Social Icons

Isnin, 28 Julai 2014

Kubur MH370 Tidak Bertanda, Nahas MH17 Pula Menyusul

Bagaimana keadaan keluarga mangsa di hari raya?
 
Oleh ZAILANI AHMAD - Kredit Blog BNBBC

20 JUL: Kru Malaysia Airlines (MAS) sentiasa menghadiahkan senyuman dan khidmat terbaik kepada pelanggan biarpun hati mereka sentiasa cemas dan diulit kesedihan dengan malapetaka MH370 dan kini menjangkiti MH17.

Mungkin kita tidak bertemu mereka, namun menyelami isi hati keluarga yang terpaksa meranduk episod ngeri pesawat malang, pastinya air mata kita akan mengalir sebendang.

Ikuti kisah keluarga mangsa disebalik tragedi MH17 yang ditembak dan terhempas di Ukraine baru-baru ini menyebabkan 15 kru MAS dan 283 penumpang terbunuh.

Dora Shahila Kassim (kiri)

Kisah 1: Pramugari Dora Shahila Kassim, seakan memberi bayangan apa akan berlaku kepada dirinya – kapal terbang ditembak – sejak sebulan lalu.

Abangnya Don Shahidan berkata, ketika mereka sekeluarga bercuti di Bali, Indonesia, Dora Shahila bertanya macam mana kalau suatu hari nanti, ketika dia bertugas, kapal terbangnya ditembak.

“Tak sangka pula rupa-rupanya apa dia kata itu menjadi kenyataan,” ujar Don sambil menahan sebak. Tidak cukup dengan itu, ketika pertemuan terakhir mereka Isnin lalu, Dora Shahila ada menyebut tugasannya ke Amsterdam adalah penerbangan terakhir.

Ibu dan bapa peramugari Nur Shazana

Kisah 2: Ibu kepada pramugari Nur Shazana Mohamad Salleh, pernah berkali-kali meminta anaknya itu supaya berhenti daripada menjadi pramugari dan bertugas di bidang lain.

Permintaan itu dibuat kerana beliau risau berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada anaknya lebih-lebih lagi selepas berlaku kes kehilangan pesawat MH370 pada 18 Mac lalu.

“Tapi dia tak nak. Dia kata dia suka mengembara. Dia cakap orang jalan kaki pun boleh mati. Saya cakap itu sekurang-kurangnya ada mayat, tapi dia cakap lagi elok kalau kapal terbang terus meletup,” kata ibu Nur Shazana yang trauma apabila mendapat anaknya terbunuh dalam nahas udara di Ukraine.

Bapa kepada pramugara Sanjid Singh Sandhu

Kisah 3: Pramugara Sanjid Singh Sandhu, 41, sepatutnya tidak bertugas dalam pesawat MH17 tetapi beliau telah menukar syif kerja dengan rakan setugasnya.

Bapanya Jijar Singh yang baru menjalani dua pembedahan pintasan jantung berkata, Sanjid memberitahu mahu menukar syif dengan rakannya untuk ke Amsterdam tanpa memberitahu sebabnya.

“Dia juga beritahu akan pulang melawat saya dan isteri saya hari ini dan ibunya sudah pun memasak makanan kegemarannya,” katanya.

Walaupun sedih, pasangan suami isteri berkenaan menerima berita itu dengan hati yang tenang. “Apa yang berlaku sudah berlaku. Seluruh badan saya menggeletar ketika menerima berita ini 4 pagi ,” katanya.

Kisah 4: Dayang Jamilah Noriah Abang Anuar, 72 kempunan untuk puasa bersama semua lima anaknya apabila seorang anaknya, Ariza Ghazalee, 46, maut dalam nahas pesawat MH17 di Ukraine.

Dayang Jamilah berkata, sejak kelmarin beliau teruja menunggu kepulangan anak keduanya itu bersama keluarga yang dijadualkan tiba di Kuching, jam 4 petang.

“Perasaan saya luluh apabila dimaklumkan bahawa anak saya dan keluarganya menaiki pesawat yang dikatakan terhempas. Saya memang merancang untuk mengumpul semua anak dan cucu untuk berbuka puasa bersama di rumah saya,” katanya.

Juruterbang MH17, Wan Amran Wan Hussin

Kisah 5: Juruterbang MH17 Wan Amran Wan Hussin, 50 sentiasa tenang dan tabah dalam setiap penerbangan sehingga beliau terkorban dalam nahas udara di Ukraine.

Anak saudaranya Wan Amran Wan Hussin berkata: “Kalau betul ayah saudara saya tiada lagi, saya harap dapat melihat jasadnya dan kebumikan dengan cara yang elok.”

Sebaik mengetahui nahas itu melalui internet jam 12 tengah malam, semua ahli keluarga juruterbang itu termasuk kakaknya, Wan Aini, 61, menjerit kesedihan dengan kemalangan itu.

“Kami terlalu terkejut, tak percaya dan tak boleh berkata apa-apa dan semua kami menjerit…kami tak sangka dia pergi dengan begitu tragis. Kami tahu kejadian itu melalui internet dan apabila periksa nama (kru dan penumpang), nama bapa saudara saya berada paling atas,” katanya.

Mohd Hazrin terkorban dalam nahas MH370

Kisah 6: “Semasa kehilangan MH370 dan suami saya Mac lalu, mereka inilah (kru MH17) yang memberi semangat meminta saya kuat dan tabah berdepan dengan musibah yang menimpa,” kata Intan Maizura, 34.

Intan, isteri kepada pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Mohd Hazrin Hasnan, mengakui beliau terkejut mengenai tragedi terbaharu itu, sehingga sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

“Semua kru ini adalah kawan-kawan yang rapat ketika waktu kerja. Kami seperti adik beradik, ahli keluarga yang sentiasa bersama. Mereka ini sangat baik dan kelakar. Sangat sedih apabila mendengar berita kemalangan yang menimpa mereka dan merasakan satu kehilangan besar.

“Kini giliran saya pula untuk memberi kata perangsang serta semangat kepada semua waris 15 anak kapal dan penumpang MH17 yang terkorban,” katanya.

Kisah 7: Ketua Pramugara MH17, Mohamad Ghafar Abu Bakar sempat memohon maaf kepada ibunya sebelum berlepas ke Amsterdam dan pulang semula tetapi pesawat itu ditembak dan terhempas di Ukraine.

Maimon Sarpan, 74, berkata tiada siapa menyangka anak sulung daripada tiga beradik itu itu tidak dapat meraikan hari raya bersama-sama keluarga untuk selama-lamanya.

“Saya tidak tahu nak cakap apa bila tahu berita ini, hancur luluh hati saya mengenang anak saya itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah.

Katanya, Isnin lepas anaknya itu pulang dan berbuka puasa bersama-sama keluarga dan sempat memohon maaf tidak dapat meraikan hari raya bersama kerana akan bertugas ke China.

“Anak saya sempat bagi duit raya kepada anak buah dia dan saya sendiri kerana tahu dia tidak dapat pulang berhari raya,” katanya.

Dilihat kepada luahan perasaan ahli keluarga krew MAS yang terbabit dalam nahas itu, jelas sekali memperlihatkan ketabahan petugas-petugas MAS yang cukup professional biarpun nyawa mereka menjadi gadaian di udara. – bnbbc.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text