Social Icons

Rabu, 23 Julai 2014

Muhasabah Akhir Ramadhan Untuk Si Kaya


Jumlah orang miskin, susah, melarat dan menderita di negara kita sangatlah ramai. Kita boleh dapati di mana sahaja di seluruh negara. Kemelaratan hidup mereka semakin memburuk. 

Setiap hari mereka tambah tertekan dengan kenaikan harga barang dan kos kehidupan - walaupun ianya di tahap yang paling asas. Soal makan minum pun, mereka tidak mampu mendapat apa yang sepatutnya dimakan. Inilah hakikat rakyat marhaen di negara Malaysia yang dikatakan maju ini. Jika soal lain lebih-lebih lagi.

Kita boleh membaca setiap hari kisah sedih golongan ini. Ada yang hanya mengharap belas ehsan jiran tetangga. Ada warga emas yang mati busuk berhari-hari tanpa diketahui kaum keluarga. Kemiskinan menjauhkan sesama mereka. Ada yang mati tidak sempat mendapatkan rawatan kerana tidak ada yang mengambil tahu hal mereka.

Ada anak kecil yang terpaksa berhenti sekolah, untuk bekerja demi membantu keluarga yang susah. Ada ibu tunggal yang terpaksa menggadai maruah menjadi 'GRO' demi mencari 'rezeki'. Ada yang kena kejar 'along' dan lari menyorok di merata tempat. Ada pula yang bergaduh sesama keluarga - berebutkan sumber pendapatan yang sedikit atau harta pusaka sekangkang kera. 
Kisah penderitaan golongan bawahan di negara kita sangat banyak. Jika kita mahu mencari dan mendapatkan kisah kehidupan mereka, kita pasti sedar betapa perlunya kita bingkas bangun membantu mereka sesungguh hati.

Hak mereka sepatutnya mendapat pembelaan daripada golongan kaya. Mereka yang hidup sengsara ini tidak akan mampu keluar dari garis kemiskinan melainkan dengan ditolong dan dibantu oleh orang kaya. Tetapi berapa ramai orang-orang kaya yang berhati mulia seperti Nabi Muhammad SAW?

Kebanyakan orang kaya hanya asyik mengumpul harta dan merancang untuk mengaut sebanyak mungkin kekayaan untuk diri dan keluarganya sahaja. Jika dihitung jumlah kekayaannya, mungkin boleh memberi kehidupan selesa kepada berjuta umat yang miskin. Kekayaan berbilion ringgit, hanya untuk dirinya dan keluarganya sahaja. Bayangkan jika wang itu diagihkan kepada setiap yang susah dan menderita, tentu berjuta rakyat miskin akan terbela dan boleh memajukan diri mereka. 

Islam hanya minta setiap individu membayar zakat fitrah sebanyak lebih kurang RM7.00 setahun!! Setiap orang hanya wajib membayar RM7.00 setahun. Jumlah umat
Islam di Malaysia sekarang ialah 17,375juta (61.3%). Jika di darab dengan RM7.00 jumlahnya akan melebihi RM100 juta!! Itu baru sumber zakat tahunan (Zakat Fitrah)!! 

Bayangkan jika zakat perniagaan, zakat pertanian, zakat emas perak dan lain-lain yang begitu banyak - daripada individu serta korporat. Kita akan dapati betapa kayanya masyarakat Islam Malaysia. Dan kalau kita benar-benar mengagihkannya kepada semua rakyat yang melarat di negara kita secara tersusun dan menyeluruh, pastilah tidak akan ada lagi yang susah!! Allah!!! kita kasihan kepada golongan yang tiada tempat mengadu. 

Bagi yang beriman mereka tahu mengadukan hal mereka kepada Allah. tetapi sebaliknya jika iman tidak kuat, sembahyang pun tidak, hidup pun lebih kurang cara hidup bukan Islam, kalau menghadapi susah dari sudut kewangan, jalan yang salahlah yang ditempuh mereka. 

Kalau mereka keluar rumah dalam keadaan tidak ada wang untuk dibawa balik ke rumah, mereka akan meragut, mencuri, merompak malah membunuh. Kadang-kadang mereka tidak merancang untuk jadi penjahat tetapi desakan kehidupan menjadikan mata hati mereka tertutup melihat penyelesaian yang baik-baik. Maka yang ditempuh ialah kejahatan demi kejahatan.



Betul apa yang disebut Nabi SAW bahawa "hampir-hampir kefakiran itu membawa kekufuran". Mereka mudah terjerumus kepada hal-hal negatif yang di hujungnya adalah kekufuran. Untuk menyelesaikan kesusutan hati dan kebuntuan fikiran, mereka akan terjebak dengan dadah dan arak. Kalau sudah biasa meragut dan mencuri, itulah kehidupan mereka yang asalnya sekadar melepaskan sesak (sebab itu mencuri). Akhirnya meragut jadi 'profesion' harian. Pandai buat pandai sembunyi diri.



Sebab itu tugas menjadi pemimpin masyarakat sangat berat. Lagi berat amanah kekayaan yang Allah pinjamkan, lagi berat hisab pengiraan Allah di akhirat! Di akhirat, baru sedar rupa-rupanya kakayaan yang Allah berikan hanyalah sebagai ujian. T
idak ada sehelai baju pun yang terlebih dari keperluan kita melainkan akan disoal di akhirat oleh Allah!! Bayangkan hak orang susah yang terdapat pada kekayaan berbilion ringgit atau ratusan juta ringgit atau puluhan juta ringgit atau jutaan ringgit?


Kekayaan, jika menyebabkan kita masuk neraka, jelaslah bahawa kekayaan itu adalah bala bencana yang dahsyat. Ianya pemberian dalam keadaan Allah tidak redha dengan kita. Ianya sama sepertimana yang Allah berikan kepada bukan Islam. Apapun semuanya ini hanya akan dikesali sebaik kematian sudah di hadapan mata. 


Ramadhan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi ini sepatutnya mendorong kita mencari lagi siapa yang patut kita bantu. Ibadah dalam bentuk membantu orang susah lebih besar ganjarannya berbanding solat sunat, membaca al-Quran dan lain-lain. Ibadah sedemikian hanya untuk manfaat diri sendiri berbanding menolong orang lain yang susah dan menderita. 


Apa pun, hanya yang cerdik dan pintar sahaja yang melihat akhirat lebih utama dari dunia. Orang-orang yang kurang cerdik hanya tertumpu dengan penuh gila terhadap dunia yang menipu lagi sementara - yang sekejap ini. Ampun maaf!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text