Social Icons

Ahad, 20 Julai 2014

Bersatu teguh, Bercerai Roboh Itu Mudah!!

Untuk bersatu tidaklah payah. Syaratnya pun tidak sesulit mana untuk kita laksanakan. Bersatu dan berpecah sebenarnya lebih kurang sama syaratnya. Sepertimana mudahnya untuk bersatu, mudah juga untuk berpecah. Terpulang kita hendak pilih yang mana satu. Jika kita cenderung untuk bergaduh dan bercerai-berai, pilihlah syarat-syaratnya. Dan jika kita mahu bersatu padu dan berkasih sayang pilihlah pula syarat-syaratnya.

Ada dua kelompok yang mudah kita lihat dalam berpadu atau berpecah. Secara semula jadinya manusia adalah makhluk Allah yang mudah untuk bersatu. Fitrah manusia lebih cenderung untuk bantu membantu dan bela membela. Manusia sebenarnya mudah untuk disatukan kerana hati mereka lebih sensitif kepada soal-soal insaniah dan kemanusiaan. 

Sebaliknya binatang adalah spesis makhluk yang tidak ada hati dan tidak pula berakal. Binatang hanya ada nafsu. Keinginannya adalah untuk kepentingan dirinya. Itulah yang Allah tentukan untuk binatang. Kehidupan binatang ialah yang kuat meratah yang lemah. Yang lemah sentiasa di bawah dan dibuat apa saja. Yang kuat bermaharaja lela. 

Allah juga jadikan binatang itu saling berbunuhan dan memakan yang lain. Itulah dikatakan putaran kehidupan mereka. Semua spesis selain manusia mempunyai eko-sistemnya yang tersendiri. Allah maha bijaksana melakukan itu semua untuk iktibar buat kita.

Soalnya kenapa manusia bergaduh dan berantakan. Kenapa ada manusia tidak sensitif dengan perasaan orang lain? Kenapa ada manusia menjerit-jerit membenci orang lain. Kenapa ada manusia tidak ada segan silu dan tidak rasa malu bergaduh. Kenapa ada manusia yang sanggup salah menyalah dan suka menuding jarinya ke arah orang lain. Seolah-olah dirinya tidak ada salah silap. Kesalahan dan kesilapan itu hanya ada pada manusia lain. Dirinya dianggap tidak ada salah silap? 

Sedangkan setiap manusia mesti mempunyai syarat dan identiti yang sama untuk menjadi manusia iaitu untuk menjadi manusia, 'kita mesti tersalah dan tersilap'. Salah silap adalah kejadian asas untuk kita dinamakan manusia. Hanya nabi-nabi dan rasul-rasul sahaja yang maksum tidak pernah buat sebarang kesalahan.

Jadi antara syarat untuk bersatu ialah:
1)    Jadikan Allah dan Rasul sebagai matlamat dan penghayatan hidup kita.
2)    Mengekalkan rasa hati bahawa diri kita adalah hamba Allah yang lemah dan berdosa. 
       Rasa hamba sebegini akan menjadikan kita lebih melihat kita lebih jahat dari orang lain. 3)    Beribadahlah dalam apa jua jenis ibadah terutama solat 5 waktu dengan niat 
       mendapatkan redha Allah, mendapatkan rasa takutkan Allah dan mengharapkan kasih 
      sayang Rasulullah saw. Ibadah sepatutnya membina rasa hamba yang khusyuk dengan 
       Allah. Rasa ini mendorong kita bertolak ansur dan berlapang dada sesama manusia.
4)    Bersangka baik sesama manusia. Ini akan mensucikan hati kita dari kekotoran nifak. 
       Orang yang membenci dan buruk sangka itu menambahkan sifat nifak di dalam hati. 
       Dia  akan sayangkan musuh Islam berbanding sayangkan sesama Islam.
4)    Menjauhkan mengumpat dan memperkata hal keburukan orang lain
5)    Dalam apa keadaan merendah diri dan berusahalah untuk belajar dari orang lain.  
       Orang yang merendah diri akan dimuliakan Allah.

Manakala sebab-sebab berpecah-belah pula ialah:
1)    Melupakan Allah dan Rasul. Kepentingan diri dan hidup nafsi-nafsi menjadi budaya.
2)    Meninggalkan sembahyang 5 waktu dan lain-lain perintah Allah. Kalaupun 
       sembahyang, tidak ada khusyuk atau sebarang rasa yang terhubung dengan Allah. 
       Sembahyang yang lalai adalah 'sembahyang' yang membuahkan perpecahan.
3)    Mempunyai rasa diri hebat, sombong dan ego. Ianya meruntuhkan ikatan ukhwah.
4)    Bersangka buruk dengan sesama manusia. Akan berlaku benci membenci, kutuk-
       mengutuk dan keji mengeji. Hasilnya krisis dan pergaduhan.
5)    Rasa diri pandai dan tidak perlukan orang lain. Tidak mahu belajar. 

Banyak lagi hal-hal yang mendorong berpadu dan yang membawa perpecahan. Sekadar yang di atas ini pun sudah cukup sebagai asas kita faham betapa mudahnya untuk bersatu atau berkasih sayang dan betapa mudah pula jika hendak berkrisis atau bergaduh. Pilihan ada di tangan kita. Jadilah manusia bijaksana yang mempunyai nilai kemanusiaan tertinggi. Janganlah benarkan diri kita terjebak melilit diri dengan ciri-ciri yang ada pada binatang yang tidak berakal!! Ampun maaf semua ya!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text