Social Icons

Rabu, 23 Julai 2014

Adakah Proses Pertukaran MB Selangor Akan Memerangkapkan Pakatan Rakyat?

Ingatlah kejadian Almarhum Sultan Idris pada tahun 1974, yang mana Almarhum Sultan Idris tidak boleh menyuruh atau memecat MB ketika itu - Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi (bapa YB Tajol Rosli). Tuanku Sultan terpaksa bernazar untuk menyimpan misai dan janggut selagi MB ketika itu tidak mahu letak jawatan. 
 
Akhirnya Perdana Menteri ketika itu Tun Hussein Onn terpaksa masuk campur dan mengarahkan MB letak jawatan. MB ikut perintah PM tetapi bersyarat. Lepas itu barulah Almarhum Tuanku Sultan mencukur janggut misainya di Pangkor. Cerita ini cukup masyhur. Semua orang tahu bahawa Tuanku Sultan ketika itu juga akur kepada ketetapan di dalam Perlembagaan Perak.

Mana-mana kerajaan negeri yang mempunyai Raja atau Sultan biasanya akan memastikan pemilihan seseorang MB itu diperkenan oleh pihak istana. Walaupun parti yang berjaya membentuk kerajaan negeri itu memang mempunyai kuasa menentukan siapa yang akan dipilih menjadi orang no 1 memimpin negeri, hal persetujuan istana juga sangat diambil kira. 
 
Seseorang MB mesti mempunyai hubungan mesra dan serasi dengan mana-mana sultan atau raja yang memerintah. Sultan atau raja merupakan 'pemegang geran' setiap inci tanah di dalam negeri tersebut. Sukarlah untuk mana-mana 'tuan tanah' untuk menerima kehadiran seseorang yang pandai-pandai sendiri dalam menguruskan tanah tersebut. 
 
MB yang tidak bermasalah ialah MB yang diterima baik oleh pihak istana dan direstui oleh pucuk pimpinan parti. Jika ini wujud, lancarlah pentadbiran dan pengurusan negeri. MB boleh memberi tumpuan terhadap kerja-kerjanya tanpa gangguan kedua-dua pihak atasannya. 
 
Apa yang sedang terjadi pada Tan Sri Khalid adalah kemelut yang sedang membesar. Setiap hari isu ini makin kusut dan sukar untuk diselesaikan. Kemelut yang makin meruncing bukanlah suatu yang diharapkan oleh Pakatan Rakyat tetapi tidak mustahil hal yang meruncing ini sedang terjadi sedikit demi sedikit. 
 
Kesan dari isu MB Selangor ini sedang merebak perlahan-lahan ke seluruh negara. Percaturan siapakah yang akan berjaya? Adakah ini semua merupakan permulaan kepada kejatuhan Pakatan Rakyat? 
 
Secara umum UMNO kelihatan sedang stabil. Semua negeri dan semua parti komponen BN tidak menghadapi sebarang masalah besar. Kedudukan Dato' Seri Najib semakin bertambah kukuh. Ditambah kejayaan BN merampas kedah daripada PAS, semangat dan moral ahli akar umbi UMNO sudah makin meningkat. Jika PR terus tidak berjaya menyelesaikan isu MB Selangor ini secara bijaksana, banyak rentetan kejatuhan akan terpaksa ditanggung. 
 
Kita akan tengok nanti kemelut ini akan jadi parah dan tidak dijangkakan. Banyak 'episod' yang menarik sedang menanti di hadapan kita. 
 
Ikuti apa yang dilaporkan The Malaysian Insider:


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid menafikan wujudnya perbincangan di antara beliau dan Sultan berhubung jawatan menteri besar Selangor. 

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan hasrat kepadanya untuk terus melihat Selangor ditadbir dengan amanah, teguh dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, titah Sultan itu merupakan sebahagian reaksi baginda terhadap isu politik dalaman yang berlaku di Selangor. Beliau bagaimanapun menafikan terdapatnya perbincangan di antara beliau dan Sultan berhubung jawatan menteri besar Selangor. Khalid bagaimanapun mengakui menyampaikan hasrat untuk terus mentadbir Selangor.

"S‎ultan memandang perkara ini paling penting. Bagi tuanku ialah pentadbiran amanah, teguh dan bertanggungjawab

"Namun tidak ada perbincangan yang dibuat bersama Sultan, tapi saya berkata kepada Sultan akan terus bekerja sehingga saya tidak lagi menjadi menteri besar," katanya kepada pemberita selepas program berbuka puasa bersama Sultan Selangor dan rakyat di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor malam ini.

Susulan pengumuman PKR mencalonkan presidennya, Dat‎uk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar baharu, hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) secara prinsipnya sudah bersetuju dengan perkara itu.

Anwar juga akan meletakkan jawatan sebagai penasihat ekonomi Selangor selepas isterinya, Dr Wan Azizah dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baru. Selain itu, Anwar juga berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan Khalid untuk beliau berundur secara baik.

Peralihan jawatan menteri besar merupakan sebahagian daripada "Langkah Kajang" daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada Mac lalu bertujuan meredakan konflik dalaman PKR. Khalid sebelum ini berkata kepada pemberita tetap dengan pendiriannya untuk terus kekal memerintah Selangor hingga akhir penggal dalam tiga tahun sebelum berehat dan fokus menjaga cucunya.

Menganggap tugas menteri besar sesuatu yang “menyeronokkan”, katanya terpulang kepada persetujuan rakyat ‎jika mahu beliau digantikan dengan Dr Wan Azizah.

"Ini adalah politik dan saya masuk PKR kerana reformasi dan ingin bekerja kerana rakyat," katanya. ‎Bagaimanapun tindakan mengejut PKR mencalonkan Dr Wan Azizah mendapat kritikan rakyat termasuk penyokong parti itu sendiri. – 23 Julai, 2014.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text