RAWANG - Seorang pemilik perusahaan pemprosesan babi tanpa lesen
menjadikan organ dalaman babi seperti usus sebagai makanan ternakan ikan
air tawar miliknya sebelum dipasarkan, selain memproses daging haiwan itu.
Ikan air tawar yang terdiri daripada
patin, talapia dan keli itu diternak dengan menggunakan kaedah sangkar
di lombong dan kolam berhampiran.
Penemuan itu dibuat dalam satu operasi
bersepadu yang diketuai Ketua Unit Tindakan Khas Pejabat Yang Dipertua
Majlis Perbandaran Selayang (MPS), C Paramasivam, di Jalan Kundang,
Kampung Sungai Bakau, di sini, semalam.
Paramasivam berkata, pengusaha terbabit
diberikan notis 30 hari sebelum premisnya dikenakan tindakan meroboh,
selain dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.
“Kami akan memohon untuk merobohkan
premis ini kerana hanya Yang Dipertua sahaja mempunyai kuasa memberikan
arahan itu.Selain menghadapi notis meroboh, pengusaha terbabit turut
dikenakan enam kompaun berjumlah RM6,000 atas enam kesalahan,” katanya.
Antara kesalahan itu adalah menyimpan
daging babi tanpa lesen, tidak mematuhi prosedur penyediaan makanan,
membuang tali perut babi ke dalam kolam dan lombong serta tidak
mendapatkan imunisasi demam kepialu seperti syarat yang dikenakan
terhadap penyedia makanan.
Sementara itu, pengusaha terbabit
mendakwa dia hanya memproses babi seperti melapah dan memotong, selepas
dihantar pembekal babi untuk dijual di restoran.
Selain itu, Selangor Kini turut
difahamkan, air kolam terbabit turut dilepaskan ke Sungai Kundang
sebelum mengalir ke Sungai Sembah dan Sungai Selangor yang membekalkan
air kepada sebahagian pengguna air negeri itu.
Operasi bersepadu yang bermula jam 9.30
pagi dan berakhir jam 2.30 petang itu membabitkan kira-kira 70 anggota
daripada pelbagai jabatan dalaman MPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS),
Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis
Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Jabatan Perkhidmatan
Veterinar.
Operasi turut dijalankan ke atas dua
premis lain iaitu kilang membuat tauhu kering bersebelahan tempat
memproses babi berkenaan dan kilang kitar semula tong yang terletak di
Taman Perindustrian Puteri Permai. – Sumber
0 ulasan:
Catat Ulasan