Social Icons

Ahad, 10 Ogos 2014

Beginikah Yang Anwar Akan lakukan Jika Dia Jadi Perdana Menteri?

Pak Lang geleng kepala dengan apa yang berlaku kepada Pakatan Rakyat dalam isu Tan Sri Khalid Ibrahim. Isu ini menjelaskan bagaimana seorang Anwar Ibrahim mengendalikan partinya. Anwar Ibrahim yang memimpin Pakatan Rakyat adalah orang yang sama ketika ditendang keluar dari UMNO dahulu.

Isu MB Selangor ini sudah jadi benang yang kusut. Semakin ditarik di sana atau di sini kusutnya semakin teruk. Kesudahannya sudah mencemaskan para pencinta PKR yang selama bertahun-tahun sanggup berhujan berpanas melakukan demonstrasi jalanan.

Isu ini semakin mengecilkan sokongan rakyat kepada PKR. Soalnya bagaimana kesudahan ini semua. Khabarnya pucuk pimpinan PKR (tidak termasuk Khalid) telah menimbangkan kemungkinan sebegini akan terjadi dan mereka siap mengambil risiko. Khabarnya sokongan rakyat masih padu. Betulkah begitu, kita akan lihat jika DUN Selangor dibubarkan. Ketika itu baru tahu siapa yang mati beragan.

Isu ini menguji kepimpinan semua pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat (PR). 'Kesepakatan' antara mereka sudah makin menipis. Cakap dan ulasan sudah semakin menjauhkan hati masing-masing. Hati yang sudah mula retak tidak mudah untuk diikat kembali. Jalan mudah ialah berpisah. Inilah lorong yang sedang dilalui PR setakat ini.

Tidak mungkin Presiden PAS akan menarik balik keputusannya mahu mengekalkan Tan Sri Khalid sebagai MB. Soal beliau dipecat partinya soal kedua kerana apa yang penting seseorang yang layak perlu berada di kerusi itu. Presiden, Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulamak PAS sudah sepakat mahukan Tan Sri Khalid. Mereka tidak nampak tokoh lain selain Tan Sri Khalid.

Sebahagian besar rakyat Selangor yakin dan berbangga dengan prestasi Selangor di bawah Tan Sri Khalid. Walaupun mungkin mereka ahli UMNO, mereka rela memilih PR kerana yakinnya mereka dengan gaya pengurusan bekas Pengerusi Guthrie ini.

Hari ini Tan Sri Khalid sudah dibebaskan dengan 'talak satu' oleh partinya. Sekarang beliau bebas untuk memikirkan langkah terbaik menyelamatkan negeri Selangor. Beliau boleh 'buat pekak badak' dikatakan tidak 'bermaruah' kerana masih berdegil dengan jawatan itu sedangkan kerusi MB adalah atas kapasiti mewakili PR yang berjaya membentuk kerajaan negeri. Kalau beliau terus tidak mahu letak jawatan, beliau tidak dapat dikacau oleh sebarang peraturan parti. Dan kalau keadaan memaksa, beliau boleh membubarkan DUN untuk membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Tindakan memecat Tan Sri Khalid tentunya langkah terakhir PKR dalam memaksa berlakunya undi tidak percaya terhadap beliau. Tan Sri Khalid tentu tidak duduk diam. Entah-entah dia lebih 'smart' dari Dato Seri Anwar - bekas bos dan kawannya itu.

Apapun, apa yang berlaku mengingatkan kita tentang cara berpolitik Dato Seri Anwar sejak dalam UMNO. Beliau lebih suka baling batu sembunyi tangan. Tapi satu dunia tahu perancangan, tektik dan strateginya. Orang sudah boleh baca buah catur yang sedang digerakkannya.

Insya Allah, Dato Seri Anwar tidak akan sempat terkabul hasratnya menjadi PM!! Setakat ini cara kepimpinan PKR tidak ada yang uniknya dalam keadaan mereka mencanangkan layak mengambil alih Putrajaya. Mereka serupa dengan orang lain.

Dan perlu diperhatikan, Tan Sri Khalid tahu keupayaan Dato Seri Anwar tidak akan ke mana. Percayalah 'kem' Tan Sri Khalid sedang merancang untuk memenangi 'peperangan' ini. Kita akan terkejut melihat kesudahan isu ini nanti.

Oh ya!! Jangan diungkit soal maruah dan integriti. Bukankah ini dunia politik yang serba mungkin boleh terjadi. Jika Tan Sri di pecat dan dia mahu terus kekal sebagai MB dengan pelbagai mainan strateginya, dia ada hak untuk berpolitik gaya sebegitu.

Kita sudah lama perhatikan betapa 'smartnya' Tan Sri Khalid berurusan dengan para pengampu politik di sekelilingnya. Gaya selambanya dalam menjawab sebarang isu berbangkit tentang pengundurannya adalah gaya seorang yang licik menyelamatkan diri. Dia sedang memenangi suasana. Dan dia mahir mengendalikan buah catur politiknya dengan caranya yang tersendiri....



Berikut adalah kenyataan penuh Abdul Khalid yang dimuatnaik di akaun Facebook dan Twitter beliau:

Saya menerima keputusan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membatalkan keahlian saya dalam parti walaupun keputusan tersebut adalah salah dan cacat dari segi undang-undang.

Seperti yang saya nyatakan menerusi maklum balas terhadap surat tunjuk sebab, pihak parti itu sendiri keliru dengan maklumat lanjut mengenai tuduhan terhadap saya. Malah, PKR gagal menjelaskan secara khusus artikel dalam perlembagaan parti yang telah saya cabuli.

Saya juga ingin menyatakan walaupun saya telah memohon sesi penjelasan kepada Lembaga Disiplin ditangguhkan kepada 15 Ogos 2014 tetapi tiada jawapan balas diberikan. Sebaliknya, Lembaga Disiplin tetap meneruskan pendengaran tanpa mendengar penjelasan daripada saya. Saya tidak diberi peluang dan proses yang adil untuk menjawab tuduhan terhadap saya mengikut proses yang betul. Saya percaya ada tindakan sabotaj dari pihak tertinggi parti.

Saya akan mengadap DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan terbaru ini, dan mendengar pandangan baginda yang boleh dikongsi. Sehingga isu ini diselesaikan mengikut prosedur yang betul, mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar mengikut kemampuan saya.

Terima kasih kepada semua yang menyokong saya dalam menempuh masa-masa yang sukar ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text