Social Icons

Jumaat, 7 Mac 2014

Tujuan Perkahwinan Remaja GISB / YKPPM


Diantara tujuan perkahwinan yang dijalankan di dalam GISB / YKPPM untuk semua remaja dan stafnya ialah seperti berikut: Hanya ada 3 perkara yang utama. Yang lain adalah pecahannya.

Pertama:
Untuk memenuhi tuntutan fitrah semulajadi.
Keinginan seks merupakan fitrah manusia yang Tuhan bekalkan secara semula jadi. Maka jalan yang sah untuk memenuhi keinginan ini ialah dengan akad nikah atau berkahwin. Akad nikah menghalalkan hubungan suami isteri, membolehkan apa yang tidak dibenarkan sebelum akad nikah. Isteri halal bagi suami dan suami halal bagi isteri setelah berkahwin. 

Nabi Muhammad SAW mendorong remaja agar berkahwin:
“Wahai sekalian para pemuda! Siapa di antara kalian yang telah mampu untuk menikah maka hendaknya ia menikah…"


Pernikahan yang diuruskan atas niat mencari keredhaan Allah dan Rasul diharapkan akan dapat membentengi diri dari segala hal-hal yang negatif dan mengundang dosa. Dosa zina itu bukanlah hanya berhubungan badan dengan lawan jenis yang bukan muhrim sahaja. Bersentuhan, pandang memandang, bahkan memenuhi hati dan fikiran dengan khayalan terhadap lawan jenis merupakan salah satu dari bentuk zina kecil. 

Melalui pernikahan, masing-masing akan mempunyai kekuatan menjaga kemaluannya dan kemaluan isterinya. Mereka akan berupaya menundukkan pandangannya dan pandangan istrinya dari melihat yang haram. Perkahwinan mengelakkan dari terjebak dalam dosa zina dan menjaga"iffah" iaitu kehormatan diri sebagai manusia beriman. 

Untuk menghindari hal-hal tersebut itulah, maka Rasulullah menganjurkan kepada semua umatnya untuk segera menikah. Dengan adanya ikatan pernikahan, maka semua yang dilarang sebelumnya akan menjadi halal. Bukan hanya halal namun bernilai ibadah jika pasangan suami isteri saling bertanggung jawab, bertolak ansur dan membina keharmonian dalam hubungan suami isteri. Rumah tangga itu indah jadinya bilamana ditunjangi dengan ibadah solat berjemaah, berzikir, bertaubat, bangun malam, membaca Al-Quran, berselawat serta diihiburkan dengan nasyid-nasyid islami.


Kedua

Meningkatkan iman untuk lebih kuat berjuang dan berkorban. 

Perkahwinan akan mendorong pasangan remaja yang baru berkahwin untuk lebih bersungguh-sungguh membaiki diri, meningkatkan sahsiah diri dan kesungguhan dalam perjuangan. Di dalam GISB / YKPPM, pekerjaan yang dilakukan tidaklah semata-mata untuk menambah pendapatan. 

Apa yang ditekankan ialah sesuatu yang lebih bernilai dan berharga dari mencari kehidupan iaitu memperjuangkan Allah dan Rasul. Semua aktiviti perniagaan dan perkhidmatan GISB / YKPPM sebenarnya dibangunkan untuk menjadi model kehidupan beragama dalam semua bidang. Dengan kata lain, GISB / YKPPM berusaha membangunkan sistem hidup Islam dalam semua bidang agar semua staf dan warga kerjanya dapat hidup menghayati kebesaran Allah SWT dan kemuliaan Rasulullah SAW. 

Semua aktiviti akan digerakkan oleh para pemimpin di tempat masing-masing untuk melakukannya dalam keadaan hati dibina untuk rasa takut setakut-takutnya pada Allah dan rindu serindu-rindunya pada Nabi SAW. Inilah yang sedang kami lagangkan di dalam GISB / YKPPM sejak dulu. Ianya satu nilai yang sangat berharga dan bermakna bilamana kehidupan dan pekerjaan itu sepenuhnya berada di dalam situasi ibadah. Hati sentiasa diasuh dan dididik untuk mendapatkan rasa-rasa yang sedemikian. 

Jadi perkahwinan yang dilakukan ialah agar kedua-dua mempelai mempunyai teman hidup yang sokong menyokong ke arah yang lebih bermakna ini. Kedua-duanya akan bantu membantu memastikan iman dan taqwa mereka terus meningkat sehingga jika mereka kembali mengadap Allah, mereka diterima Allah sebagai hamba-hambaNya yang mendapat keampunanNya. Inilah tujuan kehidupan iaitu menjadikan dunia sebagai landasan kesenangan akhirat. 

Semua warga GISB / YKPPM tidak mengejar gaji, pangkat dan kedudukan. Pendapatan untuk kehidupan tetaplah ada dan mencukupi tetapi ianya bukanlah suatu yang dikejar 'separuh mati'. Pada kami kehidupan adalah bayangan kebahagiaan di akhirat. Ianya adalah suatu yang signifikan dengan peranan manusia sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi.  

Ketiga:
Meramaikan zuriat keturunan dan membina keluarga Islami agar menjadi ikutan orang lain.
Perkahwinan antara remaja yang soleh dan solehah yang lahir dari keluarga yang baik-baik akan melahirkan zuriat keturunan yang menyejukkan hati. Anak-anak yang ramai ini pula dididik dengan tarbiyah Islamiyah yang berterusan sehingga terhasillah generasi yang bertaqwa yang mendapat keredhaan Allah.  

Generasi sebegini hanya akan terhasil jika proses mendidik mereka dilakukan terus menerus di mana ibubapa mereka menjadi model ikutan semua anak-anak. Inilah asas pendidikan agama kepada anak. Ibu bapa bertanggung jawab mendidik anak-anak mendapatkan rasa takut Allah dan rindukan Nabi.  Usaha ini besar di sisi Tuhan. 

Dia pasti mengganjari balasan yang sebaik-baiknya. Anak-anak yang soleh dan solehah ini pula akan menjadi aset bangsa, agama dan negara bahkan menjadi penolong ibubapa mereka di akhirat. Jadi suasana yang terbentuk adalah keluarga yang Islami. Rumah tangga yang Islami ialah sebuah rumah tangga yang berjalan sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul. Keluarga yang sebeginilah yang dikatakan mendapat nilaian sakinah, mawaddah wa rahmah iaitu keluarga yang hidup dalam ketenangan, kebahagiaan, berkasih sayang dan mendapat payungan rahmat dari Allah SWT.

2 ulasan:

  1. Salam tuan. Ini komen kawan Pak Itam setelah dia membaca tulisan tuan.

    Dlm fiqh munakahah di anjurkan kawin stlh baligh sekiranya sudah siap,,manakala dlm konsep secular dgalakkan utk mencari kebebasan tanpa batas sampai melanggar ketentuan allah,,institusi perkahwinan dianggap kuno,,astaghfirullah

    BalasPadam
  2. Tahniah untuk GISB / YKPPM. Beruntungnya kepada semua yang berada di dalam syarikat yang mengambil berat hal ehwal kakitangan termasuk seluruh ahli keluarga mereka. Rasanya inilah satu-satunya organisasi di dunia yang mengejar gelaran hamba dan khalifah Allah dan kepada yang berjaya berjaya, pingat 'taqwa' dianugerahkan secara eksklusif oleh Allah SWT kepada mereka. Mereka ini manusia ganjil dikalangan manusia yang lain. Orang Islam sudah termaklum bahawa kita ini hidup untuk Allah dan matlamat hidup kita ialah untuk mendapat keredhaan Allah. Untuk melaksanakan dan mencapai cita-cita ini amatlah sukar sekali tanpa pimpinan dan secara berjemaah
    Suasana dunia yang sudah rosak dan sangat mencabar di waktu ini, anak-anak kecil yang belum baligh pun sudah terdedah dengan perkara-perkara yang dilarang Tuhan, pergaulan bebas digalakkan pula oleh ibu bapa masing-masing.
    Anak-anak dara tua makin bertambah bilangan mereka, begitu juga dengan bilangan ibu-ibu tunggal.
    Ya Allah selamatkan kami dunia dan akhirat.

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text