Malaysia
sekali lagi menangis sekalipun sebenarnya ratapan sedih pilu sejak 8
Mac lalu masih belum reda. Kali ini tragedi paling mengejutkan dunia
berlaku ke atas sebuah lagi pesawat MAS - MH17. Sudah jatuh ditimpa tangga,
itulah nasib malang MAS dan tempiasnya juga kena pada kita semua selaku
rakyat Malaysia.
Tragedi
MH17 ditembak dengan peluru berpandu oleh pihak yang tidak bertanggung
jawab sangat meruntun hati. Dalam keadaan kepiluan atas kehilangan MH370
sudah boleh kita terima hakikatnya, derita jiwa kita kembali pedih
dengan kejadian terhadap MH17 ini. Jika kita sangat merasakan kesedihan,
apatah lagi mereka yang kehilangan keluarga, saudara mara dan kawan
rakan dalam kejadian ini.
Beratnya
ujian ini untuk mereka tanggung sendirian. Justeru kita wajar saling
menghormati perasaan dan kedukaan mereka. Insiden ini telah menjadikan
hati rakyat Malaysia bersatu menghormati perasaan orang lain.
Sekurang-kurangnya inilah hikmah yang tersirat ekoran dari peristiwa
malang ini. Hakikatnya akhir-akhir ini kebanyakan kita hanyut dengan
sentimen saling benci membenci atas arus politik dan kepercayaan
masing-masing.
Insiden
ini adalah contoh betapa perlunya disatukan pendirian dan sikap kita
dalam semua isu membabitkan kepentingan masyarakat dan negara kita.
Rakyat Malaysia di mana-mana melahirkan sokongan kepada kerajaan agar bertindak mendapatkan keadilan antarabangsa bagi menghukum pihak yang terbabit.
Dewan Rakyat akan mengadakan persidangan khas pada 23 Julai ini bagi
membahaskan usul mengenai insiden pesawat MH17 yang dipercayai ditembak
jatuh di Ukraine. Parti
pembangkang juga sudah seia sekata dengan pihak kerajaan untuk
menyokong usul berkaitan. (Sila baca pendirian PAS yang mewajibkan semua
ahli parlimennya hadir untuk menyokong usul berkaitan MH17 di Parlimen DI SINI).
Kita
mengharapkan semangat kesatuan ini dapat diteruskan sampai bila-bila.
Kita boleh berpolitik tetapi biarlan di atas landasan dan prinsip yang
jelas meletakkan kepentingan masyarakat dan negara dari kepentingn diri dan kelompok masing-masing. Bagi umat Islam, hala tuju kita ialah membawa kita, keluarga dan masyarakat kita kepada Allah dan Rasul. Inilah matlamat kita yang mengatasi segala-gala yang lain.
Lihat
apa yang berlaku di Mesir. Demonstrasi dan pergaduhan memerangkapkan
negara dalam kemelut yang semakin rumit. Golongan miskin dan sederhana
semakin terhimpit menderita kerana kehilangan peluang pekerjaan.
Kehidupan semua rakyat semakin sulit. Harga barang naik melambung
sedangkan kestabilan politik masih jauh dari yang diharapkan. Pelancong
menjauhkan diri dari berkunjung ke Mesir sedangkan itulah antara sumber
pendapatan negara. Nilai Pound Mesir jatuh merudum.
Kita
di Malaysia perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku di seluruh dunia. Tidak
semua yang ideal pada pandangan kita akan boleh kita laksanakan bila
kita berkuasa. Jangan terlalu emosi dalam hendak menukar kerajaan. Apa yang penting usahakan agar semuanya bergerak membaiki diri dan sikap masing-masing.
Kesan buruk terhadap keamanan dan kstabilan negara mesti kita hindarkan. Tidak mudah membina imej negara yang hebat. Dan tidak mudah pula hendak mengembalikan reputasi kita jika ianya sudah terhempas hina di mata dunia.
Ahli-ahli politik perlu lebih rasional dan realistik. Jangan terlalu hendak menguasai sehingga menggadai keharmonian negara. Lihatlah apa yang berlaku di sekeliling kita. Tidak semua orang yang bercakap tentang apa yang akan dibuatnya, benar-benar berupaya melakukannya bila dia diberi peluang.
Biasanya orang yang berjanji hendak berbuat sesuatu yang lebih baik dari orang yang dikritiknya akan mengulangi kesalahan yang sama (Bahkan ada yang lebih teruk dari orang sebelumnya). Lihat dan analisalah sesuatu itu dengan mata hati. Biasanya fitrah semula jadi yang ada dalam hati kita akan memberikan analisa yang lebih tepat daripada bacaan akal fikiran.
Sebab itu kita kena yakin dengan Allah. Dialah yang akan
memperbaiki perjalanan pentadbiran negara kita menjadi lebih baik. Antara cara Allah ialah mendatangkan ujian dan imtihan sehingga mendorong kita takutkanNya. Allah mudah membuatkan '1 Malaysia' terkejut dengan kuasa maha dahsyatNya.
Sememangnya ujian akan 'memaksa' kita tunduk mengaku salah dan mengaku berdosa dengan Allah. Ingatlah bahawa dalam apa keadaan sekalipun kelalaian kita, Allah
ada cara menginsafkan kita. Marilah kita saling ingat mengingatkan. Semoga ianya bermanfaat untuk kita semua menghadapi hari-hari mendatang. Sama-sama kita bermuhasabah dengan apa yang terjadi pada MH370 dan MH17!!
0 ulasan:
Catat Ulasan