Social Icons

Thursday, 21 August 2014

Berani! - Khalid Samad Bangkitkan Isu Kuasa Sultan Sekali Lagi!!



Para pengguna Internet (netizen) kini sudah mula memberikan pandangan sultan tidak sepatutnya diberi hak mutlak melantik menteri besar kerana sistem yang menjadi amalan di negara ini adalah sistem raja berperlembagaan, kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Katanya, komuniti netizen mula membangkitkan perkara itu ekoran krisis menteri besar di Selangor selepas PAS menyerahkan dua nama kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Netizen berkata, kita tidak sepatutnya memberikan kuasa mutlak kepada Sultan untuk menentukan menteri besar, kerana ini sistem raja berperlembagaan," katanya ketika ditanya mengapa PR tidak menyerahkan dua nama calon menteri besar kepada sultan.

"Pengguna Internet, ahli akademik dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kata seperti ini," dakwa Khalid pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini berkata.

Pakatan memutuskan menghantar nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sedangkan sebelum itu PAS mencalonkan dua nama iaitu Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Pakatan kemudiannya sepakat menghantar hanya nama Dr Wan Azizah selepas Azmin memutuskan menarik diri demi memberi keutamaan kepada keputusan parti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, meskipun mereka menghantar lebih daripada satu nama kepada sultan, pemerintah itu tetap hanya akan memilih satu nama.

"Namakan siapa sahaja daripada PKR, dan mereka akan tarik diri dan beri laluan kepada Dr Wan Azizah. "Oleh kerana PAS tetap akan beri dua nama, nama yang kedua hanya disokong oleh PAS, sedangkan nama pertama terdapat dalam senarai ketiga-tiga parti.

"Walaupun nama Azmin dikekalkan dalam senarai, PAS sahaja tidak cukup untuk membentuk majoriti sedangkan Dr Wan Azizah mendapat sokongan ketiga-tiga parti dan jelas calon yang dapat sokongan majoriti," kata Khalid Samad kepada pemberita.

Bulan lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan ahli Parlimen Shah Alam itu kerana mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan mencadangkan kuasa itu ditarik balik.

Baginda turut memberi amaran kepadanya supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan pada masa depan.

"Beta menyeru kepada Khalid agar di masa akan datang berwaspada di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadap dan jahil beliau membicarakan isu berkaitan dengan kuasa beta dan peranan Mais di dalam menasihati beta mengenai agama Islam," katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan penyelesaian luar mahkamah antara Khalid Ibrahim dan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB), beliau memberitahu media pertemuan hampir dua jam dengan peguam yang mewakili menteri besar itu sia-sia.

Ini kerana mereka masih gagal mendapatkan butiran terperinci penyelesaian kes tersebut. Beliau berkata, menteri besar itu seharusnya memberikan penjelasan lanjut penyelesaian hutangnya bernilai lebih kurang RM70 juta dengan BIMB di luar mahkamah kerana pemimpin PKR melihatnya seakan-akan sudah "hilang kebebasan kerana dibeli."

"Peguam Khalid Ibrahim sehingga hari ini masih gagal mendapat lampu hijau daripaa beliau untuk mendedahkan kandungan perjanjian luar mahkamah berkenaan," katanya.

"Ini merupakan persoalan utama untuk membersihkan nama beliau daripada terus disyaki sebagai seorang menteri besar yang 'hilang kebebasan kerana dibeli'," kata Khalid.

Katanya, beliau dan peguam PAS, Asmuni Awi juga sanggup menandatangani perjanjian kerahsiaan sekiranya perlu baginya melihat isi kandungan perjanjian tersebut.

'Sekiranya disahkan tiada kes, kami akan menasihati rakan-rakan daripada PKR untuk menghentikan serangan mereka terhadap Khalid Ibrahim. Malangnya, peluang itu pergi begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata, disebabkan kedegilan menteri besar mendedahkan kandungan perjanjian tersebut, krisis di Selangor berlarutan dengan pemecatan beliau sebagai ahli PKR, pemecatan 6 Exco PKR dan DAP, dan kewujudan kerajaan Bebas pimpinan Khalid Ibrahim dengan 4 Exco PAS demi menghalang kemasukan Umno.

"Sekiranya ia dijawab dan tiada apa yang tidak betul, semua ini sudah pasti dapat dielakkan," katanya. Tambahnya, Khalid Ibrahim juga seharusnya tidak boleh marah sekiranya timbul kesimpulan yang tidak tepat berkenaan penyelesaian perjanjian di luar mahkamah itu.

"Beliau sanggup melihat segala permasalahan ini timbul dan berlaku walaupun sampai ke tahap jatuhnya kerajaan PR Selangor dan pecahnya PR, namun mendedahkan butiran penyelesaian luar mahkamah, tidak sekali," katanya lagi. ~tmi

0 comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text