Social Icons

Saturday, 26 July 2014

PKR Salah ‘Tafsir’ Keputusan Mesyuarat Pakatan -Iskandar.




Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata PKR salah tafsir ketetapan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mengenai isu pertukaran menteri besar Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Julai, 2014.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad menyelar PKR dan menganggap parti itu tersalah tafsir ketetapan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mengenai isu pertukaran menteri besar Selangor yang dibuat pada 23 Julai lalu.

Iskandar berkata, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat membuat kenyataan antara lain menyebut "...menerima cadangan daripada PKR untuk membuat pertukaran menteri besar di Selangor."
Sebaliknya, menurut Iskandar ayat tersebut disalah tafsir sebagai "Pakatan Rakyat meluluskan cadangan PKR untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail."

"Walhal seperti yang juga disebut oleh kenyataan itu, hanya bermaksud menerima cadangan dan... akan dibawa ke dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti masing-masing dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat. "Maka 'menerima' bukan bermaksud bersetuju dan tidak ada keputusan lagi," kata Iskandar dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kekeliruan itu menimbulkan persoalan di kalangan ahli PAS Selangor serta rakyat yang sebelum ini berpandangan Khalid wajar dikekalkan sebagai menteri besar. PKR dalam kenyataan pagi tadi menasihatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya menghormati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang memperakui prinsip pencalonan jawatan menteri besar Selangor adalah hak milik PKR.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan PKR untuk mencalonkan Dr Wan Azizah dibentangkan dan diterima Majlis Pimpinan Pakatan yang turut diwakili enam pemimpin tertinggi PAS. Mereka adalah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa, Ketua Pemuda Suhaizan Kaiyat, serta Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Dr Hatta Ramli.

"Oleh yang demikian, PKR akan berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat itu dalam hal pertukaran menteri besar Selangor. "Kaedah dan prinsip inilah yang selama ini digunakan dalam menentukan menteri besar di negeri Pakatan Rakyat lain seperti di Pulau Pinang, Kedah, dan Kelantan," katanya.

Iskandar menambah, pihaknya bersyukur apabila Hadi menerima pandangan pimpinan ahli PAS Selangor yang mahu Khalid dikekalkan, sekaligus beberapa kekeliruan yang timbul sebelum ini dapat terjawab. Namun katanya, pimpinan dan ahli PAS Selangor akan sentiasa mematuhi apa saja keputusan yang diputuskan oleh presiden dan pimpinan tertinggi PAS dalam mesyuarat 10 Ogos nanti.

Sementara itu, Iskandar dalam laman sosial Facebook miliknya memuat naik status kecewa dengan tindakan ahli PAS sendiri yang menentang pendirian Hadi untuk mengekalkan Khalid.

"Sedih melihat Presiden PAS dihina, dikutuk dan diugut oleh ahli dan pimpinan sendiri. Tidak sangka akan berlaku seperti ini," katanya. – 26 Julai, 2014. (TMI)

0 comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text