Social Icons

Isnin, 11 Ogos 2014

Khalid: Buktikan Saya Tiada Sokongan Majoriti

 
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sesiapa yang mendakwa beliau tidak mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) haruslah membuktikannya atau membuat laporan kepada Sultan.

"Itu untuk pihak lain cuba (buktikan). Cuba (buktikan) sama ada menteri besar dapat sokongan penuh atau sokongan majoriti.

"Dia boleh buat begitu (berkata saya hilang sokongan) dengan buat laporan kepada Sultan. Buat masa sekarang Sultan tak terima laporan saya tiada sokongan majoriti," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Dalam sidang akhbar tersebut, Khalid berkata Sultan Selangor perkenan beliau kekal sebagai menteri besar walaupun telah dipecat sebagai ahli PKR.

Khalid dipecat oleh parti itu Sabtu lalu kerana tidak mengikut arahan parti untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi menteri besar.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa masih mendapat sokongan majoriti dari ADUN Selangor dan layak menjadi menteri besar.

Beliau berkata Sultan Selangor telah bersetuju dengan penjelasan beliau dan memperkenankan beliau meneruskan tugas sebagai menteri besar ketika ditanya mengenainya.

"Lanjutan daripada pemakluman saya, DYMM Tuanku telah bertanyakan sama ada saya masih memperolehi kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.

"Saya telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatan saya sebagai ahli PKR, saya masih memperolehi kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.

"Justeru, DYMM Tuanku berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan selanjutnya DYMM Tuanku telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text