Social Icons

Rabu, 16 Julai 2014

Puasa Untuk Mendapatkan Rasa Takut Dengan Allah

Walaupun Ramadhan, mujahadah melawan nafsu itu memang wajib. Benar, syaitan sudah dibelenggu tapi nafsu yang liar masih ada di dalam diri kita. Justeru mujahadatunnafsi itu perlu terus berlaku. Siapa yang alpa dalam mujahadah, dia akan terkejut dengan hasil yang dia akan dapat di akhirat. Kita akan kembali padaNya. Kita akan terperanjat kerana apa yg Allah kehendaki dari kita itu rupanya kita tidak lakukan dan tidak kita siapkan.

Hakikatnya kita ada masalah besar dengan Allah… Bayangkan bagaimana kita menghargai seseorang yang memberi sesuatu kebaikan kepada kita. Kita akan rasa sangat terhutang budi bahkan akan sentiasa mengenang-ngenangkannya. Kita akan rasa dia seorang yang baik walaupun mungkin dia sebaliknya. Semua ingatan, penghargaan dan rasa terhutang budi atas jasa kebaikan itu berlaku secara spontan. Lumrahnya memang begitu. Aneh kerana hal yang sama tidak berlaku kepada Allah swt sedangkan Allah lah sumber segala rezeki, segala nikmat, segala anugerah yang kita dapat. Kita tidak rasa terlalu terikat dengan Allah, kita tidak rasa semuanya adalah pemberian Allah.

Rupa-rupanya kita tertipu dengan nafsu yang ada dalam diri kita. Nafsu cepat-cepat menafikan Allah ketika kita menerima pemberian seseorang. Nafsu menyuruh kita berterima kasih dan menghargai setakat manusia itu sahaja. Nafsu melalaikan kita sehingga lupa berterima kasih pada Allah. Nafsu telah bohongi kita sehingga kita tidak rasa bersalah dengan Allah. Jika tidak berterima kasih dengan manusia, kita diajar nafsu untuk meminta maaf dan menyatakan kekesalan. Dalam keadaan kita tidak bersyukur dan tidak membesarkan nikmat Allah, nafsu akan terus melupakan kita. Sepatutnya kita tidak melupakan Allah tapi setiap kali sampai masanya kita perlu berterima kasih kepada Allah, kita dilupakan oleh nafsu.

Jadi bila tiba Ramadhan, kita sangat perlukan pertolongan Allah untuk berjaya melawan nafsu dan berperasaan yang betul denganNya. Kita perlukan perasaan yang kekal takut dengan Allah. Kita perlu takut nikmat iman dan Islam ditarik balik dari hati kita. Kita perlu takut Allah timpakan bala dan kutukanNya. Kita sangat terdedah dengan kemurkaanNya. Ini semua sepatutnya menjadikan kita sangat takut dengan Allah. Dan jika tidak dapat rasa takut juga, malanglah kita sedangkan kalau dunia tidak dapat, kita sudah ada rasa takut dan bimbangkan tidak dapat dunia.

Ramadhan ini sepatutnya memudahkan kita kembali ingat dan takut Allah. Ramadhan adalah bulan mengubat hati yang rosak dengan dunia dan nafsu. Ramadhan bulan melemahkan nafsu bahkan menyiksa nafsu. Banyak perkara yang nafsu inginkan tidak dapat dilakukan. Nafsu tidak mudah bermaharajalela. Sekurang-kurangnya nafsu sudah tidak aktif seperti bulan-bulan lain.

Ramadhanlah masanya hamba dapat mudah untuk kembali kepada Allah. Seluruh pakej ibadah Ramadhan – jika dihayati, sepatutnya dapat menghidupkan hati. Ianya akan memudahkan sihamba terhubung dengan Allah. Allah berhubung dengan kita melalui hati sahaja. Allah tidak akan boleh ditipu yang lahiriah. Sehebat mana amal lahir, tidak akan ada maknanya jika beribadah tanpa rasa hamba.

Ramadhan adalah bulan ajaib kerana Allah janjikan dengan puasa itu akan ada orang yang boleh dapat rasa takut dengan Allah. Rupa-rupanya dengan tidak makan dan tidak minum – dengan menempuh jalan mujahadah, kita boleh dapat rasa takut.

Bila perut sudah direhatkan dari proses makan dan minum, nafsu akan dapat dilemahkan. Nafsu tidak dapat aktif. Sebab itu puasa itu dihubungkan dengan taqwa kerana nafsu yang dapat dilemahkan itulah menjadi asas mudahnya sihamba mendapat rasa takut Allah. Inilah kaedah Allah dalam membekukan keaktifan nafsu.

Di bulan Ramadhan inilah kita letakkan sasaran agar kita dapat rasa hamba kerana semuanya dimudahkan Allah. Rasa takutkan Allah itu adalah rasa hamba yang setinggi-tingginya kerana semua sifat hamba itu terangkum di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan lah Allah berikan segala-galanya. Persoalan pada kita ialah samada Allah redha atau tidak dengan kita.

Sepatutnya kita faham bahawa puasa itu bukan untuk semata-mata berlapar-dahaga tetapi puasa itu untuk memaksa nafsu agar tidak aktif. Kita sedar kalau nafsu diaktifkan, langsung kita tidak akan fikir Allah dan Rasul. Jika kita lawan perang dengan nafsu yang lemah di bulan Ramadhan ini dengan lebih serius dan lebih fokus, rasa hati yang betul dengan Allah akan kita perolehi.

Merintihlah dgn Allah dalam keadaan perut kosong dengan niat ingin mendapatkan rasa takut yang kekal. Rasakan bahawa Allah sedang meratakan kebaikan dan kesenangan nikmatNya pada kita. Sepatutnya semuanya mendatangkan rasa takut.

Takut kalau puasa – tak diberi rasa takut ertinya hanya dapat lapar dahaga. Takutnya kalau kita mati dalam keadaan melupakan Allah. Merintihlah untuk dapatkan kematian yang indah. Mati dalam keadaan kita takutkan Allah. Kita tidak mahu mati dalam keadaan tidak bersedia. Takutnya kalau Allah biarkan nafsu menguasai diri.

Kita perlu membina 1001 ketakutan yang sepatutnya melanda hati kita. Jangan biarkan nafsu meranapkan harapan kita. Kita mesti hidup dalam keadaan kita kena berperang - untuk melawan nafsu. Bukankah kita ada Allah dan rasul? Muhasabahlah berapa banyak selawat dan zikirullah yang dapat kita jiwai sepenuh hati? Selawat dan berzikirlah dalam keadaan mempunyai rasa takutkan Allah setakut-takutnya dan merindukan nabi saw dengan rasa rindu serindu-rindunya.

Muhasabahlah keadaan hati kita yang lebih cintakan anak isteri drpd cinta Allah dan rasul. Wujudkah lebih rasa sayang pada dunia atau pada Allah? Periksalah hati kita adakah lebih banyak rasa sedang takut atau seronok atau berfoya-foya?

Dapatkanlah rasa takut itu dengan membayangkan Allah sedang benci dan melihat kita dengan kemarahan kerana kita sedang sombong dengan Allah. Kalau Allah berikan apa pun kepada kitam bimbangilah takut-takut pemberian itu dalam kemurkaanNya – sama seperti yang diberikanNya kepada orang kafir. Bimbangilah dengan mulut kita yang bercakap tidak sama dengan apa yang di dalam hati kita. Mulut menyebut seolah-olah kita benar-benar seorang hamba tetapi hati rupa-rupanya kosong. Hati tidak terkenang2kan Allah, hati tidak rasa terganggu kerana melupakan Allah. Bayangkanlah dahsyatnya kita yang ketika sedang makan rezeki dari Allah masih tidak ingat Allah. Sepatutnya ketika makan itu hati kita tidak putus mengucap syukur dan terima kasih kepadaNya.

Sebab itu kita diminta jadikan Ramadhan sebagai medan mengusahakan rasa hati yang terhubung dengan Allah. Inilah masanya kita kena bersungguh-sungguh merenung dan mengenangkan kelemahan diri dan kesombongan dengan Allah. Wujudkan pergolakan perasaan kehambaan kita yang berbagai-bagai terhadap Allah swt.

Ingatlah bahawa Allah perintahkan kita berpuasa dengan harapan – mudah-mudahan engkau mendapat rasa takutkan Allah. Ini bukanlah mudah kerana selama ini kita memang tidak pernah usaha hendak dapatkan rasa takut itu. Kita dilalaikan nafsu sehingga tidak pernah renungkan bagaimana hendak uruskan hati supaya disukai dan diredhai Allah. Apa yang berlaku dalam hati kita ialah hati yang rasa pandai, rasa mampu, rasa berjaya dan rasa hebat. Itu adalah mainan nafsu agar kita lupakan kehebatan dan pertolongan Allah. Tidak ada yang kita lakukan melainkan kena kita sandarkan kepadaNya kerana bukankah sebagai hamba kita sepatutnya rasa tidak mampu. Kita disuruh sentiasa merintih dan berdoa kerana itulah lambing rasa hati orang yang berjiwa hamba. Kita mengaku lemah dan mengharapkan bantuan serta pertolongan Allah.

Kita sebenarnya sudah tua tetapi latihan mujahadah masih di peringkat tadika. ianya tidak seiring dengan usia kita. Jika sekarang baru hendak berlatih jauh lagilah untuk mendapatkan ‘rasa’ dan hasilnya. Itupun tentu lebih baik dari tidak berusaha. Jadi dengan sisa Ramadhan yang ada ini usahakanlah bercakap-cakap sendiri dengan hati dan nafsu.

Selama ini setiap kali datangnya Ramadhan, kita hanya berpuasa tetapi kita tidak dapat apa-apae pun sebab tidak biasa bercakap dengan Allah. Hanya hamba-hamba yang rajin bercakap dengan Allah sahaja yang dimudahkan mujahadah. Hanya mereka yang merendah diri merintih dan berdoa sahaja yang akan dapat rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi Muhammad saw. Sedangkan kalau dapat rasa-rasa sebegini, kita akan dapat segala2nya. Tunaikanlah sesuatu yang Allah tuntut, nanti semua yang lain akan kita dapat. Ini adalah janji Allah untuk orang yang bertaqwa.

Selama ini kita tidak faham hubungan puasa dengan rasa takutkan Allah. Jadi bila tidak faham, selama ini kita tidak beradab dengan Allah. Kita berbuka dengan penuh lahap dan berselera. Himpunan pelbagai jenis makanan di depan mata menjadikan nafsu yang dilemahkan dengan puasa di siangnya kembali aktif dan galak. Awalnya tadi dia sudah ditidurkan tetapi sebaik berbuka nafsu itu sudah diberi tenaga untuk merosakkan hati kita.

Inilah ilmu dari madrasah Ramadhan yang perlu kita ingat. Kita kena pastikan puasa kita kali ini bukan lagi untuk mendapat lapar dan dahaga. Jangan lagi kita dibodohkan nafsu. Allah mahu kita berpuasa sehingga kita dapat rasa takut. Tidak makan dan tidak minum serta menahan semua keinginan nafsu itulah yang boleh membawa dapatnya rasa takut. Ianya suatu yang signifikan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text