekarang, nescaya mereka akan menjawab, inilah kali pertama mereka benar2 berasa betul2 buat kerja sejak 20 tahun.

    Tindakan MB sekarang untuk menyelamatkan Kelantan dari 20 tahun politik kosong amatlah dipuji. Andai kamu tahu apa yang telah berlaku dalam kerajaan dan negeri kelantan selama 20 tahun ini, nescaya kamu akan peluk cium MB sekarang, berterima kasih kerana beliau mengambil alih jawatan MB dengan sebenar niat untuk berkhidmat dan menyelamatkan Kelantan dan bukan berpolitik kosong semata.

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text