Ketua DAP Selangor Tony Pua berkata kajian Umcedel yang menunjukkan sokongan kepada Pakatan Rakyat menjunam di Selangor, amat merisaukan bagi pemimpin parti gabungan itu. – Gambar fail The Malaysian Insider Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyuarakan kebimbangan yang serius terhadap hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) yang merumuskan sokongan kepada PR di Selangor merudum 35%.
Ketua DAP Selangor Tony Pua mengakui sokongan terhadap PR sememangnya sudah makin jatuh, bagaimanapun dia tidak menyangka ia akan jatuh begitu teruk.
"Saya sangat bimbang. Keputusan itu lebih teruk daripada jangkaan. Kami tahu sokongan berkurangan tapi yang membimbangkan adalah tahap kejatuhannya," kata Pua kepada The Malaysian Insider.
Sokongan kepada PR di Selangor itu dibandingkan dengan setahun lalu ketika ia menewaskan Barisan Nasional (BN) untuk memegang tampuk kuasa di negeri paling kaya dalam negara. Walaupun UMcedel tidak menyatakan alasan jelas penurunan sokongan itu, umum mengetahui mengenai kontroversi yang dihadapi pentadbiran negeri tersebut.
Daripada isu kalimah Allah, kepada isu kitab Bible oleh jabatan agama negeri hingga ke kontroversi Lebuh Raya Kidex dan pertembungan politik dalaman melibatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Khalid kehilangan banyak sokongan daripada partinya sendiri selepas dilantik menteri besar untuk penggal kedua.
Malah, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pada minggu lalu mengatakan partinya sudah memilih pengganti Khalid. Namun, tidak semua pengundi yang tidak senang dengan pertelingkahan dalaman PR itu kembali kepada BN kerana parti pemerintah kerajaan persekutuan itu hanya mendapat kenaikan 10% saja, apabila sokongan kepadanya naik daripada 15% ke 25%, manakala 5% lagi masih tidak pasti.
Kajian yang dijalankan UMcedel itu menunjukkan 40% daripada responden tidak pasti dengan kedua-dua gabungan dan enggan menjawab soalan dalam kaji selidik itu. UMcedel membandingkan peratusan itu dengan sokongan pada 2012 iaitu 50% untuk PR dan 15% untuk BN.
Pua berkata dia sudah menjangka sokongan akan jatuh antara 5% dan 10%, tetapi penurunan 15% adalah suatu yang serius. Bagi ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, sangat penting untuk PR mengkaji laporan itu dengan serius dan mengambil langkah proaktif untuk kembalikan keyakinan orang ramai.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak menerima dengan baik kajian yang dibuat UMcedel dan tidak menafikannya.
"Jangan ada di kalangan kita dalam mood 'sindrom penafian' terhadap kajian ini kerana ia menunjukkan reputasi kita. Tambahan pula UMcedel mempunyai reputasi tersendiri dalam kajian mereka.
"Jangan ada di kalangan kita dalam mood 'sindrom penafian' terhadap kajian ini kerana ia menunjukkan reputasi kita. Tambahan pula UMcedel mempunyai reputasi tersendiri dalam kajian mereka.
"Bagi saya pimpinan Pakatan khasnya di Selangor perlu terbuka dan mengakui adanya masalah dan kita wajib menyelesaikan masalah itu bersama," kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider.
Bagi Saifuddin, semua isu ini perlu diselesaikan segera dan tidak dibiarkan berlarutan terlalu lama kerana ia mengelirukan rakyat Selangor. Beliau yakin, berdasarkan kajian itu PR masih mendapat sokongan majoriti rakyat Selangor tetapi ia akan terus terhakis jika penyelesaian segera tidak dicapai untuk semua masalah berbangkit.
"Kita tidak boleh biarkan polemik ini berlarutan dan penyelesaian perlu dibuat segera," katanya.
Malam ini, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan bermesyuarat bagi membincangkan pelbagai isu khasnya berkaitan dengan kedudukan MB Selangor. Namun beliau yakin, satu konsensus di kalangan semua parti PR iaitu PKR, PAS dan DAP adalah kunci penyelesaian kepada semua masalah ini.
"Konsensus ketiga-tiga parti adalah kunci penyelesaian kepada semua masalah ini," kata Saifuddin. – 21 Julai, 2014. (TMI)
0 ulasan:
Catat Ulasan